PUTRAJAYA: Sebanyak 840 kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikesan melalui pemeriksaan ke atas 737,821 premis melibatkan nilai kompaun sejumlah RM4.4 juta, sejak penguatkuasaan bermula 13 Mei tahun lalu sehingga semalam.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsul Nizam Khalil berkata, berdasarkan statistik tersebut, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada di tahap yang amat memuaskan.
Jelasnya, ini apabila 98.74 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan manakala 0.08 peratus premis yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.06 peratus premis diberi nasihat dan amaran.
“Susulan usaha berterusan mengikut Akta 342 terhadap 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran yang baru dibenarkan beroperasi bagi negeri-negeri di fasa satu, dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah pelaksanaan Op Samar, tindakan tegas akan diambil dengan mengeluarkan kompaun sehingga RM10,000 secara serta-merta terhadap ketidakpatuhan SOP PPN tanpa kompromi sebagai langkah pencegahan.
“Pengenaan kompaun adalah memastikan peniaga dan pengguna serius mematuhi SOP sepenuhnya demi keselamatan serta kesihatan rakyat sepanjang negara menghadapi cabaran pandemik Covid-19, malah semua pegawai penguat kuasa digerakkan di seluruh negara bagi memastikan 22 sektor tambahan ini tidak menjadi penyumbang kepada penularan semula Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Nizam berkata, pemeriksaan pematuhan SOP PPN selama dua hari bermula Sabtu lalu, di negeri Fasa 2 PPN iaitu Pulau Pinang mendapati secara keseluruhannya pematuhan SOP PPN pada tahap yang memuaskan.
“Bagaimanapun, seorang pemilik premis di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang disaman RM10,000 serta-merta kerana kesalahan premis gagal mempamerkan jumlah had maksimum pelanggan.
“Tindakan pengkompaunan secara serta-merta yang dikenakan ke atas premis di Pulau Pinang tersebut sebagai mesej kepada peniaga tentang keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam melaksanakan Op Samar,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran ini merupakan satu usaha dan tanggungjawab seimbang secara bersama bagi tujuan merancakkan dan memulihkan semula ekosistem ekonomi domestik.
“Semua pihak diingatkan, pembukaan ini bukan suatu kebebasan tanpa kawalan untuk peniaga mengabaikan SOP yang ditetapkan kerajaan dalam tempoh negara dilanda pandemik wabak.
“Kami berharap semua pihak bekerjasama untuk merancakkan dan memulihkan semula ekonomi domestik dengan tidak mengabaikan pematuhan SOP PPN yang sedang berkuat kuasa. Penting diketahui tanggungjawab melandaikan keluk dan penularan pandemik adalah peranan semua pihak,” katanya.










