SETIAP individu pasti berdepan kebuntuan dan hilang keterujaan apabila terlalu lama melakukan perkara sama berulang kali.
Situasi itu juga dilalui pelakon jelita, Diana Danielle yang mengakui, hampir hilang keinginan terhadap dunia lakonan selepas dua dekad berkecimpung dalam bidang tersebut.
Pengakuan tersebut dikongsi pelakon berusia 31 tahun itu dalam satu pertemuan bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.
“Mungkin saya sudah bosan (berlakon), membuatkan timbul perasaan malas untuk meneruskan kerja-kerja lakonan buat masa ini. Pada saya, cabarannya sudah tiada kerana terlalu lama berada dalam zon selesa.
“Saya akui, keinginan untuk mencapai sesuatu semakin pudar. Saya ibarat hilang perasaan, malah tidak kisah lagi sama ada orang suka atau tidak dengan lakonan saya.
“Saya dapat rasa bagai ada sesuatu yang tidak kena dan disebabkan itu, buat sementara waktu, saya beri ruang kepada diri dengan mengalihkan tumpuan kepada bidang lain,” katanya.
Bimbang dengan keadaan itu, Diana mengambil keputusan untuk beralih angin dan memberikan sepenuh perhatian kepada dunia nyanyian.
Katanya, dia bakal muncul dengan single terbaru untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi.
“Saya akan muncul dengan lagu baharu ciptaan Ezra Kong, Bersama Dengan Rindu yang akan diperdengarkan kepada peminat sebelum hari raya Aidilfitri.
“Saya juga akan merakamkan lagu raya yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi,” ujarnya.
Penglibatan anak kelahiran Texas, Amerika Syarikat ini dalam bidang nyanyian bukan setahun dua. Malah, Diana sudah lama berjinak-jinak dalam bidang tersebut.
Tidak terkecuali berdepan kritikan dan kecaman orang yang beranggapan dia tidak punya masa depan sebagai penyanyi, Diana kental menepis persepsi tersebut.
Dia sentiasa percaya, mempunyai kemampuan untuk melangkah jauh sebagai penyanyi kerana keinginan dan semangat untuk mencapai matlamat tersebut
masih menebal.
“Dahulu, perkara sama pernah saya hadapi. Orang mempersoalkan kenapa saya pilih lakonan kerana pada mereka, saya tidak berbakat. Persepsi itu membuatkan banyak peluang dan ruang untuk saya buktikan kemampuan tertutup.
“Tetapi, saya tidak pernah berhenti mencuba sehingga diberi peluang berlakon di bawah pengarah hebat seperti U-Wei Saari dan ramai lagi.
“Jadi, kenapa perlu berputus asa? Saya percaya, untuk menjadi penyanyi, kena lalui prosesnya. Kritikan itu perkara biasa.Kalau ada kemahuan, pasti ada jalan,” ujarnya.
Kata Diana, dia juga manusia yang mempunyai perasaan, malah hatinya pernah terguris dengan kecaman. Tetapi, dia enggan menyimpan kekecewaan,
sebaliknya merawat perasaan dengan percaya kemampuan diri.
“Tipulah kalau saya tidak sentap dengan kutukan orang. Saya juga ada perasaan.
“Tetapi, kenalah pandai pujuk hati dan buktikan dengan usaha serta ilmu untuk menjadi anak seni yang bagus.
“Dahulu, orang kata saya pelakon kayu. Saya akui, pada fasa awal sebagai pelakon, saya tidak berguru. Seperti saya katakan tadi, untuk menjadi lebih baik, ada prosesnya. Jadi, saya tidak pernah berhenti belajar dan menuntut ilmu, sama ada untuk lakonan atau nyanyian,” kongsinya.
Karakter berbeza dalam Imaginur
PEMINAT Diana pasti tidak dapat menahan sabar untuk menonton filem terbaharunya, Imaginur yang akan menjengah pawagam seluruh negara bermula 23 Februari ini.
Dalam perbualan, pelakon yang aktif berlakon sejak usia 11 tahun itu berkongsi sisi menarik tentang filem arahan Nik Amir Mustapha itu. Katanya, ada sebab kukuh dia memilih untuk beraksi dalam filem indie tersebut.
“Saya pilih filem ini kerana watak ditawarkan berlainan dengan karakter yang pernah saya lakonkan sebelum ini.
“Jalan ceritanya juga menarik, membuatkan saya terpaksa tolak tawaran lain semata-mata untuk berlakon dalam filem ini.
“Nik Amir mempunyai kelompok pengikut tersendiri dan setiap naskhah arahannya mengandungi plot twist yang berlainan.
“Saya teruja apabila diberi peluang bekerjasama dengan kumpulan produksi baharu, meskipun filem yang dihasilkan tidak melibatkan kos besar,” katanya.
Imaginur mengangkat cerita percintaan yang menampilkan elemen romantik fiksyen sains yang belum pernah dihasilkan mana-mana pembikin filem sebelum ini.
Diana yang melakonkan watak Nur dalam naskhah tersebut berkongsi sedikit tentang wataknya yang unik dan istimewa.
“Filem ini mengupas tentang keupayaan otak manusia yang ada waktunya boleh mengingati dan melupakan sesuatu. Filem ini membawa penonton ke dalam dunia memori dan realiti.
“Watak Nur yang saya lakonkan wujud di alam nyata dan khayalan. Dia hadir dalam dua dimensi tersebut, membuatkan Zuhal yang dilakonkan Beto Kusyairy keliru dengan status kehadiran Nur.
“Nur wujud dalam dua dimensi, bagaimanapun tidak seorang pun tahu siapa Nur yang sebenar,” jelasnya.










