KUANTAN: Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik dilihat sebagai jalan terbaik bagi merungkai kemelut politik di Negeri Sembilan ketika ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menegaskan, langkah itu selari dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang menyeru agar diwujudkan kerajaan perpaduan susulan Parlimen tergantung pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, Negeri Sembilan berpeluang menjadi negeri pertama yang membentuk kerajaan perpaduan dengan penglibatan semua parti politik, sekali gus menolak amalan penubuhan kerajaan secara ‘tebuk atap’ yang boleh menjejaskan kestabilan.
“Perbincangan perlu dibuat dengan membabitkan semua parti politik dan sudah tentu jawatan Menteri Besar harus diberikan kepada single parti yang mempunyai kerusi terbanyak, bukan di bawah gabungan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, 14 ahli dewan undangan negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.
Susulan perkembangan itu, Aminuddin memaklumkan beliau masih kekal Menteri Besar dan kedudukan Pakatan Harapan (PH) kini sebagai kerajaan minoriti tidak terjejas serta boleh berfungsi sebagai kerajaan negeri.
Untuk rekod pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang lalu, BN menang di 14 kerusi DUN daripada 17 kerusi yang mana kesemuanya ditandingi oleh UMNO.
PH pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP 11 kerusi, PKR lima kerusi dan satu kerusi Parti Amanah Negara (Amanah). Perikatan Nasional (PN) menang di lima kerusi.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar, keputusan akhir untuk mewujudkan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan terletak di atas kebijaksanaan pimpinan tertinggi setiap parti politik. – UTUSAN










