Kenali haiwan secara dekat

Kenali haiwan secara dekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI tengah hiruk-pikuk bandar, terdapat sebuah lokasi yang menawarkan pengalaman menenangkan sambil mendekati alam semula jadi iaitu Farm In The City.

Terletak di Seri Kembangan, Selangor, tempat ini merupakan destinasi ideal untuk seisi keluarga yang ingin berehat daripada kesibukan harian.

Ia menggabungkan konsep ladang haiwan mesra alam dengan suasana kampung yang damai.

Apa yang menjadikannya istimewa ialah kesempatan bagi pengunjung untuk berinteraksi dengan haiwan secara mesra, seperti menyentuh, memegang dan memberi makan kepada mereka.

Pengalaman interaktif ini sangat sesuai untuk kanak-kanak yang ingin belajar tentang haiwan dan kehidupan di ladang.

Sebagai antara pencinta alam dan haiwan, kunjungan saya ke taman rekreasi ini pasti menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Farm In The City yang berkeluasan 0.8 hektar itu mempunyai lebih 100 spesies haiwan yang berasal dari pelbagai negara di Amerika Selatan, Amerika Utara, Asia dan Afrika.

Antara haiwan itu ialah kambing kerdil, itik mandarin, rakun, kura-kura aldabra, meerkat, ular sawa batik, iguana, pelbagai jenis burung dan ikan, arnab dan kuda mini.

Tarikan utama di sini tentulah di kawasan rakun dan kura-kura gergasi.

Pengunjung dapat melihat telatah comel rakun di samping memberinya makan dan merasai kelembutan bulunya.

Dengan bimbingan penjaga zoo, saya memberanikan diri untuk memegang haiwan itu sekali gus melonjakkan lagi rasa teruja.

Gelak tawa pengunjung lain terutama kanak-kanak juga jelas kedengaran apabila dapat memeluk si manja ini.

Tarikan lain di sini ialah menunggang kuda mini. Aktiviti ini sesuai untuk kanak-kanak yang ingin merasai pengalaman sebagai pengembara kecil.

Kanak-kanak akan dibimbing oleh pengendali yang mesra dan berpengalaman.

Suasana yang santai serta keutamaan terhadap aspek keselamatan menjadikan aktiviti ini menyeronokkan dan bebas daripada sebarang kebimbangan.

PERTUNJUKAN BURUNG
Tepat pukul 11.30 pagi, pengunjung mula membanjiri Kampong Mahmood untuk menyaksikan pertunjukan pelbagai spesis burung kakak tua yang menarik.

Ia termasuk macaw biru-kuning, burung kakak tua jambul sulfur dan burung nuri kelabu Afrika.

Setiap satunya memiliki keunikan tersendiri seperti bersuara lantang, pandai meniru pelbagai bunyi dan berkomunikasi.

Lantas, ia menjadikan pertunjukan burung di sini sebagai satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan.

Selain itu, pengunjung pasti terpukau dengan aksi-aksi terlatih seperti berlakon, mencari objek tersembunyi dan hinggap di bahu penonton.

Dalam masa sama, ia memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami keunikan setiap spesies burung itu.

Mesej penting yang ingin disampaikan ialah tentang pemuliharaan haiwan dan kepentingan menjaga keseimbangan alam sekitar bagi generasi akan datang.

Farm In The City bukan sekadar destinasi rekreasi, tetapi juga tempat yang menghubungkan manusia dengan alam dan haiwan.

Dengan pelbagai aktiviti menarik dan pengalaman mendidik, ia pasti menjadi memori manis untuk semua pengunjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×