Mandi air telaga, lampu pakai pelita - Salih Yaacob - Utusan Malaysia

Mandi air telaga, lampu pakai pelita – Salih Yaacob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salih Yaacob adalah legenda hiburan tanah air yang cukup disegani. Beliau lama menceburkan diri dalam dunia seni, sejak tahun 80-an lagi.

Salih terkenal sebagai penghibur serba boleh yang berbakat sebagai penyanyi, pelakon, pelawak dan pengacara.

Salih pernah tampil dengan lima album dan berlakon lebih 14 filem. Dia juga salah seorang penyampai radio Sinar yang berkhidmat selama 14 tahun.

Bakat melawak sudah ada dalam dirinya sejak kecil. Membuka cerita, Salih mengakui amat meminati filem-filem lama dan sering meniru lakonan karakter lama sebagai wadah hiburan.

“Cikgu tahu saya seorang banyak cakap. Saya masih ingat, ketika menuntut di darjah enam, saya pengsan selepas terjatuh gara-gara meniru aksi dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.

“Salah seorang cikgu menyangka saya sudah mati. Mereka kendong saya sampai ke klinik. Walhal masing-masing ada kereta mewah,” ceritanya.

Kata pelakon ini, dia bukan seorang yang berpelajaran tinggi. Hidup serba kekurangan dan dibesarkan dalam keluarga susah.

“Hidup di kampung cukup susah. Mandi air telaga, lampu pakai pelita.

“Dalam pelajaran saya tak kejar lebih. Bagi orang dahulu, kerja kerani pun sudah dianggap bagus.

“Kalau balik kampung tunggang motosikal sudah dipandang tinggi. Penduduk gelar ‘orang KL’,” ceritanya lagi.

Dibayar RM5 sehari

Sebelum menempa nama sebagai Salih Yaacob, penghibur ini pernah melakukan bermacam-macam jenis kerja.

Dari kerja kilang, sehinggalah kerani perkapalan. Semua ditempuhnya demi kelangsungan hidup pada ketika itu.

“Saya datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Bermula dengan kerja kilang, dibayar RM5 sehari.

“Tinggal rumah setinggan di tepi landasan kereta api. Hampir setiap hari makan telur goreng dan sardin. Guna pula air telaga untuk keperluan harian.

“Kemudian saya ditawarkan kerja sebagai kerani. Tugas periksa muatan kapal yang berlabuh di pelabuhan Klang. Selepas itu, bekerja pula di kilang kertas,” katanya.

Pada tahun 1980, Salih cuba memasuki bidang seni dengan menyertai Pentarama di bawah Jabatan Penerangan Malaysia selama tiga tahun.

“Masa itu, saya tak ada asas menari, berlakon, melawak. Saya terjumpa penyanyi, Shidee dan minta dia ajar saya menari.

“Rupanya dia juga tidak tahu menari. Selepas itu, baru saya ambil kursus dan belajar pelbagai jenis tarian sebagai asas,” selorohnya.

Sakit, dituduh gila

Umum mengetahui, sekitar tahun 2000, Salih diuji sakit. Membuatkan dirinya hilang dari radar seni buat seketika.

Katanya, pengalaman itu terlalu berat untuk dikenang. Justeru dia enggan berkongsi terlalu mendalam.

“Macam-macam saya lalui. Diri bau mayat. Tubuh bertukar gelap. Ada yang kata saya dah tak ada.

“Saya seakan sudah pergi ke alam lain. Melihat jasad sendiri. Kalau saya cakap, orang kata saya gila. Tohmahan orang, saya maafkan,” ceritanya.

Ketentuan Tuhan, Salih diberi kesembuhan dan bangkit daripada kesakitan.

“Lepas album ketiga, suara saya hilang. Hilang terus. Saya memikirkan, apa lagi tentang aku yang boleh menjadi punca pendapatan.

“Masa itu saya dah tak terima tawaran buat show. Tapi rezeki datang. Pihak radio Sinar tawarkan jadi penyampai. Saya macam tak percaya. Kata saya ‘agak-agaklah’.

“Macam-macam saya cuba. Sampaikan laporan trafik pun ada. Pegang pelbagai gelaran. Contoh Abang Jamm. Tak sangka, kerja di konti serasi dengan saya,” kongsinya.

Orang lama semakin dipandang sepi

Satu pertanyaan sering dilayangkan, tidakkah Salih Yaacob mahu kembali aktif dalam industri seni. Tidak menidak atau mengiyakan, dia menjawab soalan itu dengan alasan tersendiri.

“Keadaan industri tak berubah. Macam itu juga. Kami orang lama macam tak berharga. Yang terlalu diangkat orang baru.

“Industri kita ini cukup berbeza dengan negara luar. Yang lama semakin ditolak tepi. Saya kasih dan rindu pada orang lama. Mereka yang menghidupkan jiwa saya semasa kanak-kanak.

“Kami artis lama pendapatan berapa sahaja. Makin dibayar rendah dan semakin dipandang tak bernilai. Yang kaya pihak produksi. Saya kecewa,” katanya lagi.

Tegas Salih lagi, dia tidak menolak untuk kembali ke dunia seni. Namun katanya biarlah bayaran diterima setimpal dan berbaloi dengan pengalaman.

“Saya memang nak kembali. Tetapi, biarlah berbaloi. Saya ada tanggungan, makan minum keluarga, sekolah anak. Itu amal jariah saya. Kalau saya dibantu, maka yang membantu itu menolong amal jariah saya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya