KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat dijangka memberi kesan minimum terhadap Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), meskipun persekitaran ekonomi global terus mencatatkan prestasi yang semakin lemah.
Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Affendi Rashdi berkata, kesannya terhadap industri kewangan di Labuan IBFC adalah terhad serta tidak menjejaskan asas kestabilan pusat kewangan itu.
“Ini walaupun wujud perubahan dalam aliran perniagaan dan sentimen pelabur susulan perkembangan di rantau berkenaan.
“Dari segi impak segera, tidak banyak. Mungkin ada sedikit kesan negatif dari segi perbezaan, tetapi secara keseluruhan impaknya kepada industri adalah minimum,” katanya selepas pembentangan Laporan Pasaran IBFC Labuan 2025 di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya kini sedang berhubung rapat dengan pemain industri serta persatuan berkaitan bagi memahami dan menguruskan kesan tidak langsung daripada ketidaktentuan di Asia Barat,
“Ini termasuk dalam sektor pajakan dan beberapa segmen kewangan lain yang dijangka terkesan secara kecil.
“Bagaimanapun, keadaan semasa turut membuka ruang kepada peluang baharu, khususnya melibatkan aliran modal daripada pelabur yang mencari persekitaran dengan risiko geopolitik lebih rendah.
“Dalam masa yang sama, kita juga melihat peluang baharu. Ada pelabur yang beralih kepada pasaran dengan konflik lebih rendah, dan ini memberi ruang kepada Labuan IBFC,” jelasnya.
Seiring cabaran global itu, Labuan IBFC telah mengenal pasti tiga keutamaan strategik bagi 2026, iaitu memperkukuh pembangunan pasaran dan inovasi, memperkemas rangka kerja kawal selia serta meningkatkan kecekapan operasi melalui pendigitalan.
“Antara sektor tumpuan termasuk kewangan digital, kewangan Islam dan insurans, selain pengukuhan peraturan melibatkan syarikat amanah, perbankan dan takaful.
“Pada masa sama, aspek pematuhan termasuk pencegahan pengubahan wang haram (AML/CFT) turut diperkukuh selaras dengan penilaian semula standard antarabangsa,” katanya.
Labuan IBFC turut menyasarkan pengembangan pasaran ke rantau Asia Barat, China dan Afrika, yang dilihat sebagai sumber pertumbuhan baharu bagi industri kewangan antarabangsa.
“Kita perlu lebih bersasar. Asia Barat dan China berada dalam radar utama, selain peluang dari Afrika khususnya dalam kewangan Islam,” katanya.
“Selain itu, kerjasama dengan organisasi multilateral antarabangsa turut diperluas bagi meneroka potensi segmen kewangan Islam dan produk berasaskan Labuan, khususnya dari Afrika Barat.
Dalam pada itu, Labuan IBFC menegaskan strategi jangka panjangnya kekal memberi tumpuan kepada menarik pelabur berkualiti tinggi berbanding sekadar pertambahan jumlah pemain.
“Kita mahukan pemain yang berkualiti. Strategi ini penting bagi memastikan Labuan IBFC kekal berdaya saing.
“Ini khususnya dalam sektor khusus seperti kewangan Islam, kewangan digital dan modal swasta, berbanding bersaing secara langsung dengan pusat kewangan serantau lain. – UTUSAN










