Perjuangan angkat semula irama nasyid - Utusan Malaysia

Perjuangan angkat semula irama nasyid

PENERBITAN album Sahabat Selamanya menjadi cermin persahabatan akrab penggiat industri nasyid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri nasyid tanah air yang pernah seketika dulu berkembang pantas, namun peralihan masa membuatkan genre itu semakin perlahan, meskipun pelapis baharu sentiasa muncul meneruskan perjuangan.

Sebelum ini, kajian terperinci terhadap situasi tersebut tidak dilakukan sehingga penyanyi, penulis lirik dan komposer, Daqmie terpanggil untuk mengusahakannya ketika menerbitkan album yang menggabungkan beberapa kumpulan nasyid terkenal seperti Rabbani, Hijjaz, Mestica dan Inteam.

Album berjudul Sahabat Selamanya yang dilancarkan, baru-baru ini menampilkan komposer, penerbit dan penulis lirik prolifik antaranya Datuk Habsah Hassan, Alfa Booty, Tam Spider, Ad Samad, Aidit Alfian, Baiduri, Halim Ahmad, Keon, Isman Isam, Ito Lara dan Atie.

Album berkenaan menerima sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKOM) menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKD).

Daqmie berkata, penerbitan album Sahabat Selamanya memberinya ruang untuk mengkaji faktor yang mendorong kepada kemerosotan industri muzik nasyid tempatan.

Usaha itu mendapat kerjasama pasukan pengkaji dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Kami ingin menarik kembali minat pendengar terhadap genre tersebut, selain sebagai bentuk penghargaan buat penggiat irama nasyid yang sejak dulu banyak menyumbang kepada kemajuannya.

“Ada tiga projek yang saya usahakan. Pertama, album dan klip video, disusuli projek akhir tahun bersama UUM dan ketiga untuk melahirkan pelapis nasyid,” katanya.

Selain album, Daqmie turut berkongsi perancangannya untuk mengetengahkan bakat baharu dalam bidang nasyid bagi mengekalkan kesinambungan industri muzik berkenaan.

“Hasil kajian yang saya temui, industri muzik nasyid ketiadaan bakat pelapis sejak lima hingga 10 tahun lalu. Berdasarkan kajian itu, saya menghasilkan kertas cadangan dari sudut akademik untuk kembali memohon DKD.

“Untuk tujuan itu, saya akan mencari empat kumpulan nasyid baharu untuk diketengahkan. Mereka bukan sahaja merakamkan lagu, tetapi turut terlibat sepenuhnya dalam ekosistem industri kreatif. Saya akan mengajak Inteam Records bekerjasama nanti,” katanya..

Sebanyak 10 lagu dimuatkan dalam album tersebut, termasuk empat lagu popular setiap kumpulan yang diberi nafas baharu dan dinyanyikan secara duet bersama Daqmie.

Selain itu, turut dimuatkan enam lagu baharu seperti Sahabat Selamanya, Apa Khabar Apa Cerita (Mestica), Tiada Tarikh Tamat (Inteam), Manik-Manik Sejahtera (Rabbani), Sandiwara (Hijjaz) dan Masih Terlihat Senyummu (Daqmie).

Kolaborasi istimewa

Kembali bekerjasama dengan Daqmie, kumpulan Inteam menyambut baik usaha penyanyi Tangis Sebatang Tamar itu dalam memartabatkan muzik nasyid tempatan.

Anggota kumpulan tersebut, Muhammad Hazamin Harun berkata, seluruh anggota Inteam amat berbesar hati dan gembira kerana diberi peluang bersama-sama menjayakan album berkenaan.

“Sebenarnya, kami teruja kerana diberi peluang berkolaborasi bersama komposer hebat seperti Daqmie. Walaupun bukan kali pertama bekerjasama, projek kali ini lebih istimewa menerusi karya yang dihasilkan bersama,” katanya.

Mengulas tentang pembaharuan, Hazamin memaklumkan, dia dan anggota Inteam yang lain berpuas hati dengan penghasilan semula lagu Kasih Kekasih yang diberi nafas berbeza.

“Ia mungkin sesuatu yang baharu buat kami, begitu juga peminat yang sinonim dengan lagu Inteam sebelum ini. Namun, Inteam yakin pendengar akan tertarik dengan kelainan melodi, vokal dan susunan lagu yang ditampilkan,” katanya.

Timba pengalaman berbeza

Sementara itu, Muhamad Razin Che Mud mewakili Mestica pula meluahkan perasaan bangga kerana projek itu melibatkan nama besar dalam industri nasyid, termasuk komposer, penulis lirik, pemuzik dan penggiat di belakang tabir.

“Kami timba pengalaman berbeza selain dapat bertukar ilmu, idea dan pandangan. Mestica bertuah kerana berpeluang merasai semula proses pembikinan sebuah album gabungan yang jarang dilakukan sekarang ini.

“Sudah lama kita tidak ada gabungan melibatkan artis nasyid. Diharap karya yang terhasil melalui projek Sahabat Selamanya akan mendapat tempat di hati peminat,” jelasnya.

Gambaran persahabatan

Kumpulan nasyid legenda, Rabbani antara nama besar yang turut berkolaborasi dalam pembikinan album ini.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai cerminan persahabatan antara penggiat seni, khususnya yang berkecimpung dalam muzik irama nasyid.

“Inilah gambaran persahabatan kami dengan Daqmie dan rakan artis yang bekerjasama dalam pembikinan album ini.

“Syukur kepada Allah dan pastinya terima kasih kepada Daqmie dan seluruh kru penerbitan kerana melibatkan kami dalam projek ini.

“Semoga album ini akan menjadi mata dan telinga serta mudah-mudahan terus mendidik jiwa manusia,” katanya.

Hadiah single baharu

Anggota kumpulan Hijjaz, Isman pula berkata, seluruh anggota kumpulan tersebut amat terharu kerana Daqmie memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama dalam perjuangan tersebut.

“Alhamdulillah, satu peluang yang baik dan syukur kepada Allah kerana Hijjaz dipilih untuk bersama-sama terlibat dalam projek ini.

“Amat menyeronokkan apabila Daqmie mengajak beberapa kumpulan nasyid lain yang juga merupakan sahabat seperjuangan Hijjaz.

“Lebih istimewa Daqmie menghadiahkan kami single baharu dan semuanya ditanggung sepenuhnya oleh pihak produksi. Inilah yang dinamakan sahabat,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN