SERING kali terpaksa menolak tawaran produser, timbul kegusaran dalam hati pelakon, Nora Danish sekiranya ada rakan penerbit yang ‘berkecil hati’ dengannya.
Apatah lagi, alasan yang diberikan mungkin tidak cukup kuat untuk diterima sementelah dia juga dilihat lebih menjaga eksklusiviti terutama melibatkan skrip dan jalan cerita.
Lantas apabila ada yang mula menjaja cerita dia terlalu memilih, ibu kepada dua anak lelaki ini mula menyusun langkah seninya semula demi memastikan dia masih kekal relevan dalam industri.
“Selepas melahirkan anak kedua pada 2018, saya perlu memperlahankan rentak kerjaya. Banyak tawaran terpaksa saya tolak terutama jika melibatkan komitmen masa.
“Apatah lagi ketika itu, banyak juga tawaran yang diterima menuntut saya untuk bekerja di luar daerah. Ketika itu, memang agak mustahil untuk saya terima dan memberi komitmen.
“Hakikatnya, saya terlalu sayang kerjaya ini. Bila ada yang mengatakan, saya memilih, bukan sebenarnya, Saya cuma mengutamakan keluarga, menjaga eksklusiviti,” ujarnya.
Tidak mahu terus menerus menolak tawaran terutama watak-watak yang diidamkan, pelakon Sumpahan Malam Raya ini membuka syarikat produksinya sendiri, ND Production.
Hampir lima bulan beroperasi, Nora ketika ini sedang mempelajari selok-belok menguruskan syarikat produksi dan berhasrat untuk menghasilkan naskhah filem pertama tahun ini.
“Saya fikir, selepas 20 tahun dalam industri, inilah masa yang sesuai an tepat untuk saya mencuba sesuatu di luar zon selesa. Berbekalkan pengalaman yang ada.
“Saya juga sedang belajar bagaimana untuk menguruskan sebuah syarikat produksi. Kira belum setahun jagung pun lagi. Saya tidak boleh terburu-buru dan ‘tamak’.
“Insya-Allah, mengikut perancangan filem pertama akan diterbitkan selewat-lewatnya hujung tahun ini. Semua ini saya sudah rancang dan susun sejak bertahun lagi,” katanya.
MEMILIH WATAK, KARYA
Teruja bercerita tentang impian dan harapan untuk syarikat produksinya sendiri, jelas Nora dia tidak sabar untuk memilih jenis dan genre naskhah terbitannya termasuk pilihan pelakon yang diinginkan.
Jelasnya, dia juga tidak sabar untuk kembali aktif selepas lima tahun ‘terpaksa’ memendam rindu untuk berlakon terutama watak-watak yang berat dan tidak pernah dijayakan.
“Lima tahun lalu, saya banyak meluangkan masa menjaga anak-anak dan keluarga. Saya letak tepi kerisauan walaupun mungkin tidak lagi dapat tawaran berlakon.
“Tetapi bila ada produksi sendiri ini, saya sudah boleh kembali aktif. Saya juga dapat melepas gian berlakon watak-watak berat atau karakter yang belum pernah ditawarkan.
“Dalam pada masa yang sama, saya boleh memilih pelakon, jalan cerita atau sesiapa sahaja yang sebelum ini saya teringin untuk kerjasama. Boleh juga memastikan kesejahteraan kru terjaga dengan baik,” tambahnya.











