PETALING JAYA: Indeks volum eksport dan import Malaysia masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 12 peratus dan 6.8 peratus pada Mac 2026, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport turut meningkat 1.4 peratus daripada 153.1 mata pada bulan sebelumnya kepada 155.3 mata, manakala indeks nilai seunit import melonjak 1.8 peratus kepada 124.8 mata.
“Kenaikan indeks nilai seunit eksport disumbangkan oleh pertumbuhan dalam indeks minyak galian (5.4 peratus), bahan kimia (0.6 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.5 peratus).
“Indeks volum eksport pula meningkat 12 peratus selaras dengan prestasi positif indeks minyak galian (26.1 peratus), barang-barang keluaran kilang (19.4 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (17.8 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, bagi sektor import, kenaikan indeks nilai seunit sebanyak 1.8 peratus didorong oleh lonjakan dalam indeks minyak galian (17.1 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (0.7 peratus) dan makanan (0.1 peratus).
Katanya, indeks volum import turut meningkat 6.8 peratus berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh indeks bahan kimia (15.3 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (10.5 peratus) serta barang-barang keluaran kilang (10 peratus).
“Sebaliknya, terma perdagangan Malaysia mencatatkan penurunan tipis 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 124.4 mata, didorong oleh penurunan dalam indeks minyak galian (-10 peratus) serta minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-0.5 peratus).
“Walau bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan terma perdagangan negara bertambah 4.1 peratus berbanding 119.5 mata pada Mac tahun lalu,” katanya.
Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut menunjukkan trend positif dengan peningkatan 13.4 peratus kepada 180.1 mata, manakala indeks volum import pelarasan bermusim meningkat 6.3 peratus kepada 162.5 mata. –UTUSAN










