Sertai anak sama bermain, bercakap - Utusan Malaysia

Sertai anak sama bermain, bercakap

Menemani anak bermain penting untuk membina tumbesaran mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Permainan sangat penting untuk kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke bawah kerana ia bukan saja membuatkan mereka gembira, tetapi membantu perkembangan anak.

Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila ramai ibu bapa hari ini kurang memahami konsep sebenar bermain iaitu dengan membiarkan anak bermain sendirian, sama ada dengan telefon atau tab sedangkan cara terbaik adalah bermain bersama mereka.

Ketua Jabatan Psikologi, Sunway University, Dr. Woo Pei Jun, berkata permainan memberikan kesan menakjubkan kepada perkembangan kanak-kanak tetapi membiarkan anak bermain sendirian tanpa panduan daripada ibu bapa kurang memberi kesan ke atas perkembangan mereka.

“Ramai ibu bapa hanya tahu memberikan permainan kepada anak tetapi membiarkan mereka bermain sendiri. Apabila saya menerangkan mereka perlu bermain dengan anak, mereka tidak tahu caranya.

“Saya biasa mengajar ibu bapa cara untuk bermain dengan anak seperti bercakap dengan mereka dan bukan bertanya soalan. Ibu bapa perlu bercakap atau memberikan komen seperti pengulas sukan, menjelaskan kepada anak mengenai permainan itu,” katanya.

Katanya ketika bermain, anak perlu diberikan sokongan untuk perkembangan emosi sosial, kognitif dan pertumbuhan fizikal.

Katanya mahu atau tidak, teknologi hari ini membuatkan ibu bapa tidak dapat lari daripada memberikan gajet kepada anak untuk bermain tetapi juga untuk belajar. Agak tidak realistik sekiranya ibu bapa menghalang anak daripada menggunakan gajet pada hari ini.

Bagaimanapun, ibu bapa perlu pastikan keseimbangan penggunaan gajet dan permainan lain seperti bermain bersama rakan atau adik-beradik atau bermain di luar rumah seperti berbasikal, bermain badminton dan sebagai untuk mengeluarkan peluh.

“Tidak salah hendak memberikan mereka bermain dengan gajet sebab anak-anak tengok ibu bapa pun sering menghadap gajet tetapi perlu seimbang antara gajet dan aktiviti fizikal lain. Anak kecil perlu keluarkan tenaga dia, bukan duduk saja menghadap gajet.

“Bermain tanpa gajet memberikan peluang kepada mata mereka untuk berehat. Kalau terlalu lama menatap gajet, mereka boleh sakit kepala yang menyebabkan mereka moody. Jadi, sebaiknya bagi mereka bermain benda lain,” katanya.

Katanya terlalu bergantung kepada gajet sememangnya menghiburkan anak kerana ia sangat berwarna-warni, tetapi oleh kerana ia cepat bertukar, ia menyebabkan anak tidak dapat menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara.

Permainan terbaik untuk anak adalah berbentuk sukan kerana ia bukan saja membuatkan anak lebih aktif, tetapi melatih mereka untuk meningkatkan daya tumpuan. Permainan sepatutnya mengajar anak bagaimana keadaan dunia sebenar. Mereka perlu bermain dengan warna, bahasa, nombor dan menyelesaikan masalah serta belajar membuat keputusan.

Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian bertajuk, “Mencipta Permainan Terbaik,” sempena program Fisher-Price Play Lab, baru-baru ini. Turut serta dalam sesi berkenaan, Pakar Perkembangan Pediatrik, Hospital Tunku Azizah, Dr. Charlotte Jane Joseph dan Pereka Konten yang juga ibu kepada tiga anak, Iman Azman. Turut hadir, Pengurus Besar Mattel Asia Selatan, Murat Ariksoy.

Gajet ganggu pertuturan anak

Kira-kira 50 peratus kanak-kanak yang berdepan gangguan pertuturan atau masalah lambat bercakap yang dirujuk di Hospital Tunku Azizah dikenal pasti berpunca daripada gajet.
Dr. Charlotte Jane Joseph, berkata masalah itu hanya mula disedari ibu bapa dan dikesan oleh guru apabila anak mereka mula memasuki alam persekolahan iaitu sekitar usia tujuh hingga lapan tahun.

“Masalah ini mungkin tidak disedari selama ini kerana di pusat jagaan, biasanya kalau budak itu diam, guru pun kurang peduli kerana menganggap mereka lebih suka menyendiri atau tidak bermasalah. Tambahan pula, kalau di pusat jagaan ada ramai budak lain yang perlukan perhatian mereka.

“Ada yang terdedah lebih 10 jam sehari masa untuk telefon atau skrin lain seperti televisyen dan tablet menyebabkan mereka tidak pandai bergaul. Apa yang lebih membimbangkan, perkembangan pertuturan juga terbantut kerana jarang berkomunikasi dengan ibu bapa mahupun rakan sebaya,” Mencipta Permainan Terbaik,” sempena program Fisher-Price Play Lab, baru-baru ini.

Katanya kebanyakan orang tidak sedar betapa pentingnya permainan bagi kanak-kanak dalam usia satu hingga lima tahun. Hakikatnya, permainan adalah ekspresi kendiri yang bagus untuk kanak-kanak di mana ia membina perkembangan otak kanak-kanak di samping kemahiran motor halus.

Tambah beliau lagi, ramai ibu bapa datang ke klinik dan mengaku memberikan telefon kepada anak masing-masing dan membiarkan mereka menggunakannya sendirian dalam tempoh yang lama sehingga apabila membesar, mereka mungkin bergelar pelajar cemerlang dalam akademik, tetapi tidak mampu berinteraktif dengan orang lain.

“Ibu bapa perlu sedar, bermain telefon adalah bentuk permainan yang paling rendah mutunya berbanding bermain secara interaktif dengan barang permainan sebagai bentuk permainan paling berkualiti.

“Bentuk permainan kedua paling tidak berkualiti adalah membiarkan anak bermain sendirian dengan barang permainan dan ketiga bermain secara bersendirian dengan tablet tanpa panduan daripada ibu bapa,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya sekolah menggunakan barang permainan sebagai bahan alat bantu mengajar, khususnya di peringkat tadika. Sebagai contoh, sekiranya kanak-kanak sukakan kereta, guru boleh mengajar menggunakan kereta mainan untuk mengajar pelbagai benda seperti nombor, warna, tatabahasa dan sebagainya. Malah, kaedah ini lebih baik daripada mengajar secara sehala tanpa interaktif bersama murid.

Terdapat banyak kajian menunjukkan permainan secara interaktif dapat meningkatkan aktiviti di dalam otak. Sebenarnya tidak perlu pun mainan yang mahal, tetapi pilih permainan yang selamat serta mampu menyampaikan sesuatu mesej yang positif.

“Bermain bersama kanak-kanak menggunakan satu jenis permainan pada satu-satu masa boleh membangkitkan kebolehan lain dan menggalakkan mereka menerokai sesuatu perkara. Tidak perlu mainan yang mahal.

“Sebagai contoh, permainan tradisional seperti batu seremban memiliki kelebihan seperti mengajar anak supaya bijak mengimbangkan tangan dan lebih koordinasi serta membina kemahiran halus mereka. Congkak juga boleh menajamkan kemahiran mengira,” katanya.

Bermain adalah hak semua kanak-kanak yang ditetapkan di bawah konvensyen Hak Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

Permainan terbaik adalah yang membina serta merangsang pertumbuhan kanak-kanak mengikut jenis usia masing-masing.

“Permainan adalah kunci proses pembelajaran dan membina otak kiri dan kanan kanak-kanak semasa bermain. Permainan secara interaktif sangat penting untuk membina fungsi otak dan memori kanak-kanak seawal usia setahun hingga lima tahun.

“Kanak-kanak perlu diberi sekurang-kurangnya satu jam masa bermain secara interaktif dan bermain sendirian kecuali ketika anak sedang tidur. Permainan akan membantu membina masa depan anak,” katanya.

Cabaran bermain bersama anak

Pereka kandungan dan ibu kepada tiga anak, Iman Azman berkata, sebagai ibu bekerjaya memang agak mencabar untuk memperuntukkan masa bermain bersama anak.

“Ketiga-tiga anak saya masih kecil dan semuanya berusia bawah tiga tahun. Secara kasarnya memang nampak mudah, beri saja mereka mainan supaya mereka bermain sendirian kerana bagi anak mainan adalah mainan.

“Anak tidak sedar pun mereka sebenarnya sedang belajar sesuatu tetapi sebagai ibu, saya pastikan untuk berinteraksi dengan cara menjawab pertanyaan mereka. Menerusi permainan mereka belajar mengenal warna, mengira dan membina kemahiran motor yang menyeronokkan,” kata ibu kepada anak berusia tiga, satu setengah tahun dan sebulan ini

Katanya dia memberikan satu permainan kepada anak-anaknya pada satu masa supaya mereka dapat memberikan tumpuan penuh dengan mainan berkenaan.

Antaranya permainan vakum yang secara langsung mengajar anak untuk membuat kerja rumah dan menjaga kebersihan rumah.

“Saya cuba untuk mengatakan tidak kepada anak kerana biasanya perhatian kanak-kanak akan beralih kepada sesuatu yang lain ketika sedang bermain. Sebagai contoh, ketika bermain masak-masak, tiba-tiba mereka ambil trak tapi saya tidak halang.

“Kalau ada permainan baharu yang diterima pada masa hari jadi, saya simpan permainan berkenaan dalam almari dan hanya keluarkan satu saja permainan untuk mereka main pada satu-satu masa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×