Boleh tegur tapi jangan hina kerjaya kami - Ani Maiyuni - Utusan Malaysia

Boleh tegur tapi jangan hina kerjaya kami – Ani Maiyuni

ANI Maiyuni terkilan apabila kerjaya seni sering dipandang serong segelintir masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dangdut, Ani Maiyuni, 44, berpendapat golongan selebriti sentiasa terbuka menerima teguran, namun jangan keterlaluan sehingga sanggup memandang rendah dan menghina kerjaya pilihan mereka.

Peserta program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu berkata, dia terkilan apabila kerjaya seni sering dilihat sebagai lubuk maksiat, sedangkan mereka tidak pernah mempertikai kerjaya orang lain.

“Boleh beri teguran, tapi jangan sampai menghina. Walaupun bukan saya yang ditegur secara langsung, saya tetap tersinggung kerana saya juga penyanyi dangdut. Kata-kata yang dilemparkan sesetengah pihak bagaikan penghinaan.

“Kami mungkin boleh  menerimanya, tetapi mereka kena ingat kami juga ada anak-anak dan keluarga yang barangkali terkesan dengan teguran kasar itu.

“Bagaimana jika anak-anak kami diejek di sekolah hanya kerana kerjaya ibu mereka sebagai penyanyi dangdut?

“Saya tidak pandai bab agama, tetapi kehidupan setiap manusia ada ujian yang tersendiri. Nafsu adalah satu ujian. Berkata-kata mengikut nafsu juga ujian, namun terpulang apakah teguran yang kita sampaikan itu membawa kebaikan atau sebaliknya,” katanya.

Mengulas isu Ifa Raziah yang dikecam pendakwah dan netizen gara-gara bergelek sakan ketika membuat persembahan di sebuah majlis, baru-baru ini, Ani berkata, perkara itu perlu dilihat dari pelbagai sudut.

Penyanyi lagu Sedap itu juga tidak menolak mungkin Ifa terlalu emosi ketika meluahkan perasaannya, namun segelintir pihak tidak sepatutnya jadikan ia ruang untuk melabel kerjaya penyanyi dangdut sebagai pembawa dosa.

“Saya menyanyi sebab nak bantu suami dan keluarga. Gaji suami tidak besar, sementelah kami ada anak-anak yang masih bersekolah. Itu niat saya. Setiap kerjaya ada peranan masing-masing.

“Jangan mudah menghukum orang. Pokok pangkal, niat kita apa. Saya menjadi artis dangdut untuk cari duit dan hiburkan orang. Ada juga kerja amal yang kami lakukan, tetapi orang tidak nampak.

“Jangan cuma lihat apa yang artis buat ini sebagai maksiat dan dosa semata-mata kerana setiap kita mempunyai peranan serta tanggungjawab tersendiri selagi masih bernafas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.