Marquez selamat jalani dua pembedahan

Marquez selamat jalani dua pembedahan

Marc Marquez selamat menjalani dua pembedahan selepas mengalami kemalangan ngeri ketika perlumbaan pecut di Grand Prix Perancis di Le Mans, Sabtu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LE MANS: Juara dunia MotoGP, Marc Marquez selamat menjalani dua pembedahan selepas mengalami kemalangan ngeri ketika perlumbaan pecut di Grand Prix (GP) Perancis di Le Mans, Sabtu lalu.

Pelumba Ducati itu mengalami kemalangan di selekoh kedua terakhir ketika berada di kedudukan ketujuh, sebelum disahkan mengalami keretakan pada kaki kanan yang memaksanya menarik diri daripada baki perlumbaan di Perancis serta GP Catalan hujung minggu ini.

Dalam perkembangan sama, Marquez turut mengambil keputusan mempercepatkan pembedahan bahu kanan yang sebelum ini dijadualkan selepas pusingan Catalan.

Kecederaan bahu tersebut berpunca daripada insiden di GP Indonesia Oktober lalu yang terus menjejaskan prestasinya sepanjang awal musim ini.

Menurut Marquez, pemeriksaan lanjut selepas kemalangan di GP Sepanyol mendapati terdapat kerosakan pada logam sokongan di bahunya sehingga menyentuh saraf radial.

Bagaimanapun, Ducati masih belum menetapkan tempoh pemulihan Marquez, dengan pengurus pasukan, Davide Tardozzi menegaskan kesihatan pelumba Sepanyol itu menjadi keutamaan utama pasukan.

Kegagalan mengutip mata di Le Mans menyaksikan Marquez kini ketinggalan 71 mata di belakang pendahulu kejuaraan dunia, Marco Bezzecchi dan jurang itu dijangka terus melebar sekiranya dia terlepas aksi di Barcelona. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×