PETALING JAYA: “Bukan sekali dua, banyak kali sudah saya dapat tawaran persembahan dengan bayaran RM500 untuk satu jam. Di mana letak harga seni kami?”
Demikian luahan vokalis kumpulan Scan, Azan yang mendedahkan beberapa ditipu penganjur persembahan yang menggunakan istilah ‘tiada bajet’ atau ‘kawan-kawan’ sebagai alasan.
Katanya kepada Utusan Malaysia, ada juga penganjur yang tidak peduli kebajikan mereka dan hanya menyediakan bayaran persembahan tanpa mengambil tahu penginapan dan makanan mereka.
“Sampai bila nak guna alasan tiada bajet? Kalau sudah berani tawarkan persembahan, pasti sudah ada dana tertentu. Takkan RM500 kami nak bahagi empat dengan makan, penginapan dan minyak?
“Kami tiada anak isteri hendak suap makan? Sebab itu saya tolak sahaja. Tak masuk akal. Tak apalah kalau nak cop saya sombong atau tolak rezeki, biarlah sesuai bayarannya.
“Banyak tau tawaran yang saya tolak kerana bayaran yang tidak berpatutan. Kami pun sedar diri, bukan setaraf artis nama besar. Tetapi janganlah letak harga seni kami serendah itu,” katanya.
Dalam pada itu, Azan yang juga bekas peserta Gegar Vaganza 8 mengakui ada rakan artis yang terpaksa menerima bayaran serendah itu hanya kerana sangat memerlukan.
“Bila kami tolak, mestilah mereka (penganjur) akan tawarkan persembahan itu kepada orang lain. Ada yang tutup mata dan terima sahaja. Mereka mungkin dalam kesempitan.
“Tetapi selepas itu, pasti penganjur akan memberikan harga rendah yang sama kerana bagi mereka itulah ‘harga’ kami anak-anak seni. Saya tak boleh halang, itu pilhan masing-masing,” ujarnya.