Tema sambutan Hari Guru peringkat nasional tahun ini ‘Guru Bitara Nadi Negara’ mengiktiraf dan menzahirkan kepentingan peranan, sumbangan serta kehebatan seorang individu bergelar guru dalam mengenal pasti potensi dan bakat pelajar sekali gus membentuk dan melahirkan generasi masa depan yang beradab, berilmu, berdaya tahan, berkemahiran dan berkeyakinan.
Profesion perguruan sentiasa diletak pada satu kedudukan yang sangat tinggi dalam masyarakat sejajar dengan peranan mereka sehingga gelaran guru itu lazimnya kekal hingga ke akhir hayat walaupun setelah bersara.
Dengan itu, samping kita memberikan perngiktirafan yang sewajarnya kepada guru terutamanya dari segi kebajikan dan laluan kerjaya yang lebih baik, diharap usaha untuk melahirkan lebih ramai Guru Bitara yang berilmu, berkemahiran tinggi, berfikiran kritis serta berakhlak mulia juga terus diperkasakan.
Secara umunya, bitara membawa maksud tiada tara atau tandingan, yakni kita mahu lahirkan generasi guru yang hebat dan menjadi agen serta tunjang pembangunan negara. Ini bermaksud guru bukan sekadar mengajar, tetapi sentiasa dilihat sebagai watak yang membina sahsiah dan nilai peradaban, selain bertindak sebagai agen perubahan sosial dan diangkat sebagai pemimpin terhormat dalam komuniti.
Tuntasnya dalam era serba canggih berpaksikan letusan teknologi maklumat dan komunikasi yang meletakkan maklumat di hujung jari, para guru perlu bersedia dengan pelbagai cabaran dalam mendidik murid.
Secara umumnya, antara cabaran besar dihadapi guru ialah, beban tugas yang tinggi, perubahan teknologi dan keperluan digital, cabaran mengurus generasi pelajar terkini yang dikenali Gen Z dan Gen Alpha, isu kesejahteraan mental guru serta ekspektasi tinggi dari masyarakat dan ibu bapa. Maka dalam konteks ini, negara perlu terus melahirkan guru yang mampu dan berupaya mendepani cabaran serta memimpin perubahan dalam sistem pendidikan.
Ekosistem pendidikan negara cukup besar dan meluas, misalnya kita ada lebih 5.1 juta murid dan 420,000 orang warga pendidik di lebih 10,251 sekolah. Data ini menunjukkan warga pendidik mempunyai peranan yang cukup signifikan.
Dalam hal ini kita berharap agar Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang telah dilancarkan pada awal tahun lalu akan menjadi wadah penting dalam mengembalikan peranan guru sebagai pendidik yang fokus, profesional, dan kurang terbeban dengan tugas perkeranian.
Hal ini penting kerana kita mahu peranan guru difokuskan semula untuk memperkasakan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta mengurangkan beban tugas pentadbiran. Dengan cara ini diharap para guru boleh meningkatkan tahap keberkesanan penyampaian ilmu dalam bilik darjah.
Diharap Dasar 80:20 yang menggariskan 80 peratus masa guru mata pelajaran diperuntukkan untuk aktiviti berkaitan dengan PdP, manakala 20 peratus lagi diperuntukkan untuk tugasan bukan PdP akan membolehkan guru meningkatkan lagi tahap keberkesanan pembelajaran di bilik darjah.
Jujurnya pada hari ini peranan guru semakin berubah yakni dari menjadi penyampai ilmu kepada pemudah cara pembelajaran yang perlu memahami kemampuan dan ekspektasi generasi pelajar semasa. Dalam melaksanakan peranan ini, guru tidak ada pilihan selain terpaksa meningkatkan tahap keupayaan dan pengetahuan diri dengan memberi penekanan kepada keperluan mendesak aspek literasi digital serta pemikiran kritis.
Ironinya, peranan memartabatkan profesionalisme perguruan di negara ini tidak seharusnya dipikul oleh warga pendidik mahupun kementerian semata-mata, sebaliknya menuntut sokongan menyeluruh daripada seluruh lapisan anggota masyarakat.
Hakikatnya, guru tidak boleh bergerak sendiri tanpa ekosistem yang kukuh, melibatkan kerjasama erat ibu bapa, sokongan komuniti serta peranan media dalam membentuk persepsi positif terhadap profesion perguruan. Dalam hal ini, budaya menghormati guru yang menjadi teras masyarakat berilmu perlu diperkukuh semula agar martabat guru terus terpelihara dan dihargai sepanjang masa.
Misalnya guru perlu diberi kuasa dan ruang yang sewajarnya agar dapat memainkan peranan yang efisien di sekolah. Ibu bapa perlu yakin dan percaya dengan kemampuan guru dalam mendidik dan membimbing anak-anak menjadi insan yang holistik.
Akhirnya, tema “Guru Bitara Nadi Negara” perlu diterima sebagai satu hakikat bahawa guru merupakan tunjang utama yang menggerakkan pembangunan bangsa dan negara. Justeru, penghargaan terhadap guru tidak seharusnya bersifat bermusim atau terhad kepada sambutan Hari Guru semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan secara berterusan melalui usaha bersama memperkukuh sistem pendidikan negara.
Semoga inisiatif berterusan pihak kementerian dalam menambahbaik profesionalisme perguruan dan meningkatkan kebajikan warga pendidik dapat menyuntik semangat para guru untuk memacu reformasi pendidikan demi melahirkan generasi Madani yang diidamkan. Selamat menyambut Hari Guru kepada seluruh warga pendidik. – UTUSAN
Noor Mohamad Shakil Hameed
YANG DIPERTUA PIBG
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SERI SERDANG
SELANGOR










