Syarikat untung jika lantik Lembaga Pengarah wanita - Utusan Malaysia

Syarikat untung jika lantik Lembaga Pengarah wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUKAH anda pemerkasaan dan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan terbukti memberi manfaat kepada seluruh komuniti?

Laporan Credit Suisse pada 2016 mendedahkan, syarikat yang diterajui sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita mampu mencatatkan pulangan pelaburan positif berbanding organisasi dianggotai hanya lelaki sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Tidak cukup dengan itu, laporan Moody’s Investors Service pada 2022 pula mendapati penyertaan besar wanita dalam Lembaga Pengarah memberi kesan kepada penarafan kredit yang tinggi.

Ini bermaksud, mana-mana syarikat yang kurang diwakili wanita dalam organisasi pembuat keputusan lazimnya berdepan prestasi lemah.

Terkini, Indeks Kesaksamaan Gender Bloomberg 2023 menjelaskan, Malaysia mengatasi purata kesaksamaan gender global hasil kajian dilakukan terhadap empat syarikat tempatan iaitu Bursa Malaysia, Digi, Top Glove dan Maybank.

Penemuan mendapati keempat-empat organisasi itu memiliki lebih 50 peratus wanita yang berperanan menjana pendapatan untuk syarikat, berbanding purata 41 peratus yang ditetapkan.

Seiring perkembangan itu, Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita (WLF), Datuk Dr. Hafsah Hashim menggesa kerajaan menguatkuasakan dasar yang mewajibkan semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melantik sekurang-kurangnya seorang Ahli Lembaga Pengarah wanita.

Katanya, dasar sama turut merangkumi syarikat senaraian awam (PLC) dan pelaburan baharu diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ujarnya, langkah itu penting bagi mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor ekonomi menjelang akhir tahun ini.

“Saya percaya kalau ia boleh dijadikan dasar oleh kerajaan, kita akan bergerak pantas ke arah sasaran 30 peratus itu,” katanya ketika berucap dalam Program Sembang Sarapan Pagi bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Yang hadir sama, Koordinator Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Singapura dan Brunei, Karima El Korri; 10 duta asing wanita ke Malaysia dan pegawai kanan daripada

24 perwakilan asing

Program Sembang Sarapan Pagi anjuran WLF itu bertujuan menyuarakan pandangan dan idea berkenaan strategi kepemimpinan wanita selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Fokus utamanya adalah untuk mempromosikan kepelbagaian gender dan pemerkasaan wanita di Malaysia dan peringkat global.
30 peratus wanita dalam ekonomi

Menurut Hafsah, kuota 30 peratus yang ditetapkan itu selaras pembangunan Malaysia Madani yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, bagi memastikan keberkesanan dasar tersebut, WLF bersedia membangunkan sistem pemantauan yang lebih mampan dan berkesan.

“Kalau boleh kita mahukan penyertaan wanita dalam ekonomi lebih daripada kuota 30 peratus itu kerana banyak kajian membuktikan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah wanita memberi impak terhadap keuntungan syarikat di samping pulangan pelaburan dan ekuiti.

“Kita bukan bercakap suka-suka tetapi ada data-data yang menunjukkan peningkatan dalam konteks prestasi syarikat,” katanya.

Hafsah berkata, penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan di sektor swasta masih rendah iaitu 22 peratus, walaupun lebih sedekad agenda berkenaan diperjuangkan.

Sasar 2,500 pemimpin wanita menjelang 2025

WLF yang ditubuhkan sejak 2021 berhasrat melahirkan seramai 2,500 pemimpin wanita masa depan menjelang 2025.

Hafsah berkata, daripada jumlah itu, seramai 200 pemimpin disasarkan pada tahun lalu, diikuti 400 orang (2023) dan 500 orang (2024).

“Pada 2025 pula, kita menjangkakan seramai 600 pemimpin wanita, manakala 800 orang tahun berikutnya.

“Matlamat kita adalah untuk membangunkan seramai mungkin pemimpin masa depan dan tiada wanita yang akan tercicir atau ketinggalan,” katanya.

Tambah Hafsah, sektor yang menjadi tumpuan ialah perniagaan dan keusahawanan sebanyak 30 peratus, diikuti masing-masing 20 peratus untuk minyak dan gas (O&G); kewangan dan pelaburan di samping teknologi dan digital.

Katanya, baki 10 peratus lagi diperuntukkan untuk sektor awam.

“Segala inisiatif dilakukan ini bukan untuk bersaing dengan lelaki, sebaliknya untuk membuktikan wanita boleh berdiri setanding lelaki,” katanya.

Ujarnya, WLF juga memiliki bank vitae kurikulum yang menempatkan senarai bakat wanita berpotensi yang sudah dilatih dan digilap bagi diserap ke pelbagai sektor.

Tingkat penyertaan dalam politik

Penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam politik di negara ini masih lagi rendah berbanding kuota 30 peratus yang ditetapkan.

Agenda itu penting bagi memastikan perspektif dan keperluan kaum Hawa sentiasa diambil kira dalam sebarang pelaksanaan dasar atau inisiatif kerajaan.

Nancy berkata, ketika ini hanya 13.9 peratus wanita memiliki kerusi di Parlimen, di samping 17.8 peratus memegang jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan berusaha keras untuk mengurangkan jurang itu bagi mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan.

“Harapan kita agar lebih ramai lagi wakil wanita dapat memegang jawatan dalam Kabinet,” katanya.

Menurut Nancy, pelbagai usaha dirintis kerajaan untuk memperkasakan wanita dan kanak-kanak dalam mencapai potensi mereka, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Namun, katanya, usaha itu tidak mampu dilakukan kerajaan secara berseorangan dan wajar disokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN