Yonnyboii mula percaya diri - Utusan Malaysia

Yonnyboii mula percaya diri

YONNYBOII semakin yakin mengorak langkah dalam industri muzik selepas menang AIM 23.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH mengakui menghidap penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif, Yonnyboii akur, keadaan itu ada ketika membuatkan dia tidak yakin dengan kemampuan diri.

Malah, perasaan itu juga membawa kepada sikap suka memperkecilkan diri, meskipun sedar ia tidak baik dan mampu menjejaskan perancangan kerjaya seninya.

Kata Yonny atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, situasi itu membataskan keinginannya untuk mara secara agresif dalam dunia muzik kerana dia sering kali ragu dengan bakat sendiri.

“Keadaan itu berlaku ketika saya berjinak-jinak dalam industri muzik. Disebabkan perasaan itu, saya pernah menganggap karya yang ada dalam album yang memenangi Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23), baru-baru ini sebagai ‘sampah’.

“Jangan salah faham kerana ada cerita di sebalik apa yang berlaku. Saya sebenarnya banyak menghasilkan lagu, namun cuma disimpan sebab saya selalu berperang dengan rasa tidak yakin pada kebolehan diri.

“Pernah saya fikir lagu saya tidak ada orang mahu dengar, sedangkan sebaliknya pula terjadi. Orang mendengar dan menanti apa lagi karya yang saya boleh keluarkan. Pada mata orang, semua karya saya bagaikan permata,” katanya.

Mengambil masa untuk menghadam kepercayaan dan keyakinan orang lain sebelum akhirnya sedar, terkurung dengan sikap negatif tidak akan membawanya ke mana-mana.

“Pihak pengurusan berkali-kali memberikan nasihat dan membantu saya mengenal pasti lagu yang ada potensi untuk dikomersialkan. Sejak itu, baru keyakinan dalam diri timbul.

“Bila menang anugerah di pentas AIM 23, baru-baru ini, keyakinan saya semakin bertambah. Kalau tidak, asyik rasa rendah diri tidak bertempat.

“Apabila ramai memberikan respons positif, saya mula sedar, ada sesuatu dalam diri yang perlu dikembangkan. Maksudnya bakat yang ada, sayang kalau tidak diserlahkan.

“Ia menjadi pembakar semangat untuk saya hasilkan lebih banyak karya yang bagus pada masa akan datang. Saya mahu buang sikap negatif jauh-jauh,” katanya.

Duet dengan Dayang Nurfaizah

Tambah Yonny, sejak meraih kemenangan pada penganjuran anugerah berprestij buat penggiat seni muzik tanah air itu, tidak dinafikan, rezekinya semakin mencurah untuk menghasilkan lagu, selain menerima tawaran mengadakan persembahan.

Baginya, ia bagaikan rezeki yang tidak terjangka dan sudah tentu, keadaan ini menyuntik kegembiraan di hatinya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan apa yang Allah SWT kurniakan. Rezeki buat persembahan banyak, malah berpeluang ke seluruh pelosok negara untuk memperkenalkan lagu.

“Ramai juga yang meminta saya hasilkan lagu. Itu pun rezeki juga. Insya-Allah, saya sedang dalam pembikinan lagu untuk duet bersama Dayang Nurfaizah. Duet ini adalah antara apa yang saya paling hajatkan.

“Sebelum ini, banyak kali terjumpa dengan Dayang pada acara hiburan. Apabila kami bertukar-tukar pandangan dan idea, rupa-rupanya kami berkongsi arah yang sama. Insya-Allah, kalau tiada halangan, peminat akan dapat dengar lagu baharu kami nanti,” katanya.

Yonny yang kini dalam rangka promosi single terbaharu, Kecewa, turut melahirkan perasaan teruja apabila berpeluang memperdengarkan lagu itu kepada semua.

Katanya, Kecewa telah ‘diperam’ sejak dua tahun lalu.

“Kecewa merupakan ciptaan saya sepenuhnya. Lagu ini siap dirakam dalam tempoh satu malam saja. Saya dapat inspirasi daripada kisah lalu, selain turut mengaitkan pengalaman orang lain yang pernah berdepan kekecewaan.

“Selepas setahun disimpan rapi, saya menghantar demo lagu ini kepada syarikat rakaman, Def Jam Recordings Malaysia/Universal Music Malaysia untuk proses rakaman.

“Alhamdulillah, penantian untuk melancarkan lagu ini akhirnya tercapai dan saya sangat teruja menantikan maklum balas peminat mengenai karya terbaharu ini,” katanya.

Biarpun Kecewa membawa maksud seakan-akan negatif, Yonny berharap pendengar dan peminat dapat membuka minda.

“Saya berharap, lagu ini dapat membuka minda pendengar tentang topik yang pernah dilalui ramai. Saya hanya menyuarakan pendapat dan mengetengahkan perasaan remaja lain yang setiap kita ada sesuatu untuk diceritakan.

“Ini adalah cerita yang saya garap untuk semua orang dengar. Saya berharap lagu ini akan distrim dan didengari ramai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN