SEMUA parti politik yang bertanding pada pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang pengundiannya dijangka pada pertengahan bulan depan perlu meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita. Itu antara inti pati resolusi yang dicapai pada Forum Kepimpinan Wanita Dalam Politik Malaysia Memacu Realiti Peningkatan Perwakilan Wanita dalam PRU15 dan Badan Legislatif anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) yang diadakan baru-baru ini.
Resolusi itu telah diserahkan kepada lima parti politik utama yang akan bertanding pada PRU15 oleh Yang Dipertua NCWO, Prof. Emerita Tan Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan.
Lima wakil parti terbabit adalah Barisan Nasional, DAP, Pas, PKR dan Bersatu.
Sharifah Hapsah berkata, antara inti pati resolusi berkenaan adalah menambah baik proses pemilihan calon peringkat parti dengan memastikan sekurang-kurangnya seorang calon wanita bagi setiap kerusi negeri dan parlimen.
LETAK WANITA DI KERUSI BERPOTENSI MENANG
Katanya, setiap parti juga perlu menetapkan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus calon PRU15 di kerusi yang berpotensi menang.
Parti juga perlu merangka supaya 30 peratus calon PRU diterjemahkan kepada 30 peratus dalam badan legislatif.
“Parti juga perlu mengkaji stuktur dan hierarki parti dengan menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam kepimpinan tertinggi parti, kepimpinan peringkat negeri dan kabinet persekutuan. Sekurang-kurangnya seorang wanita juga perlu dilantik sebagai senator bagi setiap negeri,” katanya.
Beliau berkata resolusi turut menggesa kemudahan mesra keluarga iaitu perkhidmatan penjagaan kanak-kanak disediakan di premis parti dan keperluan lain semasa kempen pilihanraya.
NCWO katanya, akan membentuk satu Jawatankuasa Pemantauan Masyarakat Sivil PRU15 (PantauPRU15), bersama sukarelawan masyarakat sivil bertujuan memastikan gesaan berkenaan dilaksanakan.
JUMLAH WANITA DALAM POLITIK MASIH RENDAH
SEHINGGA Mac 2022, terdapat 21 juta pengundi berdaftar di negara ini dengan jumlah pengundi wanita lebih ramai iaitu 50.1 peratus berbanding 49.9 peratus lelaki.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata, berdasarkan data ini, diharapkan lebih ramai calon wanita diberikan peluang bertanding dalam PRU15 dan pilihanraya seterusnya.
“Setakat ini, kita memang bersyukur dengan pencapaian wanita di negara ini yang sudah memegang pelbagai jawatan penting seperti Peguam Negara dan Naib Canselor.
“Sayangnya pembabitan wanita dalam politik masih rendah walaupun negara menghasilkan ramai wanita berpendidikan tinggi. Ini menunjukkan kita tidak menggunakan separuh daripada aset ini untuk memajukan ekonomi dan kepimpinan negara,” katanya.
Tegasnya, dasar menetapkan calon di kawasan tertentu mengikut kaum perlu diubah kepada menentukan calon berdasarkan jumlah pengundi mengikut jantina. Sebagai contoh, kalau ramai pengundi wanita, lebih baik letak calon wanita di kawasan terbabit.
Sementara itu, Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Bersatu walaupun masih baharu tetapi telah menampilkan dua calon Ahli Parlimen termasuk Rina.
Katanya sembilan calon dipertaruhkan di bawah tiket Srikandi tetapi hanya satu parlimen menang dan satu lagi DUN.
Peratusan keahlian 60 peratus adalah Srikandi dan 40 peratus sayap Armada.
“Hari ni dalam tempoh enam tahun dalam parti Bersatu, saya dapati parti ini lebih terbuka dalam memperkasakan wanita. Saya juga berjaya menjalankan amanah untuk menubuhkan sayap baru iaitu Srikandi Muda dalam tempoh sebulan untuk menyiapkan rangka kerja dan diluluskan. Kejayaan ini disebabkan dunia hari ini menghargai kepimpinan muda,” katanya.
BN sentiasa perkasa wanita, tidak sekat mereka bertanding
Barisan Nasional (BN) tidak ada masalah untuk menyenaraikan 30 peratus wanita sebagai calon pada PRU15.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, BN parti yang sentiasa memikirkan pemerkasaan wanita dan tidak menyekat mereka untuk bertanding jawatan penting.
Malah katanya Umno, khususnya dan BN keseluruhannya adalah parti yang diwakili sebahagian besar golongan wanita muda dan berusia.
“Dalam setiap mesyuarat cawangan dan bahagian pun, didapati hampir sama ramai jumlahnya antara wanita dan lelaki.
“Ini terbukti apabila parti menubuhkan Puteri Umno pada tahun 2001, walaupun melalui laluan sukar, tapi akhirnya membentuk struktur besar dan berjaya melahirkan pemimpin Umno daripada golongan wanita,” katanya.
Justeru, tidak mustahil pada masa depan, berkemungkinan Parlimen Malaysia akan menggubal Akta yang memastikan terdapat 30 peratus wanita dalam parlimen.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, tidak dinafikan wanita berdepan kekangan dan cabaran lebih besar berbanding lelaki apabila dilantik sebagai Ahli Parlimen.
Di mana, lelaki sanggup lepaskan kerjaya mereka apabila menjadi Ahli Parlimen, tetapi wanita, mereka kena fikir banyak perkara bila ditawarkan jawatan.
“Wanita perlu seimbangkan kerjaya dan rumah tangga. Dalam masyarakat kita, tidak menjadi masalah bila menjadi isteri kepada Yang Berhormat (YB), tetapi masalah bila jadi suami kepada YB.
Bagi wanita bujang pula, susah hendak mencari calon suami. Suami pun ada masalah ego bila isteri jadi ahli politik,” katanya.
Bagaimanapun, pada masa ini, beliau berpendapat keadaan sudah mula berubah kerana lelaki sudah boleh menerima wanita atau isteri sebagai pemimpin politik.
Malah katanya, wanita memang terbukti mampu menjadi pemimpin kerana ketika pandemik Covid-19 dulu, New Zealand yang dipimpin oleh Perdana Menteri wanita, Jacinda Ardern berjaya mengurus pandemik berkenaan dengan baik.
Pas tidak ada masalah jika ada calon wanita yang sesuai
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata, bukan parti tidak mahu mengetengahkan lebih ramai calon wanita, tetapi kadang-kadang mereka belum sesuai memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen atau ADUN kerana keadaan tertentu yang menuntut kehadiran mereka tanpa mengira tempat dan masa, termasuk di kedai kopi bersama rakyat.
“Dalam Pas sebenarnya tidak ada masalah. Kalau ada calon yang sesuai, mereka akan dipilih, seperti calon di Rantau Panjang dipegang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang menang majoriti di kawasan berkenaan.
“Pas perlu buat kajian dalam kalangan pengundi di mana calon yang menerima sokongan akan dipilih. Pas tidak boleh jamin berapa calon wanita boleh diletakkan, tetapi saya rasa semua parti tidak pernah menghalang wanita untuk menjadi calon,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Nuridah Mohd. Salleh berkata, pada PRU14, Pas menghantar 38 calon iaitu 10 di peringkat Parlimen dan 28 diperingkat DUN.
“Kalau dilihat daripada jumlah calon PRU sejak 1959, setiap kali PRU peningkatan calon muslimat dilaksanakan. PRU kali ini diharapkan dapat 30 peratus muslimat menjadi calon.
“Kita sudah menyatakan hal yang sama dan kepimpinan Pas sentiasa mendengar pandangan ini. Cuma ada calon tapi tak menang. Itu yang tak nampak muslimat itu tidak ramai sangat. Di peringkat senator, daripada enam orang, kita ada dua senator muslimat,” katanya.
Fadhlina berkata, badan bukan kerajaan (NGO) perlu membantu untuk mendesak semua parti pastikan wanita sangat penting dalam tuntutan komposisi dalam Dewan Negara.
“Hari ini, komposisi Dewan Negara adalah cara terbaik menjadikan 30 peratus penyertaan wanita, apatah lagi ketika ini kedudukan pembuat dasar kita memerlukan lonjakan lebih tinggi.
“Pulau Pinang satu-satunya negeri yang komited melantik wanita, jadi perlu ada anjakan reformasi yang boleh menambah wanita dalam Dewan Negara.
“Paling penting Perlembagaan Persekutuan, Artikel 45, perlantikan ahli Dewan Negara boleh dibuat atas dasar beberapa perkara iaitu pertama kerana mereka mewakili kumpulan wanita tertentu dan mewakili profesionalisme tertentu,” katanya.









