Lelaki tidak mengaku bersalah langgar bekas teman wanita - Utusan Malaysia

Lelaki tidak mengaku bersalah langgar bekas teman wanita

VINCENT Lim Jia Leong (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas pertuduhan cuba membunuh bekas kekasihnya, kira-kira dua minggu lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang bekerja sebagai jurujual barangan binaan mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan cubaan membunuh bekas kekasihnya, kira-kira dua minggu yang lalu.

Tertuduh, Vincent Lim Jia Leong, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melanggar seorang wanita berusia 41 tahun dan seorang lelaki berumur 44 tahun menggunakan sebuah kereta BMW bernombor pendaftaran VER8191 sehingga berpotensi menyebabkan kematian kira-kira pukul 9.45 malam di Jalan Lorong Perusahaan Maju 8, Auto City, Perai, pada 15 April lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh pula diwakili peguam, Parmjit Singh.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000, namun, pihak pembelaan memohon agar jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira pendapatan tertuduh sekitar RM2,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Tarikh 4 Jun depan pula ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa difahamkan mengalami kecederaan ringan selepas dipercayai dilanggar suspek yang mengekori mereka dari kawasan Auto City di sini.

Difahamkan juga, suspek bertindak melanggar kenderaan milik salah seorang mangsa terlebih dahulu sebelum kedua-dua pihak berhenti untuk berbincang. Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba membuat pusingan U dan merempuh kedua-dua mangsa sebelum melarikan diri.

Setakat ini, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu suspek terhadap bekas kekasihnya yang kini mempunyai pasangan lain. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN