BESUT: Tanggapan kubur Allahyarham Nurly Shahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Besut, Terengganu keramat atau boleh memberi sebarang kebaikan kepada manusia adalah khurafat.
Nurly Shahirah adalah salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (URTB), Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu dan merupakan seorang hafizah al-Quran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, selain itu tindakan mengambil tanah bagi tujuan tertentu boleh mengundang kepada menyekutukan Allah SWT.
“Islam sudah mengajar tertib dan kesopanan semasa menziarahi tanah perkuburan sebagai mengingati kematian. Selain itu ia bertujuan menghormati jasad si mati sebagaimana menghormati orang yang masih hidup.
“Tidak salah memegang tanah atau mengusap batu nisan semasa menziarahi kubur. Namun jangan beriktikad dengan kubur si mati sehingga melangkaui kuasa dan kebesaran Allah.
“Jauhi unsur khurafat dengan tanggapan kubur itu keramat dan bertindak dengan nilai tambah sehingga membawa kepada syirik dan berdosa besar,” katanya.
Sementara itu, tindakan keluarga Allahyarham Nurly Shahirah meletakkan tali penghadang di sekitar kuburnya di Tanah Perkuburan Islam Gong Pasir, dapat mengekang tindakan segelintir pengunjung membawa pulang tanah kubur yang dikatakan berbau wangi.
Bapa Allahyarham, Azman Mohammad, 64, berkata, tali penghadang yang dipasang sepanjang kira-kira tiga meter persegi sejak kelmarin turut membataskan pengunjung mengusap batu nisan di kubur Nurly Shahirah.
Katanya, penduduk khususnya jiran berdekatan banyak membantu mereka dalam menjaga adab dan tata susila menziarahi kubur supaya pengunjung patuh dengan teguran.
“Kerjasama pegawai Jabatan Agama Islam Daerah Besut dan jawatankuasa tanah perkuburan yang memantau di lokasi termasuk pada sebelah malam sangat dihargai,” katanya. – UTUSAN











