PETALING JAYA: Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia bagi Mac 2026 apabila menyumbang sebanyak 46.7 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negara, diikuti Johor (17.6 peratus) dan Selangor (14.3 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai eksport Malaysia pada bulan tersebut mencapai RM148.8 bilion, mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM11.4 bilion atau 8.3 peratus.
Menurut beliau, prestasi eksport negara dipengaruhi oleh nilai yang lebih tinggi di beberapa negeri diterajui Pulau Pinang yang meningkat sebanyak RM17.6 bilion.
“Negeri lain yang turut mencatatkan pertumbuhan eksport ialah Johor (+RM1.8 bilion), Sabah (+RM607.3 juta), Perak (+RM357.0 juta), Terengganu (+RM224.2 juta), Kedah (+RM162.6 juta) dan Labuan (+RM21.2 juta).
“Bagaimanapun, nilai eksport di Selangor menyusut sebanyak RM4.6 bilion, diikuti Kuala Lumpur (-RM1.2 bilion), Melaka (-RM1.1 bilion) dan Pahang (-RM1.0 bilion),” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai prestasi import, Mohd. Uzir berkata, nilai import negara meningkat RM11.7 bilion atau 10.4 peratus kepada RM124.2 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, peningkatan itu didorong oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri termasuk Pulau Pinang (+RM7.3 bilion), Selangor (+RM3.3 bilion), Kedah (+RM1.4 bilion) dan Johor (+RM1.0 bilion).
“Pulau Pinang turut mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 28.1 peratus, diikuti oleh Selangor (24.8 peratus), Johor (22.0 peratus), Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (5.6 peratus).
“Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM273 bilion pada Mac 2026,” jelas beliau.
Bagi negeri lain yang mencatatkan penurunan import termasuklah Kuala Lumpur (-RM558.5 juta), Sarawak (-RM445.9 juta), Melaka (-RM250.3 juta), Pahang (-RM215.9 juta), Terengganu (-RM59.8 juta) dan Labuan (-RM15.5 juta). –UTUSAN










