Virus Covid-19 terus ‘mengintai’ manusia - Utusan Malaysia

Virus Covid-19 terus ‘mengintai’ manusia

Vaksin dahulu tidak dapat memberi perlindungan optimum terhadap jangkitan Covid-19, berikutan Omicron boleh mengelak daripada dikesan antibodi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua tahun dulu, kita cukup risau apabila bersesak-sesak di tempat awam dan memastikan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga jarak sosial dan menggunakan cecair nyah kuman walau ke mana saja.

Namun kini orang ramai seakan sudah tidak kisah lagi dengan semua ini. Ramai yang berhimpit-himpit dalam kenderaan awam seperti LRT, pasar, pasaraya atau tempat awam lain tanpa memakai pelitup muka. Apatah lagi hendak menjaga jarak sosial seperti dulu.

Lebih membimbangkan apabila sempadan negara kini dibuka kepada pelancong asing. Apakah kita perlahan-lahan mula lupa dengan ancaman virus Covid-19 kerana merasakan sudah selamat dan kebal dengan vaksin yang pernah diambil sebelum ini?

Ketua Unit dan Perunding Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan Universiti Malaya, Dr. Sharifah Faridah Syed Omar berkata, virus Covid-19 sentiasa berkembang dengan pelbagai subvarian baharu yang sentiasa ‘mengintai’ untuk menjangkiti sesiapa saja. Antara yang terbaharu adalah XBB 1.5 yang digelar Kraken.

Dr. Sharifah Faridah Syed Omar.

“Varian Omicron merupakan varian yang membimbangkan sejak November 2021 dan adalah varian dominan sejak 2022. Memandangkan varian Omicron adalah varian utama yang masih menular pada masa ini, sudah banyak subvarian baharu yang muncul. Ini termasuk BA 1, BA 2, BA 3, BA 4 dan BA5.

“Kesemua subvarian ini pula mempunyai sublineage mereka yang tersendiri seperti XBB.1.5 (daripada subvarian BA 2), BA 5.2 dan BA.7 (daripada subvarian BA.5). Setakat ini, kebanyakan sublineage yang baharu, termasuk BA 5.2 dan BF.7 menyebabkan peningkatan kes-kes Covid-19 akibat jangkitan baharu atau jangkitan berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jangkitan baharu atau berulang berlaku disebabkan subvarian berkenaan dapat mengelak sistem imun yang telah dibina melalui vaksin atau jangkitan Covid-19 terdahulu. Justeru, walaupun kelonggaran diberikan, masyarakat masih perlu mengambil langkah pencegahan jangkitan Covid-19, yang antara lain termasuklah memakai pelitup muka.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, orang ramai wajar mengambil dos tambahan atau dos penggalak terutama dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.
Pengambilan vaksin hanya salah satu daripada langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan penularan jangkitan, kes teruk dan kematian daripada Covid-19.

“Dos vaksin terdahulu tidak dapat memberi perlindungan optimum terhadap jangkitan Covid-19, berikutan varian Omicron mampu mengelak daripada dikesan oleh antibodi yang terhasil daripada vaksin sedia ada.

“Lebih daripada itu, tahap antibodi menurun beberapa bulan selepas pengambilan vaksin dan selepas jangkitan Covid-19 terdahulu. Oleh itu pengambilan dos tambahan dapat meningkatkan tahap antibodi dan perlindungan.

“Sungguhpun keberkesanan vaksin melindungi jangkitan menurun selepas beberapa bulan, ia masih berupaya melindungi daripada jangkitan teruk atau kematian pada tahap yang tinggi,” katanya.
Dr. Sharifah berkata, sekiranya tidak mengambil dos tambahan, penularan kes akan terus berlaku.

Malah kemunculan varian baharu juga lebih mudah terjadi.

“Apabila penularan kes tinggi, individu yang berisiko tinggi juga akan terdedah kepada jangkitan dan boleh mendapat jangkitan yang lebih teruk, terutamanya jika mereka sendiri belum mendapatkan dos tambahan.

“Ini boleh menyebabkan peningkatan kes yang memerlukan rawatan di hospital dan kematian,” katanya.

Pelancong tingkatkan jangkitan?
Kemasukan pelawat dari mana-mana negara adalah satu risiko kepada negara. Ini kerana Covid-19 adalah pandemik yang membabitkan satu dunia.

Fenomena peningkatan kes berlaku di mana-mana negara apabila beralih daripada polisi sekatan pergerakan kepada pembukaan pergerakan.

Dr. Sharifah berkata, peningkatan kes secara mendadak di China berikutan mereka bertukar polisi daripada Zero-Covid kepada pembukaan secara menyeluruh selain memiliki jumlah penduduk yang padat.

SEMPADAN negara yang kini dibuka kepada pelancong asing, dikhuatiri meningkatkan risiko jangkitan varian baharu.

“Peningkatan kes berlaku dengan sangat cepat juga mungkin kerana pengambilan vaksin selain vaksin mRNA di China. Sebagai langkah berjaga-jaga, negara seharusnya memantau kemasukan mana-mana pelawat dari mana-mana negara. Ujian saringan secara rawak perlu dilakukan dan ke atas mereka yang bergejala,” katanya.

Ujarnya, pergerakan pelawat perlu dipantau, bukan hanya daripada China tetapi dari mana-mana negara.

“Kita perlu beringat yang pemantauan ini bukan hanya untuk Covid-19 tetapi terdapat banyak penyakit berjangkit lain yang perlu juga dikesan. Penularan penyakit akibat daripada pelawat luar negara boleh menjejaskan sektor ekonomi dan kesihatan negara kita.

“Peningkatan kes yang tidak terkawal, boleh menjejaskan ekonomi sesebuah negara. Selain itu, tenaga kerja juga boleh tergugat kerana ramai yang tidak dapat bertugas apabila jatuh sakit. Peningkatan kes juga boleh menjadi teruk dan memerlukan rawatan di hospital.

“Situasi ini akan membebankan sektor kesihatan kita yang sememangnya sudah dibebani dengan pelbagai kes kesihatan lain seperti sakit jantung, kencing manis, kanser dan sebagainya.

“Perkhidmatan kesihatan memang tercabar dengan peningkatan kes-kes Covid-19 pada awal pandemik dahulu. Kita boleh mengambil banyak pengajaran daripada pengalaman tersebut jika berlakunya peningkatan semula kes Covid-19,” katanya.

Bersiap sedia berdepan peningkatan penyakit berjangkit
Dr. Sharifah berkata, dengan pembukaan sempadan, negara perlu bersiap sedia untuk menerima peningkatan kes daripada penyakit-penyakit lain juga seperti denggi atau mana-mana penularan penyakit lain, yang belum diketahui.

“Kita perlu sentiasa bersedia dan cuba mencegah kenaikan kes untuk penyakit-penyakit yang kita sudah ketahui. Langkah-langkah pencegahan yang berkesan untuk mengawal kes Covid-19 yang teruk atau serius sudah diketahui. Ini termasuk pengambilan dos vaksin, pengambilan antiviral dan mengamalkan SOP yang bersesuaian.

“Ini akan mengurangkan keperluan untuk mendapat rawatan di hospital dan sekaligus mengurangkan beban ke atas hospital. Namun, kualiti di hospital kita masih sangat baik. Benar perawatan untuk pesakit bukan Covid-19 terjejas untuk satu tempoh masa, tetapi itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan semasa di puncak pandemik dan perkara yang sama berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Katanya Universiti Malaya menubuhkan UMVOICE (Universiti Malaya Vaccine CommunIcation Collaborative Effort) sebagai badan penyelaras bagi meningkatkan kesedaran umum untuk mengambil vaksin. Ia juga sebagai platform rujukan masyarakat untuk maklumat yang sahih dan mudah dicapai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya