BERITA penyertaan semula Aweera dalam Mojo selepas lapan tahun membawa diri disambut baik peminat yang menanti mereka untuk kembali bergabung.
Apatah lagi, ketika Mojo bangkit sebagai kumpulan rock era moden sekitar 12 tahun lalu, personaliti Aweera sememangnya sinonim dengan kumpulan yang mencipta fenomena tersendiri menerusi lagu Romancinta dan Andai Ku Bercinta Lagi.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Aweera sebenarnya adalah tunjang kekuatan kumpulan ini, selain serasi dengan muzik dibawakan Mojo.
Perkara itu turut diakui pengasas Mojo, Edry Abd Halim yang melihat Aweera sebagai vokalis yang memiliki kekuatan aura tersendiri.
“Kehadiran Aweera sebagai vokalis banyak membantu melonjakkan nama Mojo hingga dikenali ramai. Selain muzik, vokal Aweera antara faktor utama kekuatan kumpulan ini.
“Selepas lapan tahun, tidak salah jika Mojo kembali bersatu. Kami selalu berkomunikasi di media sosial dan progres dia sebagai penyanyi juga semakin matang.
“Saya mesej Aweera dan bertanya sama ada dia berminat untuk kembali bersama Mojo. Tidak sangka jawapan yang diberikan positif. Dia juga rindu untuk bersama kawan-kawan lama, jadi kita teruskan hasrat ini,” katanya.
Akur pasti ada pihak yang akan mengungkit tentang rajuk dan ketidaksefahaman yang pernah berlaku antara mereka, Edry berkata, semua itu hanya tinggal sebagai kenangan.
“Saya tahu apa yang terjadi, malah ketika itu masing-masing ada pendirian. Apabila saya nilai dan amati, apa yang berlaku bukan hanya tentang kami.
“Dalam tidak sedar, ia sebenarnya turut membuka pintu kepada Caliph Buskers untuk membawakan Romancinta di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29, sekali gus mempopularkan nama mereka.
“Ia juga menjadi titk tolak kepada penyanyi jalanan lain untuk membina nama dalam industri. Ia perkembangan yang baik. Apa yang berlaku sebenarnya turut membuka pintu rezeki kepada penyanyi lain,” katanya.
Konsep lagu
Kata Edry, gabungan semula ini menuntut mereka tampil dengan konsep muzik baharu dan lebih segar, seiring kematangan.
Justeru, kata Edry, peminat perlu akur apabila Mojo tidak lagi tampil dengan seleksi lagu seperti Romancinta kerana mereka mahu membawakan muzik yang lebih maju.
“Memang susah sebab peminat sudah terlalu dekat dengan dua lagu hits kami. Ketika lagu itu dihasilkan dulu, belum ada kumpulan yang mengembalikan era rock, jadi ramai tertumpu kepada Mojo.
“Kumpulan ini ada identiti tersendiri dalam membawakan genre rock moden, tetapi kami tidak mahu ulangi perkara sama. Kalau terus menghasilkan lagu seperti Romancinta, tiada beza kami dengan band lain.
“Lihat program realiti, peserta selalu pilih lagu hampir sama untuk dinyanyikan. Jadi, kami cuba beri pilihan kepada pendengar dengan mengembalikan muzik rock moden menerusi single, Superstar,” katanya.
Cari pemain bass
Tambah Edry, memandangkan kini menetap di Manchester, United Kingdom (UK), sukar untuk dia bersama Mojo dalam setiap persembahan.
Pun begitu, jika persembahan berskala besar, Edry bersedia untuk berulang-alik dari Manchester.
Namun, untuk acara persembahan lain, Edry akur, Mojo memerlukan pemain bass bagi melengkapi kemunculan mereka.
“Kami perlu mencari pemain bass jika saya tidak dapat bersama mereka.
“Tiada kriteria tertentu ditetapkan, cuma kami mencari calon yang sekepala.
“Mungkin ada pemuzik yang sedang mencari tapak dan kami terbuka untuk mengadakan sesi uji bakat. Kami mengalu-alukan mereka yang berbakat untuk mencuba nasib dengan menghubungi kami di Instagram rasmi: Mojobandofficial,” katanya.
Dalam pada itu, Edry berkata, single Superstar akan dilancarkan secara rasmi pada 24 Februari ini, dilengkapi video muzik di saluran YouTube KRU Music dan Mojo.
Kumpulan yang turut dibarisi Denny dan Johar juga bakal mengadakan konsert sulung pada akhir tahun ini, namun masih belum bersedia untuk berkongsi butiran terperinci mengenainya.










