Penumpang bas ekspres sedia pakai tali keledar

Penumpang bas ekspres sedia pakai tali keledar

ROSNANI SEMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penumpang bas ekspres mengakui mereka bersedia disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) jika didapati gagal memakai tali pinggang keledar sepanjang menggunakan pengangkutan awam itu.

Malah mereka mahu pe­nguatkuasaan tersebut dilakukan berterusan dan tidak hanya pada musim-musim tertentu seperti semasa Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha sahaja.

Seorang pengguna, Fatimah Awang, 45, berkata, setiap kali menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu, dia menjadikan pemakaian tali pinggang keledar sebagai perkara yang diberi keutamaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya amat menitik beratkan soal keselamatan setiap kali menaiki bas. Apabila JPJ mahu me­laksanakan peraturan ini, saya sokong sepenuhnya.

“Harapan saya agar pe­nguatkuasaan ini dibuat secara berterusan dan jangan tunggu kemalangan maut barulah hendak buat pemeriksaan,” kata­nya.

Seorang lagi pengguna Baihaki Abdullah, 23, memberitahu, sebagai penumpang dia tidak berdepan masalah untuk mematuhi peraturan tersebut.

Katanya, langkah itu merupakan salah satu usaha mening­katkan lagi keselamatan pengguna.

“Semuanya terpulang atas diri sendiri sama ada mahu ikut peraturan atau tidak. Bagi saya langkah ini tidak membebankan malah ia baik untuk keselamatan,” ujarnya.

Bagi Hazura Abdullah, 44, pula, dia berharap semua penumpang dapat mematuhi peraturan yang dibuat untuk memastikan keselamatan lebih terjamin.

HAZURA ABDULLAH

“Tragedi yang meragut nya­wa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak, lalu perlu dijadikan sebagai iktibar.

“Malang memang tidak berbau, namun kita boleh berusaha dan salah satunya dengan memakai tali pinggang keledar,” ujarnya.

Pengusaha kosmetik, Rosnani Seman, 51, pula berharap syarikat bas dapat membuat pengumuman berkaitan pemakaian tali pinggang keledar itu bagi memastikan penumpang tidak leka dengan peraturan tersebut.

“Saya harap orang ramai dapat mematuhi sebagai langkah awal keselamatan dan kekal patuh kepada peraturan ini,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan peraturan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres dan persiaran bermula hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, individu yang ingkar akan berdepan notis saman sebanyak RM300. Penguatkuasaan itu terpakai kepada bas yang dibina selepas Januari 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN