Konsert REUNIC imbau nostalgia - Utusan Malaysia

Konsert REUNIC imbau nostalgia

Konsert REUNIC mempertemukan semula anggota kumpulan UNIC di atas satu pentas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH segar dalam ingatan ketika kumpulan nasyid UNIC muncul dalam telefilem See You di IPT (CUDIPT) yang menjalani penggambaran di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Selangor sekitar 18 tahun lalu.

Telefilem tersebut mengisahkan seorang pelajar nakal bernama Man, lakonan Ngasrizal Ngasri yang jatuh cinta pandang pertama dengan seorang pelajar baharu Eisya (Bienda).

Kini, setelah hampir dua dekad berlalu, selepas masing-masing menempuh pengajian di menara gading, berkahwin, berkeluarga dan berkerjaya, anak didik kumpulan Hijjaz ini mengadakan pertemuan semula dengan semua ahlinya yang pernah bersama sejak awal penubuhan.

REUNIC Live in Concert The Finale: See You di IPT The Musical yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur cukup meriah dan boleh diiktiraf sebagai sebuah konsert berskala besar yang berjaya.

Konsert muzikal ini bagaikan kesinambungan telefilem 18 tahun lalu dan dijelmakan semula menerusi seleksi lagu hits mereka.

Konsert dua jam itu menampilkan gubahan elemen muzik yang berbeza, lebih moden dan mengikut peredaran arus muzik semasa.

UNIC cukup bertuah kerana rata-rata penonton yang hadir adalah mereka yang membesar dengan lagu mereka sejak kecil. Kumpulan penonton dalam lingkungan umur 20-an ke 30-an tidak kisah membeli sekeping tiket demi artis kesayangan mereka.

Sebut sahaja lagu Hanya Tuhan Yang Tahu, setiap bait lirik bagaikan sudah sebati dalam memori mereka dan dinyanyikan sehingga hujung aksara.

Dari atas sampai ke bawah, dewan konsert ini dibanjiri hampir 1,200 penonton yang setia dari awal sampai ke penghujung persembahan yang turut diselang-selikan dengan drama muzikal lakonan Bell Ngasri dan Bienda sehingga membuatkan audiens tidak kering gusi.

KEBANGKITAN NASYID

Memperjuangkan tema Demi Kebangkitan Nasyid, kredit perlu diberikan kepada UNIC yang berjaya menjentik hati penonton dengan lagu dakwah dan srikandi Islam seperti Zinnirah, Balqis, Ainul Mardhiah dan Fatimah.

Sepanjang 20 lagu yang dipersembahkan, entah kenapa lagu Demi Cinta Suci hampir membuatkan penulis menitis air mata. Penulis tidak tahu apakah ‘racun’ lagu ini sehingga menyebabkan hati begitu terjentik.

Penulis mula mencari-cari ‘penawar’ agar tidak hanyut dengan kalimah ‘cinta’ semata-mata, akhirnya jawapan itu ditemukan pada baris lirik: “Demi sinar bahagia, Ku hambakan diri pada Yang Esa”.

Penyampaian mendalam lagu ini dengan kekuatan vokal Fitri Haris membuai perasaan sehinggga feel lagu ini dapat dirasakan dengan sempurna.

Persembahan yang begitu bertenaga itu turut menampilkan Mawi, Anas Tahir dan Zizi Kirana yang berduet menerusi lagu Purnama.

Konsert REUNIC yang dibarisi Bazli, Fakhrul dan Fitri turut mengundang bekas ahli sejak 2002 iaitu Hafiz Hamidun, Najdi, Fadzli Aziz, Azlan Al-Bukhary, Afendi dan Wan Shah, sekali gus melengkapkan kesembilan anggota di atas satu pentas.

Difahamkan, konsert yang mendapat sokongan dana melalui Geran Dana Kandungan Digital (DKD), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menelan perbelanjaan hampir setengah juta ringgit.

Konsert yang menerima tajaan utama Kumpulan Megaklinik Zahran dianjurkan bagi meraikan ulang tahun ke-20 UNIC yang ditubuhkan pada 2002.

Melihatkan kejayaan ini, tertanya-tanya juga adakah UNIC lebih bersedia untuk menjayakan konsert pada skala lebih besar pada masa akan datang?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN