MELAKA: Tahun ini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melaka Tinggi di sini, atau turut dikenali Malacca High School (MHS) menyambut ulang tahun ke-200 tahun atau dua abad penubuhannya.
Sekolah ini yang letaknya di pusat bandaraya Melaka ditubuhkan pada 1826, adalah sekolah tertua di Melaka dan kedua tertua di Malaysia selepas Penang Free School di Pulau Pinang.
Sempena sambutan ulang tahun itu, sekolah ini pada hujung minggu lalu menganjurkan MHS Fun Run: 200 Years of Glory atau Larian Santai MHS: 200 Tahun Kegemilangan.
Larian sejauh lima kilometer ini di sekitar pusat bandaraya disertai kira-kira 1,000 peserta dengan perasmiannya disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam.
Mohd Ali yang juga alumni MHS turut meluangkan masa menyertai larian bersama dengan warga sekolah termasuk pengetuanya, Johan Othman, kelab staff dan wakil persatuan ibu bapa guru (PIBG).
Johan berkata penganjuran MHS Fun Run: 200 Years of Glory melalui Kelab Staf SMK Tinggi Melaka adalah sebagai tanda penghargaan terhadap legasi dua abad kecemerlangan institusi berkenaan.
Katanya, selain meraikan sejarah panjang sekolah, program ini turut menjadi platform kutipan dana bagi menambah baik kemudahan sekolah, termasuk penyediaan stesen minuman di setiap blok akademik serta penambahbaikan kemudahan
bilik guru demi kesejahteraan murid dan warga pendidik.
“Penganjuran ini menghimpunkan warga sekolah, alumni, ibu bapa dan komuniti setempat dalam satu acara santai yang menggalakkan gaya hidup sihat, di samping mengukuhkan hubungan dan semangat kebersamaan,” katanya.
Johan berkata sambutan ini bukan sekadar mengimbau sejarah, malah membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan masa depan sekolah yang lebih cemerlang.
Katanya, program ini mendapat sokongan penuh pelbagai pihak termasuk Pejabat TYT Negeri Melaka, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
“Selain itu Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Syarikat Air Melaka Bhd serta rakan penaja seperti ANAF Solutions, Milo, Farm Fresh dan McDonald’s. Penyertaan Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri melalui program khas Ukhuwah MADANI bersama PIBG SMK Tinggi Melaka turut memeriahkan penganjuran.
“Program ini diharap menjadi simbol sokongan berterusan dalam memperkukuh peranan SMK Tinggi Melaka sebagai institusi pendidikan unggul yang melahirkan generasi berilmu dan berwibawa,” katanya. – UTUSAN










