Kalimah Allah: Antara pagar dan pokok

Kalimah Allah: Antara pagar dan pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TIDAK boleh dinafikan, pagar dan pokok sama penting. Tanpa pagar yang kukuh, pokok boleh terancam oleh makhluk perosak, namun begitu jangan bulat-bulat bergantung pada pagar sehingga lupa membaja pokok. Jika pokoknya gagah dek baja dan jaga, tanpa pagar pun ia boleh berdiri teguh.”

Isu kalimah Allah timbul lagi setelah lama tenggelam. Ia berlaku susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 15 Mei 2023 menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Perkembangan ini menimbulkan reaksi risau dan resah berbagai pihak. Untuk itu, rencana ini akan membawa analogi pokok dan pagar sebagai reaksi terhadap isu ini.

Anda mungkin tertanya-tanya apa kaitan pagar dan pokok dengan kalimah Allah? Metafora ini penulis utarakan bagi menjentik hati semua Muslim Malaysia agar tahu keutamaan mengenai isu yang seakan tidak berkesudahan ini.

Pokok adalah antara nikmat Allah yang sangat hebat untuk manusia. Banyak masalah akan dihadapi manusia jika tiada pokok di dunia. Bumi menjadi panas, stok oksigen semakin menipis dan sumber makanan turut berkurang.

Pendek kata fizikal manusia akan merana tanpa pokok yang subur dan rendang berbuah. Secara rohani pula, pokok boleh diibaratkan sebagai kalimah tauhid, keyakinan kepada Allah atau kefahaman Islam.

Analogi ini punyai asas dalam al-Quran yang bermaksud: Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik (kalimah tauhid pada ke-Esaan Allah- tahlil) adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (Ibrahim: 24-25)

Para ulama tafsir menjelaskan maksud perkataan yang baik yang diumpamakan sebagai pokok dalam ayat di atas adalah kalimah tauhid yang mengiktiraf bahawa Tiada Tuhan selayaknya disembah melainkan Allah. (Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Jalalayn)

Rasulullah SAW juga pernah memberi umpama orang beriman yang teguh tauhidnya seperti sebatang pokok kukuh serba guna.

Abdullah bin ‘Umar r.a pernah menceritakan yang bermaksud: (Pada suatu hari) kami duduk bersama Rasulullah. Baginda kemudiannya bertanya: “Khabarkan padaku tentang sebuah pokok yang menyerupai seorang Muslim. Ia (pokok itu) tidak gugur daunnya. Ia juga memberikan hasil (buah) sepanjang masa.” Abdullah bin ‘Umar berkata: “Terlintas di hatiku bahawa pokok itu adalah pokok kurma tapi aku malu untuk menyebutnya kerana melihat Abu Bakar dan Umar hanya diam tidak berbicara.” Setelah mereka semua diam, Rasulullah menjelaskan: “Pokok itu adalah pokok kurma.” (Sahih al-Bukhari, 4329).

Umat Islam di Malaysia sangat beruntung kerana memiliki peruntukan undang-undang yang memberi hak beberapa kalimah seperti Allah, solat, kiblat dan baitullah hanya untuk orang Islam. Setahu penulis tiada negara Islam di dunia punyai keistimewaan ini.

Peruntukan undang-undang itu seumpama pagar! Ia wajib disyukuri, dipertahan dan dijaga oleh umat Islam Malaysia. Cuma jangan pula terleka untuk membaja pokok agama dengan pengisian sepatutnya kerana terlalu manja dan selesa bergantung pada pagar semata-mata.

Dewasa ini semakin banyak ‘pagar’ sistem dan moral kehidupan manusia cuba diganggu gugat atas alasan hak asasi manusia.

Di Barat, banyak pagar moral sudah diruntuhkan oleh manusia gila dengan berbagai hujah pelik. Dahulu hubungan sejenis dipandang keji, namun kini ia sudah dianggap biasa kerana sesetengah negara sudah membenarkan perkahwinan sejenis atau berbagai budaya songsang lain.

Perkembangan ini antara jarum syaitan yang menghasut manusia agar mengubah ciptaan Allah dan menukar pagar sedia ada dengan pagar baharu yang tampak baik, tetapi bahaya untuk jangka masa panjang kehidupan manusia sendiri! Inilah bahayanya jika manusia berasa lebih pandai daripada Penciptanya sendiri.
Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Aku mencipta hamba-Ku suci (baik) kesemuanya, kemudian syaitan datang menyesatkan (merosakkan) mereka dari agama mereka, lalu syaitan (menghasut agar mereka) mengharamkan ke atas mereka apa yang sudah Aku halalkan, juga (syaitan) menyuruh mereka agar menyekutukan-Ku tanpa hujah yang Aku tidak pernah turunkan (kepada manusia). (Sahih Muslim, 5109).

Umat Islam perlu sedar cubaan meruntuhkan pagar yang menjaga kesucian Islam akan terus berlaku sehingga kiamat kerana perang antara yang benar dan batil tiada hujungnya.

Dalam konteks Malaysia, cabaran ke atas penggunaan kalimah Allah tidak akan berhenti sehingga ‘matlamat halus’ para pencabar ini tercapai.

Mereka akan beralasan; niatnya tulus hanya untuk pendidikan anak-anak mereka dan berbagai macam alasan lagi, namun sekilas ikan di air sudah kita tahu jantan betinanya. Hal ini kerana Allah sudah lama menyatakan dendam mereka itu terhadap umat Islam. (al-Baqarah: 120).

Oleh itu, walaupun mereka mendakwa tidak memukul gendang perang, kita tidak boleh leka bersandar hanya pada pagar undang-undang.

Sebaliknya kita perlu selalu bersiap siaga dengan hujah, ilmu, penghayatan agama dan amalan peningkat iman.

Perlu diingat, kita tidak mampu menghalang orang yang mahu meruntuhkan pagar kita, namun kita mampu menjaga dan membaja pokok akidah kita agar tetap kukuh berdiri memberi hasil buah kepada semua, sama ada yang Islam atau belum Islam.

Jika suatu hari nanti mereka berjaya meruntuhkan pagar yang selama ini menjaga kalimah Allah, solat, kiblat dan baitullah, kita tak perlu risau kerana pokok iman dan imuniti akidah kita sudah kukuh, kebal, kalis ujian dan rempuhan.

Saya percaya pada waktu itu, mereka yang asalnya mahu menebang pokok iman akan keletihan dek kekuatan dalaman umat Islam. Bahkan mereka boleh terpesona dek teduhan dan sedapnya khasiat buah yang ditawarkan pokok iman kita.

Jika ia terjadi, mereka pula akan menerima Islam dan bersama kita mempertahankan pokok itu.

Penulis ialah Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa UIAM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.