AGENDA kelestarian alam sekitar di Pulau Pinang terus diperkukuh apabila semua sekolah di negeri berkenaan terbabit dalam Program Transformasi Sekolah ke Arah Lestari (Taskal), sekali gus mencerminkan komitmen menyeluruh dalam membentuk generasi berdaya tahan dan peka alam sekitar.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian 100 peratus penyertaan sepanjang tahun lalu membuktikan kekuatan ekosistem pendidikan negeri yang bergerak secara kolektif dan berfokus.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut menyediakan ‘seed grant’ kepada sekolah yang memperoleh penarafan tiga hingga lima bintang bagi menyokong pelaksanaan inisiatif kelestarian di peringkat masing-masing.
“Penglibatan menyeluruh ini menunjukkan semua sekolah berkongsi visi sama dalam mendidik generasi masa depan dengan nilai kelestarian,” katanya dalam majlis Peluncuran Program Taskal 2026 dan Taskal Pioneer 2026 baru-baru ini.
Terdahulu, Kon Yeow turut menyampaikan sijil pelantikan kepada 30 sekolah yang dipilih sebagai Sekolah Taskal Pioneer 2026 melibatkan pelbagai kategori sekolah.
Kon Yeow berkata, Taskal selari dengan aspirasi Visi Penang2030, khususnya dalam memperkasa rakyat dan memelihara persekitaran fizikal secara mampan.
Program tersebut bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah menjadi platform penting melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mempunyai kesedaran kelestarian yang kukuh.
“Ini adalah asas kepada pembentukan masyarakat progresif, seimbang dan berdaya tahan. Dengan penglibatan 396 sekolah awam di negeri ini, kita optimis sasaran kadar kitar semula sebanyak 70 peratus menjelang 2030 mampu dicapai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendekatan mentor-mentee menerusi Program Taskal Pioneer bagi menggalakkan perkongsian kepakaran antara sekolah.
“Sekolah yang berpengalaman perlu membimbing institusi lain agar kemajuan dapat dicapai secara menyeluruh dan seimbang. Dalam hal ini, pihak sekolah perlu memperkukuh pemantauan dalaman, khususnya dalam memastikan amalan pengasingan sisa dilaksanakan secara konsisten,” katanya.
Selain itu, Kon Yeow berkata, sekolah juga digalakkan memperluas usaha seperti pengurangan penggunaan plastik sekali guna, peningkatan kecekapan tenaga dan air serta pendidikan perubahan iklim.
“Usaha ini mesti dijadikan budaya kerana kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya. –UTUSAN










