ISU jalan cerita stereotaip dalam naskhah drama Melayu bukan perkara yang baru dibincangkan setahun dua. Ia telah hangat diperkatakan sejak sekian lama.
Bagi memecah stereotaip itu, penulis skrip terpaksa berhempas-pulas menghasilkan jalan cerita di luar kotak demi menyajikan kelainan kepada penonton.
Perkara sama juga dilalui penulis, Azhar Amirulhisyam ketika menulis skrip untuk drama bersiri terbaru Viu, Nenek Bongkok Tiga.
Menerusi drama tersebut, Azhar menyajikan perjalanan cerita yang lebih segar dan berbeza berbanding naskhah yang pernah dipersembahkan dalam kebanyakan karya tempatan.
Kata Azhar, dia tidak mahu terus menghidangkan jalan cerita sama kerana akur, permintaan audiens terhadap naskhah mencabar sangat tinggi.
“Memang kami berniat untuk menyajikan satu cerita yang belum pernah ditonton audiens tempatan.
“Zaman sudah berubah dan audiens sekarang juga semakin terdedah dengan kandungan hebat, terutama dari luar negara.
“Kita kena bergerak seiring perubahan. Penulis skrip kena berani untuk membawakan kelainan,” katanya.
Kata Azhar, penulis skrip drama atau filem perlu lebih berani dan tidak membiarkan diri terkongkong dengan jalan cerita lama kerana langkah itu membawa kebaikan kepada produksi tempatan.
“Berseronoklah dengan imaginasi anda kerana idea untuk sesebuah cerita boleh dapat di mana-mana.
“Sebagai penulis, saya selalu perhatikan persekitaran dan sering timbulkan pelbagai persoalan dalam diri.
“Dari situ, kita berupaya mendapatkan senario menarik yang boleh dikembangkan menjadi sebuah cerita,” jelasnya.
Mengulas tentang Nenek Bongkok Tiga, Azhar memaklumkan, drama tersebut mempunyai kekuatan tersendiri yang diyakini mampu menarik minat penonton.
“Cerita rakyat bukan satu-satunya elemen yang dipersembahkan dalam drama bersiri ini.
“Secara dasar, Nenek Bongkok Tiga mengupas tentang dilema manusia, peluang kedua, survival dan banyak lagi.
“Cerita rakyat adalah suntikan lokaliti dalam drama ini, manakala watak ditampilkan pula lebih bersifat universal serta dekat dengan audiens,” ujarnya.
Nenek Bongkok Tiga mengisahkan lapan watak yang terperangkap dalam sebuah rumah agam yang dihuni seorang nenek bongkok tua.
Mereka menjadi tebusan, bukan sahaja di dalam rumah dan hutan di sekelilingnya, malah dalam sebuah dunia yang asing.
Kelapan-lapan tebusan terpaksa bersaing dalam permainan yang dicipta nenek tersebut untuk kembali ke dunia realiti.
Drama terbitan Viu itu menampilkan barisan pelakon seperti Hun Haqeem, Meerqeen, Datin Sofia Jane, Sherie Merlis, Sara Ali, Syafie Naswip dan ramai lagi.
Mengulas tentang drama tersebut, pengarahnya, Datuk Yusri Abdul Halim menegaskan, Nenek Bongkok Tiga antara drama genre seram yang tidak menampilkan elemen hantu dalam penceritaannya.
“Saya ingin tekankan, Nenek Bongkok Tiga bukan cerita hantu. Itu antara faktor yang mendorong saya terima tawaran mengarahkan drama ini.
“Memang ada elemen seram dalam jalan ceritanya. Lokasi penggambaran juga seram dan mencabar kerana melibatkan kawasan hutan. Nampak selesa, tetapi sebenarnya tidak.
“Kru (penggambaran) ada bercerita tentang gangguan mistik di lokasi, tetapi Alhamdulillah, saya tidak mengalaminya,” katanya.
Ibu jari terkehel – Hun Haqeem
Membawa watak Zamir, Hun Haqeem memaklumkan, mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran drama tersebut.
“Ia berlaku ketika saya dan Syafie Naswip menjayakan babak pertarungan sekitar pukul 2 pagi.
“Tanpa saya sedari, ibu jari tangan terkehel ketika melakukan aksi tersebut.
“Saya bernasib baik kerana ada pasukan perubatan yang membantu merawat kecederaan dan membolehkan saya meneruskan lakonan,” katanya.
Depresi watak Adi – Meerqeen
Pelakon Merqeen pula tidak menafikan, berdepan depresi ketika menjayakan watak Adi dalam Nenek Bongkok Tiga.
Katanya, depresi, yang pernah dialami ketika usia remaja kembali menyerangnya ketika berada di set penggambaran drama itu.
“Apa yang dihadapi karakter Adi, pernah saya rasai dahulu. Kesedihan, tidak bahagia, semuanya pernah saya lalui.
“Watak ini mengembalikan depresi yang pernah menghantui diri. Saya menggigil ketika menjayakan setiap babak dalam drama ini.
“Ia membuatkan saya susah tidur malam. Disebabkan itu, selepas tamat penggambaran, saya terus ubah penampilan kerana tidak mahu terbawa-bawa kesengsaraan itu,” ujarnya.










