Makin ramai wanita hidap kanser paru-paru

Makin ramai wanita hidap kanser paru-paru

RASA letih melampau antara simptom kanser paru-paru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASA letih melampau, semput dan batuk berterusan merupakan petanda seorang ibu tunggal dari Chenor di Maran, Pahang menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Ketika pemeriksaan dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), doktor mendapati paru-paru Nonarizam Moha med Nawawi, 45, sudah dipenuhi air.

Kisah malang ibu lima anak itu pernah disiarkan dalam akhbar ini pada awal tahun lalu.

Menerusi kes Nonarizam, dapat difahami yang golongan wanita turut berisiko tinggi mendapat kanser paru-paru.Ketua Pusat Kanser Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),

Marfu’ah Nik Eezamuddeen

berkata, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun kebelakangan ini, semakin ramai wanita di seluruh dunia didiagnosis dengan penyakit berkenaan.

Katanya, di negara-negara barat, populasi kanser paruparu dalam kalangan wanita bukan perokok adalah sekitar 15 peratus sahaja, namun jumlahnya melonjak kepada 40 peratus di Asia.

Penemuan itu agak mengejutkan, kerana selama ini kanser paru-paru sering dikaitkan dengan lelaki perokok.

“Kita selalu faham yang kanser ini lebih banyak berlaku kepada lelaki terutama warga emas dan mereka yang merokok.

“Tetapi sangkaan itu meleset kerana kajian membuktikan yang 40 peratus pesakit kanser paru-paru wanita di Asia bukan perokok dan tidak pernah merokok,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di HCTM baru-baru ini.

Kanser paru-paru merupakan kanser kedua tertinggi di dunia dengan 1.8 juta kematian direkodkan setiap tahun.

Malah, ia turut dianggap sebagai kanser paling agresif dengan lebih 90 peratus pesakit didiagnosis ketika di tahap tiga atau empat, disebabkan tiada simptom awal.

TIDAK MEROKOK TETAPI BERISIKO?

Mengapa saya diserang kanser paru-paru sedangkan tidak merokok? Persoalan ini sering bermain di fikiran rata-rata pesakit wanita.

Secara amnya, kanser paru-paru terbentuk apabila sel paru-paru normal mengalami beberapa peringkat perubahan atau
mutasi, membiak, membentuk ketulan sel-sel yang membesar dan akhirnya tumbuh tanpa kawalan.

Pendedahan kepada asap rokok sekunder dipercayai mengaktifkan mutasi epidermal growth factor receptor (EGFR).

“Walaupun segelintir wanita tidak merokok tetapi pendedahan kepada asap oleh suami dan persekitaran boleh mengancam kesihatan mereka.

“Situasi ini tidak boleh dipandang ringan berikutan kes yang makin meningkat saban tahun,” katanya.

Punca lain adalah terapi sinaran terdahulu pada bahagian dada, pendedahan kepada gas radon serta bahan kimia berbahaya seperti asbestos, karsinogen, arsenik, kromium diikuti sejarah keluarga.

Menurut Dr. Marfu’ah, selain tidak merokok, golongan wanita muda berusia antara 30 hingga 40-an dikesan mengalami kanser ini.

“Kita mencatatkan banyak kes kanser paru-paru dalam wanita muda yang usianya baru mencecah 30 hingga 40-an,”katanya.

Beliau berkata, antara simptom kanser paru-paru ialah batuk berpanjangan dan sukar bernafas.

Tanda-tanda lain ialah jangkitan pada paru-paru yang berulang, batuk berdarah, suara menjadi garau diikuti rasa penat atau lemah

Rawatan tepat hayat panjang

PEMBERIAN rawatan bersasar EGFR dapat memastikan jangka hayat pesakit lebih panjang.

Marfu’ah berkata, sekiranya tanpa rawatan, pesakit mungkin boleh hidup kira-kira enam bulan.

Tetapi dengan kaedah rawatan tepat, pesakit berpeluang meneruskan kehidupan sehingga 24 bulan, 36 bulan malah
mencecah 72 bulan.

“Walaupun kes kanser naik tetapi dari segi rawatan sudah semakin baik, bahkan kadar sembuh juga meningkat.

“Cuma yang membimbangkan saya adalah tahap kesedaran masyarakat berikutan banyak kes kanser di negara
ini dikesan di peringkat lewat,” katanya.

Menurut Marfu’ah, hal itu terjadi kerana pesakit dan keluarga lebih percaya kepada rawatan alternatif berbanding perubatan moden.

Lebih memburukkan keadaan apabila wujud tanggapan kononnya usia muda terhindar daripada kanser.

“Masyarakat menganggap kanser berlaku disebabkan genetik sedangkan banyak lagi faktor-faktor lain termasuk gaya hidup.

“Selain itu ada juga mitos yang kanser tidak boleh diubati dan ada penawar sedangkan ia sama sekali tidak tepat,” katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, stigma negatif yang kanser adalah penamat riwayat turut menyebabkan pesakit berputus asa untuk meneruskan kehidupan.

Bukan semua hospital ada pakar

BUKAN semua hospital di Malaysia memiliki kepakaran dan rawatan kanser termasuk pembedahan.Marfu’ah berkata, di HCTM perkhidmatan yang diberikan menyeluruh meliputi diagnosis hingga ke penjagaan kompleks.

“Kita mempunyai pasukan pakar kanser dalam pelbagai bidang termasuk pediatrik, hemato, kolorektal, neurologi dan onkofertiliti.

“Hal itu kerana kedudukan kanser berlainan antara satu individu dengan individu lain, maka rawatannya juga
berbeza.

“Misalnya isu kesuburan perlu diberi perhatian bagi pesakit kanser dalam kalangan wanita muda dan
di HCTM kita mempunyai pakar onkofertiliti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN