PETALING JAYA: Penggunaan teknologi pemantauan mata atau eye tracker dalam kenderaan wajar dipertimbangkan sebagai langkah meningkatkan keselamatan jalan raya dengan memastikan pemandu sentiasa memberi tumpuan kepada keadaan trafik.
Pakar Kejuruteraan Pengangkutan, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, teknologi berkenaan mampu mengesan sama ada mata pemandu tertumpu kepada jalan raya atau terganggu oleh faktor lain termasuk penggunaan sistem infotainmen.
Katanya, sistem infotainmen mempunyai fungsi dan keperluannya dalam kenderaan, namun pemandu perlu sentiasa memastikan perhatian serta tumpuan diberikan sepenuhnya kepada pemanduan bagi mengelakkan gangguan yang boleh menjejaskan keselamatan jalan raya.
“Perkara asas dalam pemanduan ialah kita perlu memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya. Sistem infotainmen itu ada keperluannya, tetapi ia perlu digunakan secara munasabah dan berhati-hati.
“Memang sukar untuk bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan. Sebab itu saya katakan teknologi boleh membantu memastikan pemandu lebih fokus semasa memandu.
“Malah, teknologi yang mudah seperti eye tracker boleh digunakan untuk memantau sama ada mata pemandu tertumpu kepada jalan raya atau sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, skrin paparan dalam kenderaan moden yang menggabungkan hiburan dan fungsi (infotainmen) berpotensi menjejaskan fokus pemanduan dan menyumbang kepada kemalangan maut.
Ahmad Farhan yang juga Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata, cadangan mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) dan kamera kabin pada semua kenderaan baharu perlu diteliti dari sudut pelaksanaannya kerana masih terdapat banyak kenderaan lama yang tidak dilengkapi ciri keselamatan sedemikian.
Katanya, walaupun rakaman dashcam boleh membantu mendapatkan maklumat mengenai sesuatu kejadian, penentuan punca kemalangan tetap memerlukan siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa dan pakar berkaitan.
“Mengenai cadangan mewajibkan pemasangan dashcam dan kamera kabin, ia mungkin dilihat sebagai satu penyelesaian, tetapi persoalannya sejauh mana kita boleh memastikan semua kenderaan mempunyai ciri tersebut.
“Sebenarnya, dalam Program Penilaian Kereta Baharu Global (Global NCAP) sudah terdapat pelbagai elemen yang menunjukkan bagaimana teknologi boleh membantu meningkatkan tahap keselamatan kenderaan.
“Jadi saya rasa untuk mewajibkan perkara ini mungkin agak sukar kerana masih banyak kenderaan lama di negara kita yang tidak mempunyai spesifikasi keselamatan sedemikian. Oleh itu, ia mungkin kurang praktikal untuk dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
HABIS










