'Itu hanya sesi pemanas badan' - Utusan Malaysia

‘Itu hanya sesi pemanas badan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Zamani Ibrahim, 51, memaklumkan dia masih belum mampu beraksi sepenuhnya di atas pentas kerana perlu memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

Penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu berkata, kehadirannya di sebuah pusat beli-belah di Jelatek, Kuala Lumpur, baru-baru ini, hanya sebagai sesi ‘memanaskan badan’ setelah hampir sebulan berehat.

Katanya, disebabkan undangan itu tidak memerlukan masa lama dan diadakan di lokasi berhampiran kediamannya, dia menggagahkan diri menjayakan persembahan untuk menguji tahap kemampuannya.

“Saya memenuhi undangan itu sebagai sesi percubaan untuk memanaskan badan setelah hampir sebulan berehat. Ini juga sebagai proses pemulihan dan fisioterapi.

“Oleh kerana persembahan ini singkat dan di lokasi berhampiran rumah, saya ambil peluang mengubati kerinduan dengan menghiburkan peminat yang tidak berhenti memberikan sokongan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Zamani berkata, dia juga terharu apabila banyak pihak begitu prihatin dengan perkembangan kesihatannya selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan di Cheras, 7 November lalu.

Zamani dibenarkan keluar selepas tiga hari pembedahan dan menjalani rawatan pemulihan di rumah.

Terdahulu, doktor memaklumkan, Zamani akan pulih dan boleh aktif semula dalam masa tiga bulan bergantung kepada kekuatan antibodi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN