Institusi perkahwinan adalah institusi terpenting dalam struktur sosial masyarakat dan negara. Islam menjaga kepentingan kesucian nasab sebagai salah satu maqasid syariah yang terpenting. kepada pasangan yang telah berkahwin.
Isu gangguan orang ketiga yang menyebabkan perceraian bukanlah perkara asing. Tular di media sosial kebelakangan ini tentang tabiat suami yang mula berubah arah apabila menginjak pertengahan usia. Berkahwin dengan wanita jauh lebih muda dan sanggup meninggalkan anak dan isteri yang dikahwini sekian lama.
Ini bukanlah kisah baharu, malah kita kerap dihidangkan dengan cerita panas sebegini. Anak isteri ditinggalkan dan diabaikan sehingga sanggup melakukan maksiat dengan pasangan baharu.
Apakah pandangan Islam dalam hal ini?
Istilah ‘penyondol’ bukanlah istilah yang baik malah terma ini satu penghinaan kepada kaum wanita. Namun kita harus sedar, sebagaimana adanya manusia yang baik ada juga manusia yang tidak baik.
Malah dalam al-Quran disebut perkataan ‘penzina lelaki’ dan ‘penzina perempuan’ dan apakah hukuman yang sesuai bagi mereka yang melakukan dosa besar ini?
Pihak ketiga yang merosakkan rumah tangga orang lain boleh terdiri daripada lelaki atau perempuan. Mereka ialah lelaki jahat yang cuba mengganggu isteri orang dan juga perempuan jahat yang cuba mengganggu suami orang.
Mereka akan berusaha dengan apa cara sekalipun mendapatkan isteri atau suami orang ini untuk kepentingan diri dan nafsu mereka. Lebih menjijikkan, mereka sanggup menawarkan diri mereka dan menggoda pasangan orang lain untuk bersetubuh secara haram.
Perampas pasangan orang yang sanggup melakukan zina sebesar-besar dosa dan hukuman berat ke atas mereka disebutkan dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap satu dari keduanya dengan 100 sebatan… (An-Nur: 2)
Perosak rumah tangga yang sanggup berzina harus insaf bahawa zina adalah dosa besar selepas syirik yang banyak disebut dalam hadis. Malah Allah SWT tidak akan memandang kepada golongan penzina.
Ia seperti disebutkan dalam hadis Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda: Tiga (jenis manusia) yang tidak diajak berbicara oleh Allah pada hari kiamat dan tidak pula Allah menyucikan mereka dan tidak memandang kepada mereka, sedang bagi mereka siksa yang pedih, iaitu: laki-laki tua yang suka berzina, seorang raja pendusta dan orang miskin yang sombong. (Riwayat Muslim)
Perosak rumah tangga disebut sebagai takhbib. Ia bermaksud seorang lelaki merosakkan hamba atau isteri orang lain. Ia termasuklah perbuatan menipu daya dan memperdaya pasangan orang lain.
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang melakukan takhbib terhadap isteri seseorang atau terhadap hamba yang orang itu miliki maka dia bukan daripada kalangan kami. (Riwayat Abu Daud)
Perkataan takhbib dalam hadis ini membawa maksud membawa kerosakan dan tipu daya. Takhbib dalam kamus Al Muhit bermaksud seorang lelaki yang memukul musuhnya dan membawa juga maksud penipuan. Merosakkan isteri atau suami orang atau memperdaya sehingga mereka mahu bercerai-berai dengan pasangan.
Ulama sepakat perbuatan takhbib adalah dosa besar dan pelakunya wajib bertaubat.
Takhbib boleh berlaku dalam pelbagai cara; lelaki yang merosakkan dan menipu isteri orang agar berkahwin atau membuat maksiat dengannya atau perempuan yang menipu dan menggoda suami orang agar berzina dan meninggalkan keluarga sedia ada; sama ada mahu berkahwin dengannya atau tidak.
Takhbib boleh terjadi dengan tujuan mahu berkahwin atau dengan tujuan melakukan maksiat atau kepentingan diri.
Ia boleh berlaku dengan sebab manusia perosak rumah tangga dan boleh terjadi dengan sebab sihir. Sebagaimana yang disebutkan dalam al Quran bahawa tugasan syaitan dan jin antaranya adalah meruntuhkan rumah tangga orang.
Allah menyebut kejahatan Harut dan Marut mengajar sihir untuk memisahkan rumah tangga manusia dalam firman-Nya yang bermaksud: Dalam pada itu ada juga orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. (al-Baqarah: 102)
Ada percanggahan pendapat hukum perkahwinan antara orang yang melakukan takhbib dengan pasangan yang diperdaya. Walaupun jumhur berkata perkahwinan yang disebabkan oleh takhbib ini sah hukum perbuatan ini tetap berdosa besar dan pelakunya wajib dihukum.
Malah ada ulama berpendapat, batal pernikahannya oleh orang yang melakukan takhbib. Dengan demikian hidupnya dengannya setelah itu tidak lain adalah suatu bentuk perzinaan.
Bahkan sebahagian ulama Malikiyyah mengharamkan nikah secara ta’bid (selamanya) antara wanita yang diperdaya dan lelaki yang memperdayakannya.
Ulama juga ada menyatakan pelaku takhbib perlu dijauhkan dan diasingkan malah sewajarnya dipenjara.
Enakmen Syariah di negeri-negeri Malaysia juga memberi peruntukan khas terhadap perosak rumah tangga. Golongan ini dikenakan tindakan kerana mengganggu rumah tangga orang yang merupakan satu kesalahan.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat, membawa pergi atau menahan isteri orang. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda.
Selain itu, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 37 Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghalang pasangan sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.
Enakmen Syariah Selangor 1995 juga memberikan peruntukan untuk mengenakan tindakan juga mengikut Seksyen 34 Enakmen 9 bagi mana-mana orang yang menghasut suami dan isteri supaya bercerai.
Islam adalah agama yang indah dan suci, menjaga hubungan sesama manusia dan melarang sebarang bentuk kezaliman.
Sesiapa yang melakukan kezaliman sesama manusia dan menyebabkan kerosakan wajiblah segera bertaubat dan memohon maaf kepada pihak yang dianiaya.
____________________________________________
Penulis adalah Profesor Madya di Universiti Sains Islam Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.










