SUDAH tiba masa produksi di negara ini mempelajari kaedah penerbitan drama dan filem daripada pemain industri Korea Selatan.
Aspek pembelajaran bukan terhad kepada teknikal semata-mata, tetapi juga memperhalusi bagaimana kehebatan sesebuah kertas kerja produksi di negara tersebut sehingga dipandang tinggi masyarakat dunia.
Kita tidak mahu lagi disajikan cerita kitar semula mengenai dunia korporat Melayu atau kisah cinta yang akhirnya merugikan industri seni kreatif negara.
Seandainya perubahan tidak segera dilakukan, hasrat dan impian pemain industri untuk membolosi pencalonan pada anugerah berprestij, terutama Anugerah Oscar masih jauh panggang dari api.
Timbul persoalan, apakah laluan pengkarya tempatan menembusi anugerah yang sudah memasuki tahun penganjuran ke-94 itu terletak pada bahu penggiat seni semata-mata atau ada faktor besar lain yang menghalang?
Mengulas perkara itu, pelakon berkarakter, Faizal Hussein, 55, berkata, terdapat kelemahan ketara yang terpaksa dilalui penggiat seni tempatan sehingga menyukarkan laluan mereka membolosi pasaran lebih besar.
Katanya, situasi anak seni tempatan jauh berbeza dengan peluang yang diraih penggiat seni Korea Selatan apabila usaha mereka mendapat sokongan pemerintah.
“Sebenarnya, kelemahan kita adalah tidak dibantu kerajaan seperti penggiat seni Korea Selatan. Pemerintah di sana mahu memajukan industri drama, perfileman dan muzik sehingga sanggup melabur berbilion ringgit untuk menjadikan negara mereka terkenal.
“Di Malaysia, fokus lebih diberikan kepada sektor lain seperti sukan, berbeza industri kreatif yang kurang dibantu. Kalau ada bantuan, sekadar dalam negara sahaja,” katanya.
Belum lagi menyentuh aspek keterbukaan masyarakat terhadap penghasilan naskhah sehingga menyukarkan hasrat untuk bersaing dengan pemain industri negara luar.
Jelasnya, kekangan tersebut lebih ketara selepas kemunculan media sosial yang memberikan ruang kepada netizen untuk menjadi ‘juri’ dengan hanya berbekalkan telefon pintar.
“Dahulu, tidak wujud perkara seperti ini sehingga sesuatu naskhah yang belum ditayangkan, contohnya, filem Pulau kecoh tanpa semua pihak terlebih dahulu menonton secara keseluruhan.
“Pada saya, tiada isu adegan yang dikatakan mencolok mata dan ia logik apabila wanita berpakaian seperti itu di tepi pantai,” katanya.
HANYA SATU TAKE
Sepanjang empat dekad menjadi anak seni, Faizal bersyukur, tidak pernah menjadi bahan kecaman netizen atau dihimpit kontroversi. Itu juga menjadi antara faktor dirinya masih bertahan sehingga hari ini.
Prinsipnya jelas, terlalu banyak kontroversi sama ada baik atau buruk hanya menyumbang kepada punca kejatuhan seseorang anak seni.
Anak kepada pasangan pelakon, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail ini dilihat antara pelakon senior yang tidak putus-putus menerima tawaran lakonan.
Sikap tidak memilih naskhah mahupun produksi mengekalkan nama baiknya dalam kalangan penggiat seni.
Kongsinya, dia sentiasa memberi peluang kepada semua pengarah yang berminat mengambilnya berlakon dalam produksi mereka.
“Baik pengarah terbaik yang pernah mencipta nama sehingga di Hollywood atau pengarah baharu, saya pernah bekerjasama. Saya sangat terbuka demi memajukan industri seni.
“Adakah kita mahu kerja dengan pengarah hebat sahaja? Sampai bila pengarah baharu yang sedang membina nama hendak maju, kalau tidak diberi peluang bekerjasama dengan pelakon berpengalaman?,” soalnya.
Faizal turut berkongsi rahsia mengekalkan fokus sepanjang berada di set penggambaran.
Tegasnya, sebagai pelakon, dia berpegang kepada prinsip untuk menyempurnakan penggambaran sesuatu babak hanya dengan satu take.
“Kalau penggambaran sesuatu babak terpaksa diulang, itu sudah dikira gagal. Jika ada terlebih take, mungkin kerana masalah teknikal lain.
“Ketika bekerja, saya tidak akan lepak di lokasi penggambaran. Saya sebaliknya, selesa menghabiskan masa dalam kereta dan menelaah skrip. Pihak produksi biasanya akan membekalkan saya walkie-talkie.
“Sementara menunggu giliran, dialog sudah lekat di kepala. Kalau duduk di bilik persalinan atau dalam rumah yang ada ramai kru lain, susah hendak fokus,” jelasnya.
IMAM
Bapa dua cahaya mata itu bakal muncul dengan filem baharu arahan Mior Hashim Manap, Imam, menggalas karakter antagonis.
Memegang peranan sebagai Haji Syamsuri, naskhah itu baginya, berbeza dengan filem lakonannya sebelum ini apabila lebih banyak menjayakan watak gangster, pasangan panas baran atau ustaz yang baik.
“Watak jahat sebagai agamawan tidak pernah lagi saya bawa. Filem ini mengenai konflik perebutan jawatan dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid.
“Jalan cerita Imam sangat mudah difahami dan dekat dengan masyarakat seperti isu penyelewengan duit masjid dan dengki sesama manusia,” katanya.
Faizal turut melahirkan keterujaan apabila berpeluang bergandingan dengan Datuk M. Nasir yang memegang watak utama dalam filem tersebut.
“Seronok dapat kembali bekerja dengan M. Nasir yang menjadi hero dalam Imam. Sudah lama kami tidak bekerjasama dan harap filem ini diterima ramai,” katanya.
Filem yang menjalani penggambaran sejak Januari tahun lalu merupakan adaptasi novel karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain.
Ia mengisahkan perjuangan seorang imam iaitu Haji Mihad lakonan M. Nasir yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri.
Namun, hasrat murni itu mendapat tentangan daripada sebahagian penduduk kampung, termasuk saudara-maranya.
Filem yang bakal memasuki pawagam bermula 2 Mac ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Vanidah Imran, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Rahim Razali.










