Konsert solo ubat ‘rajuk’ Lah Ahmad - Utusan Malaysia

Konsert solo ubat ‘rajuk’ Lah Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENANTIAN bekas anggota kumpulan VE, Lah Ahmad untuk beraksi dalam konsert solo akhirnya terlaksana selepas 25 tahun berjuang dalam industri muzik.

Perjalanan yang bukan sekejap, malah pelbagai halangan, rintangan dan dugaan datang bersilih ganti sebelum penyanyi R&B tersebut mencapai impiannya.

Jujurnya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Ayu itu pernah terdetik untuk berhenti menyanyi selepas ‘merajuk’ apabila dibelenggu beberapa isu.

Tanpa menyatakan punca spesifik sehingga menyebabkan dia pernah tawar hati, Lah mengakui, sebagai anak seni, dia juga melalui zaman kegemilangan dan kejatuhan.

“Selepas berhijrah dan tampil dengan imej baharu, saya pernah dibayar RM100 untuk persembahan dan bayaran itu terpaksa pula dibahagi dua dengan pengurus, Badrul. Sedangkan sebelum itu saya sudah terbiasa dengan tawaran lumayan dan undangan acara berskala besar.

“Ketika itu, saya dapat rasakan zaman kejatuhan, tetapi saya tidak pernah merungut, apatah lagi marah. Saya yakin Allah SWT sudah susun yang terbaik apabila menguji setiap hamba-Nya,” katanya semasa 25 Years Lah Ahmad Live In Concert di PJPac, 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Konsert yang berlangsung selama dua jam itu ibarat menyelak satu demi satu helaian diari hidup Lah yang pernah melalui zaman ‘nakal’ sehingga berumah tangga dan berhijrah.

Lah atau nama penuhnya, Abdullah Ahmad yang tampil mengenakan persalinan hitam membuka tirai persembahan dengan lagu Selamat Datang Cinta.

Konsep persembahan yang membangkitkan suasana kelab malam era 1990-an itu membawa penonton menelusuri terowong masa insan seni ini.

Perjalanan konsert diteruskan dengan segmen kedua apabila Lah yang mengenakan kemeja putih membawakan katalog lagu yang sarat dengan mesej ketuhanan dan hubungan dengan Pencipta.

Seleksi lagu Ingin Mencintaimu, Kau Tercipta, Sempurna dan Terbaik mengajak penonton supaya sentiasa berserah dan meletakkan kebergantungan tinggi pada Allah SWT.

PENUH SYAHDU

Selepas Lah mengambil keputusan bergerak solo pada 2014, Inteam adalah kumpulan yang memberikan dorongan untuk dia menghasilkan album lagu ketuhanan.

Dendangan lagu Ya Allah daripada album Jalan Untuk Kembali yang diterbitkan Inteam Records Sdn. Bhd. pada 2014 digubah semula dengan susunan muzik baharu.

Ternyata konsert R&B ini secara tidak langsung mengajak penonton meraih pahala percuma.

Menerusi lagu Salam, penonton bersama-sama mengalunkan selawat untuk junjungan Nabi Muhammad SAW.

Buat kali pertama dalam diari hidupnya, Lah turut menguji kemampuan menyampaikan lagu nasyid, Kasih Kekasih, duet bersama Inteam.

Ternyata Lah mampu membawa dengan lenggoknya tersendiri, walaupun alunan R&B terlalu sebati dengan jiwanya.

Lagu Di Pintu Syurga dendangan asal Dayang Nurfaizah ternyata memberikan cabaran besar buat Lah apabila sesekali dia dilihat tidak dapat menahan sebak dan nyanyiannya terhenti seketika.

Jiwanya dibelenggu kesedihan mendalam saat terkenangkan pemergian Allahyarham Siti Sarah dan Adibah Noor yang mempunyai tempat istimewa di hatinya.

“Arwah Siti Sarah yang saya kenal sangat merendah diri dan baik hati. Saya masih ingat semasa dia beritahu Shuib menguratnya dengan lagu Ayu.

“Saya masih ingat sewaktu Shuib menulis di Instagram pemergian bidadarinya. Saya begitu terasa kehilangan rakan artis seperti arwah.

“Adibah pula sangat mengambil berat tentang hal orang lain. Saya anggap Adibah seperti kakak sendiri.

“Kita kehilangan insan seni sangat istimewa yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat tanpa disedari,” luahnya.

Selepas membuai penonton dalam lautan emosi, Lah tampil lebih ceria dengan menonjolkan bakat menari bersama penari iringan menerusi lagu Kenapa, duet dengan penyanyi rap, Shazzy.

Ternyata gerakan langkah Lah masih kemas dan menarik perhatian penonton walaupun usianya sudah mencecah 42 tahun.

Lah turut mendendangkan lagu seperti Ini Ceritaku, Selalu Denganku, Bila Hati Rindu, Sejarah, Kerna Sayang, Adinda, Tunggu Kamu, Ulang Tahun serta Jatuh yang dilancarkan bersama album baharu pada malam tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN