The Wild Dreams Tour: Westlife bawa memori Abba - Utusan Malaysia

The Wild Dreams Tour: Westlife bawa memori Abba

PERSEMBAHAN bertenaga kumpulan ini meninggalkan kesan mendalam pada peminat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI peminat pop culture, muzik adalah antara medium terbesar yang memainkan peranan membentuk memori atau nostalgia yang lazimnya mengingatkan kita dengan waktu-waktu membesar, bahkan saat remaja.

Jika anda lahir di era 90-an, muzik pop begitu meluas menakluk selera pendengar. Ketika itu, dapat dilihat begitu banyak artis berkumpulan tumbuh bagai cendawan, mencuba nasib untuk mendominasi dunia.

Bagaimanapun, jika tidak ada tuah dan strategi pemasaran yang bagus, sesebuah kumpulan itu mungkin cuma mampu dikenali sebagai artis one-hit wonder.

Silap hari bulan, tidak mampu terkenal langsung kerana saingan pada waktu itu boleh tahan ‘menggila’.

Bayangkan, ada New Kids On The Block, Take That, Backstreet Boys, Boyzone, Spice Girls, Nsync atau bahkan Five, semuanya begitu popular dan menjadi fenomena pada era itu.

Di sebalik nama-nama besar itu, pada penghujung era 1990-an, spesifiknya pada 1999, sekumpulan jejaka dari Dublin, Ireland, memulakan langkah berani untuk meraih perhatian dunia dengan kemunculan pertama mereka menerusi single Swear It Again.

Siapa sangka, percaturan Shane Filan, Mark Feehily, Kian Egan, Nicky Byrne dan Brian McFadden menjadi. Westlife mengukir populariti yang memuncak.

Westlife juga menjadi antara kumpulan yang lama bertahan dalam industri muzik antarabangsa pada saat beberapa nama lain telah gugur dan hanya tinggal kenangan.

Meskipun pernah dibubarkan pada 2012 yang turut menyaksikan Brian terlebih dahulu keluar pada 2004, Westlife kembali bersatu pada 2018 meneruskan perjuangan yang tertangguh.

Satu daripada impian mereka adalah untuk terus menghiburkan peminat yang sekian lama menyokong.

Ia juga menjadi penyebab mengapa Westlife mampu tersenyum bangga dengan kejayaan 12 album yang dihasilkan sepanjang tempoh itu. Semuanya dilakukan demi peminat.

Lalu, kerana peminat juga, mereka yang kini tinggal berempat, tidak kisah untuk berpenat lelah dengan penganjuran konsert jelajah dunia walaupun akur, masing-masing bukan lagi berusia 20-an.

Terbaharu, menerusi penganjuran konsert The Wild Dreams Tour di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 23 dan 24 Februari lalu, Shane, Mark, Kian dan Nicky kembali untuk kali ketiga ke negara ini menghiburkan peminat.

Kali terakhir mereka turun padang dan menjayakan konsert di sini adalah pada 2019 (The Twenty Tour) dan konsert The Gravity Tour pada 2011.

Masih mampu beraksi, keempat-empat mereka tidak kelihatan janggal berada di pentas, walaupun mungkin ada yang berpendapat, mereka bagaikan sedang menonton ‘bapa-bapa’ menari dan menyanyi.
Mereka menari dan menyanyi dengan begitu bertenaga.

Paling penting, berupaya menghiburkan penonton yang rata-ratanya tidak lagi remaja.

Membuka tirai persembahan dengan lagu berjudul Starlight, Westlife tidak membuang masa dengan menyajikan persembahan padat dari satu lagu ke satu lagu selama hampir dua jam.

Seleksi lagu hits yang wajib dibawakan tentunya seperti Uptown Girl, I Lay My Love on You, My Love, Fool Again, If I Let You Go, Swear It Again dan Flying Without Wings.

Kesemua lagu itu tidak semena-mena menghanyutkan peminat ke dalam lautan nostalgia yang menyaksikan rata-rata mereka mula menggilai Westlife ketika masing-masing masih di bangku sekolah.

Meskipun 23 tahun telah berlalu, ramai masih hafal lirik lagu-lagu hits kumpulan ini seakan semuanya segar dalam ingatan.

Bercakap mengenai memori lama, Shane mewakili kumpulan, tidak menolak mereka sentiasa teruja bila berpeluang untuk berkunjung ke negara ini.

“Tidak sangka, kami berpeluang lagi datang ke Malaysia. Kami tahu, masing-masing sudah masuk angka usia 40-an. Tetapi, setiap kali dapat peluang untuk beraksi, kami bayangkan saat ketika kami masih muda.

“Siapa sangka, selama 23 tahun ini juga membuatkan kami masih utuh bersama. Ia sebuah perjalanan yang jauh namun kami terharu kerana peminat masih setia menyokong kumpulan ini,” katanya.

Cipta momen Mamma Mia!
Selain memba­wakan lagu-lagu sendiri, konsert The Wild Dreams ini juga mencipta nostalgia lain khususnya bagi peminat dan pendengar yang berjiwa old school.

Sengaja memberi kejutan kepada penonton menerusi segmen tribute, Westlife memilih lagu-lagu kumpulan Abba untuk dibawakan dalam persembahan mereka.

Abba meru­pakan antara ikon dunia muzik kegemaran empat jejaka ini yang turut mencorak inspirasi buat kerjaya seni Westlife.

Ia juga dapat dilihat menerusi rakaman semula lagu berjudul I Have A Dream nyanyian asal Abba, yang dibawakan dalam versi Westlife ketika mereka membuat kemunculan pada tahun 1999.

Lagu itu juga mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat yang beranggapan, Westlife menyuntik ‘jiwa’ yang berbeza menerusi versi tersebut.

Menerusi konsert tempoh hari, antara lagu popular kumpulan asal Sweden itu yang menjadi pilihan Westlife untuk persembahan termasuk seperti Mamma Mia, Gimme! Gimme! Gimme!, Money, Money, Money, Dancing Queen, Waterloo dan Thank You For the Music.

Bagaikan sebuah persembahan broadway Mamma Mia, barangkali boleh dikatakan begitu.

Pendek kata, semuanya dilakukan secara bersahaja sehingga membuatkan penonton turut sama menari sambil menikmati kehangatan persembahan.

Persembahan akhir ditutup dengan lagu berjudul Raise Me Up sekali gus meninggalkan 16,000 penonton dengan sejuta kenangan baharu yang tercipta dan dikongsi bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya