KUALA LUMPUR: Pelakon, Natasha Hudson tampil menegur pengacara, Datuk AC Mizal berhubung kenyataannya terhadap seorang remaja lelaki yang berjinak dengan anjing.
Menurut Natasha, dia tidak suka dengan sikap individu yang mendiskriminasikan seseorang yang membantu haiwan.
“Mula-mula maafkan saya kerana lantang tentang sentimen haiwan. Ia isu sensitif.
“Saya tidak kagum dengan sesiapa yang mendiskriminasi kerja orang lain yang berusaha menyelamatkan haiwan.
“Anggaplah binatang juga ujian untuk menguji keikhlasan lubuk hati kita,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, pelakon itu turut memohon agar AC berhenti mengkritik tindakan remaja tersebut.
“Orang sibuk nak pahala. Sebagai selebriti lama, kenapa tidak sokong tindakan seumpama itu? Datuk AC, bagus budak ini.
“Setidaknya budak ini tunjuk contoh amal yang luar biasa. Jangan kutuk dia okay? Jemput dia ke rancangan awak mungkin,” tambahnya.
Terdahulu menerusi Facebook, pengacara itu menulis tentang remaja yang menyelamatkan anjing dan mendakwa perbuatan tersebut hanya untuk kandungan media sosial.
“Tak payahlah nak berjinak dengan anjing. Sudah-sudahlah aduh (keluh AC). Kalau betul nak bagi binatang makan, bagilah kucing ke?
“Fasal nak perhatian sampai buat kerja tak senonoh. Memanglah tak sentuh tapi kalau nak sangat, bagi makan pada kucing haiwan kesayangan Nabi!” katanya.