Sepak Takraw: Melaka ke pentas final acara regu, beregu

Sepak Takraw: Melaka ke pentas final acara regu, beregu

MOHD. ALI Mohd. Rustam bergambar bersama pemain dan pengurusan Melaka selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam aksi separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka menguasai pentas final bagi kategori regu dan beregu apabila kedua-dua pasukan melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan akhir nanti, Melaka akan berdepan Johor bagi acara regu manakala satu lagi pasukan bertemu Perak bagi penentuan juara kategori beregu.

Perlawanan akhir bermula pukul 2.30 petang hari tadi.

Dalam aksi separuh akhir paling mendebarkan yang berlanjutan lebih sejam 40 minit menyaksikan gandingan Mohammad Syahir Mohd. Rosdi (tekong), Mohd. Muqlis Borhan (apit kiri) dan Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) terpaksa bertarung hingga ke set penentuan sebelum dapat menundukkan Pulau Pinang 2-1.

Di hadapan 2,000 penonton, Melaka menang set pertama 24-22 namun hilang rentak sebelum tunduk mudah 9-21 di set kedua kepada gandingan Muhammad Zarif Marican (tekong), Thanawat Khunnikhom (apit kanan) dan Muhamad Zulhusni Basri (apit kiri).

Bagaimanapun, trio kebangsaan itu kembali mendapat rentak bangkit semula meraih kemenangan yang amat bermakna dengan kemenangan 21-16 untuk melangkah ke pentas final.

Lebih menarik, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang turut menyaksikan perlawanan tersebut turun ke gelanggang mengucapkan tahniah kepada barisan pemain dan pengurusan pasukan atas kejayaan tersebut.

Pengurus Pasukan Melaka, Ridzuan Ahmad berkata, barisan pemain telah menunaikan janji untuk layak ke pentas final bagi kedua-dua kategori.

“Jika mereka muncul juara di dua kategori itu hadiah wang tunai RM10,000 untuk regu dan RM8,000 bagi beregu akan mereka kongsi dan kita akan tambah 50 peratus wang tambahan buat mereka atas kesungguhan itu,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Johor seperti diramalkan mudah melangkah ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Negeri Sembilan 21-11 dan 21-14 dalam aksi separuh akhir sebelum itu.

Terdahulu, dalam acara beregu, Melaka mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir selepas mengalahkan ATM 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua pada sebelah petang.

Gandingan Loesak Kuram – Muhammad Faizulhairy Osman meraih kemenangan 21-18 dan 21-19 dan menempah pertemuan dengan Perak dalam aksi final hari ini.

Perak pula sebelum itu mudah mengetepikan cabaran Kuala Lumpur 2-0 menerusi kemenangan 21-19 dan 22-20. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya