KOTA BHARU: Pengusaha bas ekspres di negeri ini bersedia mematuhi arahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mewajibkan penumpang pengangkutan awam itu memakai tali pinggang keledar.
Menurut mereka, peraturan itu perlu diikuti bagi mengelakkan tindakan saman oleh JPJ.
Oleh itu, kata mereka, pengumuman secara berkala dan dan makluman di tempat duduk juga akan dipasang bagi mengingatkan penumpang mereka kekal memakai tali pinggang keledar,
Pengerusi Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) Che Ibrahim Che Ismail berkata, pihaknya juga menyambut baik langkah tersebut yang dilihat mampu meningkatkan lagi tahap keselamatan penumpang.
“Apabila JPJ mahu laksana peraturan ini kami sambut baik. Cumanya terserah kepada penumpang untuk berbuat demikian sama ada mahu pakai atau sebaliknya.
“Jika penumpang gagal berbuat demikian mereka akan berdepan tindakan JPJ. Sebagai penyedia perkhidmatan sentiasa memberikan peringatan supaya pelanggan memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu pengusaha bas persiaran, Zulkifli Hashim meminta JPJ memberikan masa kepada pihaknya untuk memasang tali pinggang pada kenderaan tersebut.
Katanya, ini kerana kebanyakan bas milik syarikatnya dibuat sebelum tahun 2020.
“Jadi proses itu ambil sedikit masa dan kami sedia patuh kepada arahan tersebut,” ujarnya
Syarikat bas Ekspres Perdana pula akan membuat pengumuman secara berkala bagi memberi peringatan kepada penumpang supaya kekal memakai tali pinggang keledar sepanjang menaiki bas tersebut.
Pengarah Urusannya, Laili Ismail berkata, pemberitahuan itu akan dibuat sebelum memulakan perjalanan di semua hentian termasuk semasa berhenti di kawasan rawat dan rehat (RNR).
“Bagaimanapun semua itu bergantung kepada pelanggan, kami di pihak syarikat akan berusaha sebaik mungkin dengan memberikan peringatan berkaitan pelaksanaan peraturan tersebut.
“Jadi, harapan kami supaya para pelanggan dapat patuh kepada peraturan yang akan dikuatkuasakan pada Selasa ini,” katanya.
Laili memberitahu, sebelum ini pihaknya sudah mewajibkan pemandu Ekspres Perdana memakai tali pinggang keledar sepanjang pemanduan selaras dengan peraturan yang telah ditetapkan.
“Cuma cadangan kenakan tindakan kepada pemandu dan syarikat yang gagal menyuruh pelanggan memakai tali pinggang keledar kurang sesuai untuk dikuatkuasakan.” katanya. – UTUSAN











