Adriana, Alvy pertaruh Emp4t - Utusan Malaysia

Adriana, Alvy pertaruh Emp4t

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA mulanya, naskhah ini sekadar diterbitkan sebagai sebuah drama. Namun, selepas beberapa kali melalui proses penyuntingan, Emp4t dilihat berpotensi untuk melakar kejayaan sebagai sebuah filem.

Bagi pelakon utamanya, Adriana Adnan, Emp4t yang merupakan filem pertamanya mempunyai jalan cerita dan keunikan tersendiri, berbeza naskhah seram-thriller lain.

Dia mengakui, terkejut apabila dimaklumkan naskhah tersebut bakal diangkat ke layar perak.

“Pelan asal adalah untuk cerita pendek. Tiba-tiba, pihak produksi melihat naskhah itu ada nilai dan layak diangkat ke layar perak. Jadi, mereka mula menggabungkan babak dan menyunting untuk menjadi sebuah filem.

“Secara tidak langsung, ini juga filem pertama saya. Memang gementar menunggu reaksi penonton nanti. Apatah lagi, mula-mula ingat hanya berlakon drama, tiba-tiba jadi filem,” katanya.

Membawakan watak Saree, Adriana berkata, ia juga kali pertama dia membintangi naskhah seram. Ketakutannya terhadap filem hantu membuatkan dia teragak-agak untuk menerima tawaran produksi genre itu.

Namun, apabila ditawarkan watak utama dalam Emp4t, dia mencabar dan memberanikan diri untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Saya memang minat filem genre seram-psycho thriller. Tetapi, saya sebenarnya penakut. Apabila dapat tawaran, saya fikir dua tiga kali. Bila lagi mahu mencabar diri, jadi saya terima tawaran ini.

“Lagipun Emp4t bukan filem seram klise. Tidak ada cerita cinta, ketakutan yang dibuat-buat atau wajah hantu yang menyeramkan. Sebaliknya, filem ini digarap dengan jalan cerita dan mood yang membuat penonton merinding.

“Saya tidak berdepan pengalaman seram sepanjang menjalani penggambaran filem ini. Macam klise pula apabila berlakon filem seram, mesti diganggu. Alhamdulillah, saya tidak melalui pengalaman itu.

“Tetapi saya ada dengar, kru produksi ‘dikacau’. Cuma, saya buat tidak endah. Lagipun saya perlu sentiasa dalam karakter dan tidak boleh terbawa-bawa dengan emosi luar,” katanya.

Takut, tetapi redah juga – Alvy

Perasaan sama turut dikongsi pempengaruh popular, Alvy Joseph. Kali pertama berlakon filem, Alvy sebenarnya ‘gerun’ untuk menerima tawaran yang menuntutnya berbahasa Melayu.

Jelasnya, dia kurang fasih berbahasa Melayu lantaran lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Akuinya, dia juga banyak belajar, terutama dari segi sebutan supaya tidak nampak kekok.

“Watak Erica periang dan psycho sedikit. Dia ada kelebihan untuk melihat hantu, jadi peranannya dalam Emp4t memang besar.

“Bayangkan saya yang periang, tiba-tiba perlu masuk karakter psycho. Memang susah dan mencabar. Saya juga tidak fasih berbahasa Melayu, takut nampak canggung di layar.

“Tetapi, saya belajar dan beranikan diri. Saya banyak tonton lakonan Maya Karin sebagai rujukan. Dari situ, saya belajar percakapan dan bagaimana menjiwai karakter,” ujarnya.

Filem seram terbitan Lomo Pictures itu mengisahkan empat sekawan yang mempunyai kelebihan melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Pelbagai kejadian misteri mula menghantui mereka sehingga ada yang terpaksa berkorban nyawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×