Berlari, rahsia Alif Satar kekal cergas - Utusan Malaysia

Berlari, rahsia Alif Satar kekal cergas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLARI bukan satu hal yang mudah. Cabaran untuk mencuba sukan ini bermula di saat sebelum kaki melangkah.

Apatah lagi sekiranya sukan ini mahu dimulakan sebelum munculnya mentari dan disaat mata masih belum terbuka lagi.

Sebab itu untuk mereka yang mahu mencuba aktiviti larian perlu ada motivasi tinggi lebih-lebih lagi sukan ini melibatkan individu dan bukannya berpasukan.

Bagi selebriti versatil, Alif Satar, berlari sudah menjadi sebahagian rutinnya dan nekad mahu memberi inspirasi kepada orang ramai dalam menjalani cara hidup sihat sama ada dari segi fizikal, mental dan spiritual.

“Disiplin itu sangat penting dan menjadi sebahagian kunci utama untuk berjaya. Awak bayangkan dalam Islam sendiri kita disuruh untuk solat lima waktu sehari semalam.

“Itu pun ada yang gagal melaksanakannya. Sebab itu kita perlukan disiplin dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara termasuk larian,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Aliff yang juga duta Garmin merupakan antara 12,000 peserta Larian Garmin 2024 di Putrajaya baru-baru ini.

Dalam acara tersebut, sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu 5 kilometer; 10 kilometer dan 21 kilometer.

Kata Aliff lagi, sebagai orang Islam, disiplin ibadat dan rutin larian perlu bergerak seiring.

“Pada saya sembahyang dan berlari (menjaga kesihatan) itu adalah sebahagian daripada cara hidup Islam.

“Jadi saya harap apa yang saya buat dapat menggalakan orang lain untuk melakukan perkara sama,” jelasnya yang menyertai acara 10 kilometer.
Aliff dalam masa yang sama tidak menafikan acara sukan juga menuntut pengorbanan tinggi lebih-lebih lagi melibatkan aspek pemakanan.

“Saya seorang yang suka makan. Jadi apabila saya menyertai acara seperti Ironman, banyak yang saya perlu kawal dari segi pemakanan contohnya, donut dan piza.

“Ini antara perkara yang perlu dilakukan jika mahu pergi ke kategori lebih jauh kerana ia memerlukan ketahanan tinggi selain latihan yang konsisten,” jelasnya.

Tahap kesedaran rakyat meningkat
Sementara itu, Pengurus Garmin Malaysia, Jimmy Chuang berkata, penganjuran acara larian membuktikan yang kesedaran rakyat Malaysia terhadap kesihatan semakin meningkat.

Buktinya jelas dilihat menerusi jumlah peserta yang terlibat.

“Kami mahu memberikan galakkan kepada masyarakat untuk menjalani gaya hidup lebih sihat menerusi larian,” ujarnya.

Bagi pelari veteran, Kartini Ahmad Kamal, 45, seseorang tidak boleh mempunyai rasa tertekan dan perlu menikmati keseronokan sepanjang berlari.

Dia yang mula berlari ketika berumur lewat 30-an berkata, ia berlaku secara kebetulan tanpa ada sebarang perancangan termasuk untuk bergelar sebagai seorang juara.

“Semuanya tidak dirancang. Semasa zaman sekolah, saya hanya bermain bola jaring untuk suka-suka dan tidak pernah terfikir untuk menjadi pelari. Tetapi takdir penentu segalanya.

“Saya secara tidak sengaja mendaftar untuk larian sejauh 10 kilometer pada 2012 dan terkejut dapat menamatkan perlumbaan itu dalam masa 1 jam 20 minit.

“Sejak itu, sukan ini terus melekat dalam jiwa dan berjaya merangkul beberapa kejayaan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×