Berpada-pada tayang kebahagiaan rumah tangga - Utusan Malaysia

Berpada-pada tayang kebahagiaan rumah tangga

BAHAGIA, rasa yang tidak perlu untuk orang lain mengetahuinya. GAMBAR UDY HAJI ANUR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak berlebihan jika dikatakan media sosial pada hari ini menjadi pengukur kebahagiaan rumah tangga.

Kebanyakan orang berlumba-lumba memuat naik kebahagiaan masing-masing di laman media sosial untuk menjadi tatapan umum.

Perlukah sebenarnya kebahagiaan ditayang?

Kaunselor Perkahwinan, Fadzli Aziz berkata, keperluan berkongsi kebahagiaan rumah tangga di media sosial bergantung kepada niat individu itu sendiri.

Katanya, tidak ada salahnya berkongsi kebahagiaan, namun berbalik kepada niat sama ada bertujuan menunjuk-nunjuk atau ingin memberikan inspirasi kepada orang lain.

“Saya faham ada sesetengah orang dia muat naik perkara-perkara bagahia kerana dia hendak rasa bahagia bila orang komen dan sebagainya.

“Tetapi adakah kebahagiaan kita bergantung kepada engagement di media sosial semata-mata? Adakah kalau tiada media sosial kita akan buat perkara yang sama?,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebaliknya, jelasnya, kebahagiaan adalah suatu rasa yang tidak perlu untuk orang lain mengetahuinya.

Jika bahagia, katanya, cukup diri sendiri yang rasa tanpa perlu orang lain tahu atau tanpa perlu ditunjuk.

Ada batas

Bagaimana pun, katanya, bagi yang ingin menunjukkan kebahagiaan untuk menginspirasikan orang lain, perkongsian itu perlulah mempunyai batas dan had agak tidak keterlaluan.

Kata Fadzli, perkongsian yang berlebihan dan sepanjang masa akan mengundang kewujudan individu yang mungkin akan memberi ancaman kepada ikatan perkahwinan.

Hal ini kerana , katanya, perkongsian mengenai kebaikan pasangan biasanya akan menarik individu yang memerlukan seseorang untuk memenuhi keperluan emosi.

“Sebaiknya jika ingin memberikan inspirasi mengenai kebahagiaan rumah tangga janganlah sampai sepanjang masa dan sehingga menjadikan hubungan sebagai content di media sosial.

“Sebab ia boleh menarik perhatian individu yang memerlukan seseorang untuk memenuhi keperluan emosi mereka. Orang ini mungkin pernah mengalami kegagalan perhubungan di masa lalu atau tidak jumpa pasangan seperti yang mereka inginkan.

“Dalam banyak kes rumah tangga saya kendalikan, kebanyakan bila ada isu, mereka ini memilih solusi dengan mencari pengganti yang boleh memenuhi keperluan emosi mereka. Sebab itu mereka tidak kisah orang itu sudah berkahwin atau berpasangan kerana mahu menumpang kasih,” ujarnya.

Justeru katanya, bersederhana adalah pilihan yang bijak sekiranya memilih untuk berkongsi kebahagiaan untuk tatapan umum.

Selain itu, katanya, isteri atau pasangan yang terbuka untuk berkongsi kebahagiaan dan kebaikan pasangan juga perlu terbuka untuk menerima situasi suami disukai oleh orang luar.

Perkongsian yang kerap tidak mustahil akan menjadikan seseorang mengidolakan pasangan sehingga mempunyai rasa untuk memiliki pasangan yang sama.

Bijak mentafsir

Bagi orang luar pula katanya, setiap perkongsian perlulah dinilai dengan bijak dan jangan terlalu hanyut melihat kebahagiaan yang dipamerkan.

“Sebagai orang luar pula pertama kita kena fikir mungkin perkongsian sebegitu hanya untuk memberikan inspirasi kepada orang lain.

“Dan kita kena ingat juga kebiasaannya yang dipamerkan di media sosial hanya yang baik-baik sahaja dan yang tidak baik selalunya orang tidak tunjuk,” jelasnya.

Cabaran media sosial

Perkembangan pesat media sosial pada ketika ini menjadi antara cabaran terbesar dalam perkahwinan.

Ia merupakan dunia tanpa sempadan yang membolehkan orang ramai berkomunikasi dari mana-mana sahaja.

Kata Fadzli, pasangan yang berkahwin perlu mengambil langkah lebih berhati-hati menggunakan media sosial memandangkan kenalan bukan lagi dalam kalangan orang sekeliling.

“Dulu-dulu kenalan hanya dalam lingkungan sekeliling kita dan yang dikenali sahaja tetapi apabila muncul media sosial kenalan tiada lagi batasan geografi.

“Perlu lebih berhati-hati dan berjaga sebab boleh jadi di situ ada kekasih lama yang tidak mustahil perasaan lama juga boleh timbul kembali,” jelasnya.

Wanita makin terdesak?

Mengenai wanita yang semakin berani dan terang-terangan mendekati isteri untuk mendapatkan suami, kata Fadzli ia adalah ‘nasib’.

Katanya, tidak semua orang diberikan rezeki mempunyai suami yang baik dan bertanggungjawab.

“Mungkin sebelum kahwin mereka bertemu dengan lelaki yang baik namun selepas berkahwin lelaki berkenaan mula berubah.

“Walaupun ada suami yang baik dari sudut kewangan namun ia tidak menjanjikan kebahagiaan. Ini yang menyebabkan mereka merasakan kekosongan emosi dalam rumah tangga dan mula mencari orang luar,” katanya.

Ada wanita berani menonjolkan diri untuk meminta izin kepada isteri untuk berkenalan dengan suami.

Kata Fadzli, isteri dinasihatkan agar tidak terus memberikan respon negatif kerana bimbang akan menjadi perkara yang tidak diingini.

Baru-baru ini seorang Pempengaruh Media Sosial yang juga usahawan, Aisyah Hijanah mendapat perhatian umum apabila mendedahkan ada wanita yang tanpa segan silu mendekatinya untuk meminta keizinan bermadu.

Mengikut kata Aisyah di Insta Story, individu berkenaan bertindak menghantar e-mel kepadanya memberitahu menyukai suaminya, Alif dan sedia untuk hidup bermadu.

Wanita itu turut mendakwa mengikuti mereka berdua semasa mengerjakan umrah.

“Kita kena ada duit atau pandai cari duit supaya kalau lelaki kena sondol kita masih boleh teruskan hidup, upah peguam untuk beri pengajaran kepada penyondol dan sara anak-anak.

“Kita sendiri boleh memilih hendak cari suami orang atau lelaki bujang. Kalau tindakan kita akan merosakkan rumah tangga orang, lebih baik hentikan,” nasihatnya di Insta Story.

KAEDAH RESPOND PESANAN:

* Jangan respon dengan cara yang terlalu negatif memandangkan kita tidak mengenali siapa dia yang sebenarnya.

* Dibimbangi berlaku dendam, sihir dan sebagainya.

* Respon dengan cara yang baik dan berterima kasih kerana dia berterus-terang.

* Pilih untuk respon dengan tenang atau tidak respon langsung adalah pilihan yang lebih baik.

* Nasihat secara baik bahawa yang dipamerkan yang baik-baik sahaja, selebihnya hanya suami atau isteri yang tahu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya