“Jujur, saya perlu keberanian untuk kembali ke rumah arwah selepas dua tahun tidak ke sini”.
Pengakuan itu diluahkan penyanyi, Bunga Citra Lestari pada sidang media di ibu negara, baru-baru ini.
Bakal beraksi dalam Konsert Blossom Bunga Citra Lestari pada 27 Januari depan, Bunga mengakui, bukan mudah untuk kembali ke Kuala Lumpur setelah suami tercinta, Ashraf Sinclair menemui Maha Pencipta pada 18 Februari 2020.
Kata Bunga, hatinya berat mengenangkan kunjungan kali ini bakal membuatkan dia kembali mengimbau 1,001 kenangan bersama arwah yang mula dikenalinya sejak 2007.
“Ini kali pertama saya ke Kuala Lumpur selepas lama tidak datang ke sini. Saya sangat gemuruh sehingga mengalami anxiety.
“Malaysia banyak mengingatkan saya kepada kenangan sejak kali pertama bertemu arwah 15 tahun lalu,” katanya.
Kata Bunga, konsert yang bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menjadi impian yang dikongsi bersama arwah Ashraf ketika hayatnya masih ada.
Justeru, penyanyi tersebut enggan mensia-siakan masa dan perlu bersedia untuk merealisasikan impian yang belum terlaksana itu.
“Konsert ini bukan sahaja impian saya, tetapi juga arwah. Jadi, dengan bantuan rakan-rakan di sini, saya perlu menjadikan konsert ini kenyataan.
“Saya mahu berbahagi cerita, ambil peluang ini untuk menjalin semula hubungan dengan peminat di sini yang lama terputus gara-gara pandemik. Ini momen untuk saya kongsikan cerita.
“Ashraf adalah pendukung saya yang paling kuat. Ketika hayatnya, arwah sering mengingatkan saya supaya meletakkan matlamat dan cita-cita lebih tinggi. Konsert ini bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk arwah. Saya tidak boleh sia-siakannya,” ujarnya.
Cerita Bunga lagi, arwah sebelum ini menyembunyikan impian untuk melihat dia mengadakan konsert di negara ini.
“Saya tidak tahu arwah menginginkan sebuah konsert untuk saya. Saya hanya mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan wakil penganjur, Iman Tang.
“Memang menjadi hasrat setiap penyanyi untuk membuat persembahan dalam konsert solo. Di Indonesia sudah, tetapi di Malaysia yang juga rumah kedua, impian itu baru kini terlaksana,” kongsinya.
Disoal tentang nama konsert tersebut, Bunga berkata, perkataan Blossom merupakan simbolik cerita perjalanan hidupnya yang antara lain terkandung fasa bahagia bersama arwah suami dan tempoh berduka saat kehilangannya.
“Pandemik menerjah ketika saya menjalani fasa kegelapan selepas kehilangan Ashraf yang pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata. Ketika itu, saya melalui tempoh kesedihan yang amat dan terpaksa berkurung gara-gara penularan Covid-19. Tempoh itu saya sifatkan sebagai blessing in disguise kerana saya tidak perlu menjelaskan kepada ramai orang apa yang saya lalui.
“Daripada jatuh, saya bangkit bernafas, berdiri dan berjalan semula. Ia adalah proses yang terlalu panjang. Selepas itu, saya bersedia untuk permulaan baharu yang indah dan berbeza.
“Malaysia terlalu istimewa buat saya dan ketika konsert itu nanti, saya mengharapkan yang hadir adalah keluarga yang dari dulu sampai sekarang menyokong. Wajah yang saya kenal tetapi sudah lama tidak ditemui. Saya akan ceritakan perjalanannya pada konsert itu nanti. Saya harap ia akan menyentuh hati semua yang hadir,” jelasnya.
Kekuatan untuk Noah
Bunga tidak menafikan, betapa dia begitu kehilangan saat Ashraf pergi ke negeri abadi meninggalkan dia dan anak mereka, Noah Aidan Sinclair.
Anak kelahiran Jakarta, Indonesia itu melalui fasa berduka yang terlalu panjang, memaksa dia mengasingkan diri dengan harapan perasaan terubat kembali.
Namun, Bunga menyedari dia tidak boleh terlalu lama terperangkap dalam kesedihan, lantas segera bangkit demi Noah.
“Fasa gelap itu bukan mudah untuk saya jalani. Ia memerlukan kekuatan kerana sepanjang lapan bulan selepas kehilangan Ashraf, saya menangis hampir setiap hari.
“Namun, saya berupaya menerima ketentuan Tuhan dan segera bangkit untuk Noah. Sebagai ibu tunggal, saya kena terima suratan yang telah ditakdirkan demi kebahagiaan anak,” katanya.
Hilangnya penyokong terkuat
Pemergian Ashraf memberi impak yang sangat besar kepada penyanyi berusia 39 tahun ini.
Arwah menjadi satu-satunya sistem sokongan yang penting untuk Bunga saat jatuh bangunnya sebagai penghibur.
Bunga mengakui, pemergian Ashraf ibarat hilangnya kekuatan yang selama ini menjadi pemangkin untuk meneruskan kehidupan.
“Dia penyokong paling besar di saat semua orang meragukan saya. Dia selalu percaya dan support. Itu membuatkan saya perlu berdikari.
“Konsert ini nanti bukan untuk saya membuktikan apa-apa, tetapi melihat diri dari sisi pandangan Ashraf kerana dia selalu mempercayai saya boleh melakukannya,” katanya.










