‘Nampak senang tetapi amat menguji mental’

‘Nampak senang tetapi amat menguji mental’

VERSUS arena memerlukan ketangkasan dan kerjasama antara ahli untuk menekan butang yang menyala bagi memperoleh markah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang mesti tercari-cari tempat menarik yang boleh dikunjungi untuk meluangkan masa bersama keluarga mahupun rakan-rakan pada hujung minggu. 

Dengan keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu, perancangan untuk menjalankan aktiviti di kawasan terbuka semestinya bukan menjadi pilihan. 

Maka, taman tema yang menawarkan aktiviti di tempat tertutup atau dalam bangunan atau indoor pasti menjadi antara pilihan anda seisi keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi penduduk di Lembah Klang, khususnya sekitar Petaling Jaya, terdapat satu taman tema aktiviti santai boleh dikunjungi untuk mencipta memori iaitu Bomb Battle Elite. 

Untuk pengalaman pertama, saya membuat keputusan untuk hadir bersama rakan-rakan supaya aktiviti dapat dinikmati sepenuhnya. 

Antara empat permainan ditawarkan, saya mencuba tiga daripadanya iaitu, bom serbuk, The Greatest Lava dan Versus Arena. 

Bagi dua permainan yang disediakan, pengunjung akan diberikan set perlindungan yang bersesuaian bagi mengelakkan sebarang kekotoran pada baju yang dipakai. 

Bagi yang tidak tahu, setiap aktiviti mempunyai tahap kesukaran dan masa tersendiri. 

Pengunjung boleh memilih jenis-jenisnya bergantung kepada minat. 

SESI penerangan akan diberikan oleh krew sebelum setiap jenis permainan dimulakan.

Pada awalnya, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana beranggapan aktivitinya lebih kepada santai dan amat mudah dilakukan. 

Namun, anggapan tersebut meleset kerana permainannya sangat menguji minda selain memerlukan kerjasama antara ahli yang bermain. 

Semua permainan yang disediakan pula berunsurkan teknologi tinggi sehingga menjadikan ia lebih mencabar bukan sahaja daripada segi mental tetapi turut memerlukan kekuatan fizikal. 

Nampak senang tetapi rupanya amat menguji mental.

EMPAT AHLI BERMAIN 

Taman tema Bomb Battle ini sememangnya mengetengahkan aktiviti berkumpulan untuk lebih keseronokan. 

Berbanding tamam tema indoor lain yang memberikan kebebasan kepada individu untuk memilih, Bomb Battle Elite memerlukan sekurang-kurangnya empat ahli untuk memulakan sesuatu permainan. 

PERMAINAN The Greatest Lava yang sarat dengan gelak ketawa ini, sesuai disertai lebih daripada empat orang pemain.

Lebih ramai ahli lebih keseronokan sebab lebih meriah ketika aktiviti berlangsung. 

Sepanjang permainan berjalan bermacam-macam emosi dapat dirasakan kerana ketegangan yang berlaku semasa penyelesaian masalah. 

Contohnya sewaktu saya mencuba salah satu siri permainan bom serbuk, saya tersilap langkah hingga menyebabkan markah terkumpul menjadi kosong dan dimarahi oleh semua ahli kumpulan. 

Sedangkan bagi siri bom serbuk, pemain perlu melalui empat bilik dengan cabaran yang berbeza untuk mengumpul markah sebelum disembur oleh serbuk berwarna. 

Saya akui, ‘pergaduhan’ antara ahli memang tidak dapat dielakkan kerana pendapat yang pelbagai, namun daripada situ juga kerjasama terbina untuk menyelesaikan setiap misi yang diberikan. 

Permainannya juga sesuai bagi pekerja yang memerlukan aktiviti untuk melepaskan stres kerana anda pasti akan bergelak ketawa dengan kerenah yang ditunjukkan rakan-rakan anda itu. 

Lagi ramai lagi meriah, jadi sekiranya mempunyai perancangan untuk berkunjung, pastikan membawa jumlah rakan atau ahli keluarga yang ramai. 

Bagi yang risau kepenatan selepas setiap aktiviti, jangan risau, kerana anda akan diberikan masa berehat sebelum meneruskan permainan seterusnya.

Satu tin air isotonik juga ada disediakan bagi mereka yang kehausan dan memerlukan air bagi mengecas semula tenaga untuk aktiviti seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini