Larangan tidak bertegur sapa lebih tiga hari

Larangan tidak bertegur sapa lebih tiga hari

Penduduk setempat bergotong-royong memasang Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu adalah antara contoh kasih-sayang dan kerjasama yang digalakkan dalam Islam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kali ini saya ingin membawa satu hadis pasti sudah banyak dihafal oleh ramai umat Islam tetapi untuk menterjemahkannya dalam bentuk tindakan adalah terlalu sukar.

Hadis direkodkan di dalam Sahih al-Imam al-Bukhari: Daripada (Saidina) Anas, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: Tidak akan beriman seorang pun daripada kalangan kamu semua (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi untuk saudaranya apa yang dia sayangi untuk dirinya sendiri.

Maksud ‘menyayangi sesama muslim’ adalah mengasihi, mencintai dan gembira jika seseorang muslim yang lain melaksanakan perbuatan-perbuatan kebaikan dan perkara-perkara yang mubah. Ini menunjukkan kasih sayang di dalam Islam hanyalah kerana Allah SWT.

Seseorang muslim sejati pasti akan marah dan sedih jika teman semuslimnya yang lain hidup dalam kemaksiatan dan dibayangi oleh kemurkaan Allah.

Oleh itu kasih sayang yang sejati adalah keinginan seseorang muslim agar temannya diberkati dan berada di dalam kasih sayang Allah. Bukannya berada dalam kemurkaan dan maksiat kepada Allah.

Seseorang mukmin yang sejati akan sentiasa mengharapkan teman semuslimnya akan terus diberikan kebahagiaan dan nikmat oleh Allah. Dia akan merasa tenang jika temannya sentiasa sihat, gembira, tidak ditimpa masalah dan tidak diuji dengan kefakiran.

Namun jika seseorang muslim sakit hati dan tidak senang dengan kebahagiaan orang lain, ia satu petanda si muslim pendengki ini tidak memiliki iman yang sempurna.

Ada dalam masyarakat Islam yang sering bergaduh, mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguris hati temannya, dengki dan berdendam. Lebih menyedihkan apabila sikap dingin dan bermasam muka ini berlaku di dalam keluarga yang sama.

Hanya kerana perbalahan lama berkaitan harta pusaka sebagai contoh menyebabkan kebencian dan pergaduhan diwarisi generasi ke generasi. Ini satu sikap yang bercanggah dengan yang diajar oleh Islam.

Islam melarang umatnya daripada tidak bertegur sapa disebabkan pergaduhan dan perselisihan melebihi tempoh tiga hari. Maka bagaimanakah halnya dengan dua orang yang ada pertalian darah boleh bergaduh bertahun-tahun lamanya hanya disebabkan perselisihan kecil ataupun perbezaan pandangan dalam menguruskan harta pusaka?

Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu semua saling benci-membenci. Janganlah kamu semua saling berhasad dengki. Janganlah kamu semua saling belakang-membelakangi.

Jadilah kamu semua sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim untuk dia meninggalkan saudaranya lebih daripada tiga hari.

Menurut guru kami; Syeikh Prof. Dr. Sa’d bin Sa’d Jawish al-Husayniyy; maksud ‘saling belakang-membelakangi’ adalah tindakan seseorang yang memalingkan wajah daripada temannya kerana marah terhadap temannya itu.

Lalu apabila dia bertemu dengan temannya tersebut, dia terus memalingkan wajahnya daripada berhadapan dengan temannya sehingga temannya hanya menghadap bahagian belakang tubuhnya sahaja.

Hikmah Dibenarkan Tidak Bertegur Selama Tiga Hari

Islam menyedari dalam bersahabat dan bersaudara, perselisihan kadang-kadang tidak dapat dielakkan.
Akhirnya berlakulah ketegangan antara dua pihak.

Selalunya seorang manusia memerlukan waktu untuk berfikir secara rasional bagi memulihkan hubungan persaudaraan antara kedua-dua pihak.

Atas dasar inilah Islam memberi kelonggaran untuk setiap pihak mengambil masa bagi menjernihkan hubungan dalam masa tiga hari. Namun untuk terus membenci dan bermasam muka lebih daripada tiga hari, ini adalah tindakan yang tidak diredai oleh Allah SWT dan rasul-Nya.

Islam amat menggalakkan perdamaian dan kemaafan. Nabi SAW sendiri amat menganjurkan kepada dua orang yang berselisih faham agar salah seorang daripada mereka segera memulakan salam agar kekeruhan antara mereka terlerai.

Malah orang yang memulakan salam itu adalah yang paling baik dan paling disukai oleh Allah dan rasul-Nya. Hadis yang menggalakkan perdamaian tersebut diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim yang berbunyi: Daripada Abu Ayyub al-Ansori bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak halal bagi seorang lelaki untuk dia meninggalkan saudaranya melebihi tiga malam. Mereka berdua bertemu lalu yang ini akan berpaling dan yang ini (pun) akan berpaling. Orang yang terbaik antara mereka berdua adalah yang mula-mula memberikan salam.

Salahkah Kalau Hati Tidak Mampu Menyayangi?

Tidak dinafikan, kadang-kadang hati kecil kita tidak mampu menyayangi dan menerima seseorang.

Akhirnya kita tidak mampu untuk mesra dan menyukai orang tersebut. Pada hakikatnya, perasaan ‘sayang’ dan ‘benci’ datang daripada Allah yang dicampakkan ke dalam hati manusia.

Atas sebab itulah kadang-kadang seseorang yang baru bertemu dengan seorang yang lain, hatinya terus menyukai dan ingin mesra dengan orang tersebut. Kadang-kadang baru sahaja bertemu sudah menyebabkan hatinya merasa tidak suka kepada orang tersebut tanpa ada sebarang sebab.

Ini adalah bukti perasaan sayang dan benci adalah milik dan pemberian daripada Allah.

Prof. Dr. Sa’d menjelaskan, walaupun ‘sayang’ dan ‘benci’ itu datang daripada Allah, Islam melarang seseorang melakukan perbuatan yang menunjukkan bahawa dia membenci orang lain.

Seseorang muslim dilarang melakukan perbuatan yang boleh mengakibatkan kemarahan orang lain.

Walaupun kita tidak menyukai seseorang, dia tetap seorang manusia yang berhak mendapat haknya sebagai seorang manusia apatah lagi sekiranya dia seorang muslim.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya