KEMBALI mengubat kerinduan peminat seni teater, naskhah Nyonya bakal dipentaskan buat kali kesembilan menerusi garapan pengarah, Dr. Rosminah Tahir.
Karya asal berbahasa Indonesia nukilan Allahyarham Prof. Wisran Hadi itu sebenarnya tidak sukar untuk meraih minat ramai kerana inti pati penceritaannya begitu dekat dengan masyarakat dalam pelbagai perspektif kehidupan.
Menurut Rosminah, untuk pementasan terbaru ini, Nyonya akan mengetengahkan subjek kerusi sebagai metafora sinikal yang menguji mata dan penilaian penonton terhadap apa yang tersirat di sebalik penceritaan.
Tambah Rosminah, dia telah mengarahkan tujuh pementasan Nyonya, sebelum ini dan setiap kali dipentaskan, akan ada nilai tertentu yang dapat ‘dilihat’ penonton jika diamati dengan mendalam.
“Secara peribadi, saya suka dengan naskhah Nyonya kerana ia menyuntik tafsiran berbeza di mata penonton setiap kali pementasan. Ia tidak semata-mata mengupas isu ekonomi, kemasyarakatan, harta pusaka, keikhlasan, kejujuran atau nafsu manusia yang banyak cabangnya.
“Kali ini, saya gunakan pendekatan kerusi antik sebagai subjek yang dominan. Iya, kerusi tetapi simboliknya pelbagai. Boleh jadi ia memaparkan tempat duduk, melambangkan status, rezeki, termasuk gambaran pemimpin.
“Dalam dekah ketawa menyaksikan gelagat Nyonya dan Tuan dalam naskhah ini, penonton dapat menilai bagaimana masing-masing mempertahankan perjuangan mereka. Adakah penghujung keinginan mereka itu terarah kepada jalan yang baik atau sebaliknya?,” katanya.
Lebih suka meninggalkan persoalan dan menyerahkan kepada penonton untuk mencari jawapan, Rosminah berkata, kerusi juga dianggap sesuai memaparkan suasana semasa dalam senario politik negara.
“Memang saya mahu tonjolkan isu tentang kerusi yang menjadi rebutan dan secara tidak langsung, sesuai dengan keadaan semasa. Plot penceritaan sama sahaja daripada dulu, cuma situasinya mengikut peredaran semasa,” katanya.
TAMPILKAN KELAINAN
Sementara itu, penerbit Nyonya, Siti Rohayah Atan pula berkata, antara kelainan ditampilkan untuk pementasan kali ini adalah penampilan wajah baharu dan berpengalaman dalam barisan utama.
Membariskan nama besar seperti Datuk Ziela Jalil (Cantik), Liza Abdullah (Anggun), Vanidah Imran (Beautiful), Deera Amin, Zera Hariz (Nyonya) dan Along Eyzendy Aziz (Tuan), pementasan kali ini juga mengambil lokasi yang berbeza.
Kata Siti Rohayah, peluang menjalin kerjasama dengan kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri (JKKN) Pahang serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dimanfaatkan dengan baik untuk pementasan teater ini.
“Kita ingin mencuba kelainan. Lagi pun, kita perlukan suasana baharu. Tidak semestinya teater itu perlukan sebuah lokasi yang besar. Kali ini, kami cuba buat di hotel pula.
“Disebabkan itu, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak dan Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, menjadi lokasi kami untuk pementasan teater kali ini.
“Ini merupakan idea yang menarik kerana ruangan hotel juga boleh memuatkan penonton seramai 700 tetamu pada satu masa. Kami jangkakan seramai 2,800 penonton akan hadir memandangkan harga tiket mampu milik dan selesa,” katanya.
PENUH MUSLIHAT
Teater Nyonya akan dipentaskan pada 15 dan 16 Oktober ini, manakala tiket pula boleh didapati pada harga RM30 dan RM50. Pementasan teater berlangsung dalam dua sesi iaitu pada jam 3 petang dan 8.30 malam.
Nyonya mengisahkan seorang wanita kaya digelar Nyonya yang harus ‘berperang’ dengan Tuan iaitu seorang pedagang barang antik yang mempunyai pelbagai muslihat.
Pelbagai cara dan muslihat digunakan untuk mendekati Nyonya, lebih-lebih lagi selepas mendapat tahu suami Nyonya yang sudah tua terlantar di rumah sakit akibat kanser lidah.
Muslihat terakhir Tuan adalah mengatakan lutut Nyonya akan membengkak dan berdarah jika dia terus berdiri. Lalu, dia mahu Nyonya duduk dan berbaring bersama-samanya di atas katil.
Pada masa sama, Nyonya sering didatangi tiga anak saudara perempuan sebelah suaminya iaitu Anggun, Beautiful dan Cantik yang menuntut harta pusaka.
Mereka menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan harta berkenaan sehingga sanggup berbunuhan. Perangai Tuan yang banyak muslihat itu mula dikesan oleh isterinya, Comel.









