PERSEMBAHAN jalanan atau busking sudah menular di negara ini bermula sejak era tahun 80 an lagi.
Mereka yang terbabit dalam profesion ini digelar pemuzik jalanan atau lebih mesra dipanggil buskers.
Seiring dengan peredaran zaman, buskers bagaikan tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri semasa membuat persembahan di hadapan penonton.
Boleh dikatakan mereka mampu mencuri hati pendengar dengan menampilkan rangkaian pilihan lagu popular, kontemporari atau malar segar disusuli gaya persembahan yang cukup bertenaga.
Mereka juga mempunyai ramai pengikut tegar sehingga ada di antaranya terpilih menjadi artis rakaman seperti Caliph Buskers dan Bob Sentuhan.
Siapa sangka Fazli Hishamuddin, 40, telah mula belajar bermain gitar seawal usia remaja.
Minatnya dalam bidang muzik pula semakin menyubur ketika menyambung pengajian.
“Saya bertemu dengan beberapa orang rakan yang mempunyai minat muzik sama.
“Kami sering kali meluangkan masa untuk berlatih bersama jika ada kelapangan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Anak jati kelahiran Selangor yang mesra disapa sebagai Apekz ini bukan sahaja boleh menyanyi dengan baik, malah turut berkebolehan bermain alat muzik lain seperti drum dan kajon.
Kajon merupakan alat muzik berbentuk kotak yang digunakan sebagai bass drum untuk menggantikan posisi drum.
Dengan kelebihan yang dimiliki, ia membuka pintu rezeki untuknya beraksi bagi dua kumpulan berbeza iaitu Sharpshooters dan Panji Buskers.
“Untuk mencari wang tambahan, saya tidak boleh mengharapkan sepenuhnya bagi sebuah kumpulan sahaja.
“Tidak dina kan memang terasa penat membuat dua kerja dalam suatu masa, tetapi saya percaya pada rezeki yang dijamin oleh Allah SWT.
“Selagi saya mampu dan bijak menyusun jadual harian, semuanya akan dipermudahkan,” katanya.
Fazli menerima jemputan menyanyi hampir setiap minggu daripada pelbagai pihak seperti restoran, kompleks membeli belah dan pusat peranginan.
Berikutan sesebuah persembahan memakan masa antara tiga hingga lima jam, beliau perlu membuat penelitian sebelum menerima sebarang tawaran.
“Biasanya saya akan berbincang terlebih dahulu dengan pihak penganjur dan antara aspek dibincangkan membabitkan sebutharga, kontrak dan terma, sebelum ia dipersetujui bersama,” katanya.
REAKSI PENGUNJUNG
Sebagai seorang seniman jalanan, Fazli perlu bekerja di luar kawasan antaranya di Pulau Langkawi.
Baginya, setiap destinasi mempunyai suasana dan pengunjung yang berbeza terutamanya bagi negeri yang menjadi tumpuan pelancongan.
“Bagi setiap persembahan saya lakukan, maklum balas dari pendengar merupakan perkara yang paling dinanti nantikan.
“Saya seronok bila ada penonton menyanyi bersama-sama saya sewaktu membuat persembahan. Itu menunjukkan mereka positif dan gembira dengan persembahan saya.
“Ada pelancong yang request lagu kegemaran mereka. Bagi saya tidak menjadi masalah asalkan mereka terhibur,” katanya.
MOMEN MANIS
Pengalaman luas dalam dunia busking ternyata memberi kelebihan buat dirinya apabila pernah diberikan peluang untuk membuat persembahan antarabangsa Rock The World 8, berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
Bagi Fazli, pengalaman membuat persembahan di depan puluhan ribu mata itu, merupakan detik paling manis sepanjang bergelar pemuzik jalanan.
“Debaran dirasakan waktu itu cukup hebat kerana terlalu gembira tetapi risau dan gementar.
“Namun kata-kata semangat daripada rakan pemuzik lain memberi saya kekuatan.
“Saya kira sebagai penghibur jalanan, modal perlu kita miliki ialah usaha sebaik mungkin dan berfikiranlah secara positif,” ujarnya.











