KUALA LUMPUR: Nilai eksport halal negara dijangka melonjak kepada RM80 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan & Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Bahria Mohd Tamil berkata, ini sekali gus meningkatkan sasaran sumbangan sektor berkenaan kepada 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Perdagangan Malaysia terus menunjukkan daya tahan dan momentum yang stabil. Pada 2025, jumlah perdagangan melepasi paras RM3 trilion buat kali pertama, mencecah RM3.06 trilion dan mencerminkan pertumbuhan sebanyak 6.2 peratus.
“Eksport dan import kedua-duanya mencapai nilai tahunan tertinggi dalam rekod, dengan eksport berkembang sebanyak 6.4 peratus kepada RM1.61 trilion, manakala import meningkat sebanyak 6.0 peratus kepada RM1.45 trilion.
“Pencapaian bersejarah ini merupakan bukti kekukuhan dasar kami, kebolehsuaian perniagaan kami dan keyakinan berterusan yang diletakkan oleh pasaran global di Malaysia, walaupun dalam menghadapi ketidakpastian global,” katanya pada majlis pra pelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2026 di sini, semalam.
Bahria berkata, peningkatan kos logistik dan kelewatan penghantaran memberi bebanan berat kepada syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kekal sebagai tulang belakang ekonomi negara kita.
“Sekiranya rintangan ini dibiarkan tanpa sebarang intervensi, ia berisiko menyekat pertumbuhan serta menghakis daya saing Malaysia di pasaran global,” katanya.
Tambahya, MITI bersama agensinya termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini menjalin kerjasama erat untuk memperkukuh daya tahan dan daya saing PKS tempatan.
“Fokus kami tertumpu kepada peningkatan produktiviti, menyokong pendigitalan, memudahkan pengeksportan serta mencipta peluang pasaran baharu.
“Antara strategi bersasar yang digerakkan adalah mempelbagaikan pangkalan eksport ke pasaran pesat membangun seperti Amerika Latin, Afrika, dan Asia Tengah.
“MITI sedang memaksimumkan penggunaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan memperkukuh inisiatif perdagangan digital melalui Platform Perdagangan Digital Madani (MDTP) anjuran Matrade,” ujarnya. – UTUSAN










