Wajah pelakon tampan, Syafi Tee yang sebelum ini sering menghiasi skrin televisyen (TV) bagaikan hilang dari radar seni, terutama selepas berdepan kontroversi panas, tahun lalu.
Bukan menjauhkan diri, sebaliknya pelakon drama Tuan Danial itu berdepan fasa pergelutan emosi yang menyebabkan dia terpaksa mengambil keputusan memperlahankan dulu perjalanan kerjaya seninya.
Kata Syafi, dia masih belum pulih daripada masalah anxiety (kebimbangan melampau) dan kesedihan yang mendalam akibat fitnah yang bertebaran sejak namanya mula menjadi sebutan.
Justeru, Syafi meminta diberikan masa dan ruang untuk bangkit daripada kesedihan berpanjangan yang masih datang dan pergi sehingga mengganggu fokusnya terhadap kerjaya.
“Selepas berjumpa dengan pakar rawatan hipnoterapi, kehidupan saya bertambah baik dan lebih tenang. Tetapi, saya masih bergelut dengan anxiety dan dalam proses ke arah pemulihan.
“Apa yang berlaku benar-benar menghimpit emosi dan memuncakkan kembali masalah anxiety yang saya alami sejak kanak-kanak. Ia menjadi semakin teruk dan sukar dibendung.
“Saya perlukan masa dan ruang untuk diri sehinggakan ada beberapa tawaran memegang watak utama terpaksa saya tolak. Berikan saya sedikit masa lagi. Insya-Allah, apabila masalah saya dapat dirawat kelak, saya akan kembali aktif berlakon semula,” katanya.
Tahun lalu kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberikannya pengalaman yang cukup mencabar emosi.
Tuduhan terlibat dalam hubungan songsang kata Syafi, adalah fitnah terbesar yang benar-benar meragut emosinya.
Kata Syafi, dia terkilan dengan fitnah yang tidak hanya merosakkan nama baiknya, malah turut mengguris perasaan ahli keluarganya.
“Semua dakwaan itu membuatkan hati saya terguris. Saya benar-benar kecewa apabila masyarakat salah faham dan menghukum saya tanpa terlebih dahulu mencari kebenaran.
“Dalam keadaan tersepit, saya buntu dan tidak tahu apa perlu dibuat. Tiada siapa yang menolong saya ketika berdepan tohmahan tersebut.
“Apa yang mampu saya lakukan cuma mengelakkan diri daripada membaca komen di media sosial. Bagi saya, semakin lama, semakin merapu.
“Tetapi, itu bukanlah punca saya semakin sunyi di media sosial. Saya cuma mahu kurangkan masa dengan telefon kerana semakin banyak perkara toksik dipaparkan di media sosial,” ujarnya.
Enggan keluarga disakiti
Terus berkongsi, Syafi mengakui cerita sensasi yang berlaku bukan sahaja mengguris perasaannya, malah keluarganya turut terkesan.
“Dalam apa juga keadaan, saya akan utamakan keluarga. Saya akan lebih sakit sekiranya keluarga saya disakiti.
“Cerita yang tular membuatkan mereka bersedih. Keadaan itu menyakiti saya.
“Sekarang, saya gembira kerana dapat meluangkan masa lebih banyak dengan keluarga. Saya rasa lebih selamat dan tenang,” ujarnya.
Jelas Syafi lagi, dia bukan seorang yang suka memendam perasaan atau menyembunyikan emosi.
“Saya tidak suka simpan dalam. Saya tidak mahu kongkong perasaan sehingga membuatkan diri terseksa.
“Saya tidak ada masalah untuk berlaku jujur tentang perasaan sendiri. Justeru, saya terbuka untuk kongsikan apa yang saya rasa dengan mereka yang rapat,” jelasnya.
Rawat anxiety dengan kasih sayang
Kongsi anak kepada pendakwah dan penceramah bebas, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ini, sesi rawatan yang dilakukan bersama pakar hipnoterapi sedikit sebanyak mula memberikan kesan terhadap dirinya.
Bagaimanapun, katanya, proses pemulihan bergantung kepada kesediaan pesakit untuk berubah.
“Ia membawa saya supaya tidak lalai mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dengan melakukan amalan berlandaskan syariat.
“Kerisauan saya semakin berkurangan apabila saya ingat Tuhan seperti berzikir, menjaga kualiti solat dan menjauhi perbuatan buruk.
“Kata pakar tersebut, antara punca anxiety saya semakin memburuk adalah kerana saya tidak menerima kasih sayang yang cukup.
“Justeru, saya amalkan peluk ibu setiap kali berjumpa. Daripada saya menunggu untuk mendapatkan kasih sayang, lebih baik saya mencarinya dengan memeluk ibu setiap hari,” jelasnya.










