‘Futsal buta’ cetus kesedaran sukan OKU penglihatan

‘Futsal buta’ cetus kesedaran sukan OKU penglihatan

SUASANA perlawanan pertandingan futsal ‘buta’ tiga penjuru di padang futsal Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Suasana gelanggang bertukar luar biasa apabila pemain beraksi dengan mata tertutup dengan hanya bergantung kepada bunyi loceng bola dan arahan rakan sepasukan.

Itu suasana dalam pertandingan futsal buta tiga penjuru di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini yang mencetuskan kesedaran masyarakat terhadap potensi serta kemampuan atlet orang kurang upaya penglihatan (OKU) penglihatan.

Penganjuran melibatkan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu, Kelab Media Arus Perdana Terengganu (Metra) dan UniSZA itu mengetengahkan sukan bola sepak orang buta sebagai platform inklusif yang menyatukan komuniti.

Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu, Mohd. Fauzi Mansor berkata, pertandingan seumpama itu bukan sekadar acara sukan malah menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan komuniti OKU penglihatan.

“Kita dapat merapatkan masyarakat dengan komuniti orang buta di samping memberi peluang kepada mereka untuk merasai dan menjiwai bagaimana golongan kurang penglihatan menjalani aktiviti dalam sukan bola sepak ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mohd. Fauzi, pengalaman tersebut mampu memberi kefahaman lebih mendalam kepada masyarakat mengenai kecekalan dan kemampuan sebenar golongan OKU penglihatan yang sering dipandang rendah.

Sementara itu, wakil Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional UniSZA, M. Nor Aishamuddin Sazali berkata, program tersebut turut membuka mata pelbagai pihak mengenai tanggungjawab sosial terhadap komuniti OKU.

“Ini memberi kesedaran bahawa apabila bertemu dengan golongan ini, mereka memerlukan panduan daripada kita dan perlawanan malam ini sangat hebat serta sengit,” katanya.

Menariknya, dalam pertandingan itu peserta termasuk pemain normal turut diwajibkan menutup mata sepanjang permainan bagi memberi gambaran sebenar mengenai cabaran yang dihadapi atlet OKU penglihatan di gelanggang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN