Jadi atau mati: Ini tahun penentuan buat Atas Angin - Utusan Malaysia

Jadi atau mati: Ini tahun penentuan buat Atas Angin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERJA anak indie tak semuanya cincai. Saya buka Rondivu minggu ini dengan pernyataan ini. Ia penting untuk difahami supaya semua orang tahu, bukan semua penggerak muzik independen buat kerja asal boleh demi melempias minat.

Penganjur gig prolifik, Atas Angin antara yang begitu. Betul, bikin gig itu kesudahannya memuaskan. Melihat kugiran beraksi, penonton berpesta; ini semua memberi keseronokan tak terhingga.

Namun, sebagai entiti perniagaan, Atas Angin perlu cari jalan untuk jadi mampan. Matlamat akhirnya mudah: mereka mahu terus wujud dan terus bikin gig untuk selama mungkin.

Virus yang direjam
Sepatutnya, 2020 merupakan tahun untuk Atas Angin tampil profesional penuh. Malangnya, tahun yang dibuka dengan harapan diragut oleh virus dari Wuhan.

Awal tahun itu, Atas Angin membentangkan pelan tiga bulannya – pelan jangka sederhana pertama mereka. Rancangannya, selepas merealisasikan pelan itu, mereka perah otak pula untuk pelan dengan jangka lebih panjang, seterusnya melengkapkan transformasi mereka sebagai penganjur acara profesional.

“Kami menangis,” kata Adan. Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan pada Mac 2020 bagai pisau yang mengelar semua perancangan mereka. Kata pengasas Atas Angin, Bam, mereka rugi kira-kira RM120,000 apabila semua perancangan pada tahun tersebut dibatalkan.

Perlahan-lahan, anggota Atas Angin menyusut. Ramai yang terpaksa melupakan impian demi mencari rezeki dalam lapangan lain. Akhirnya Atas Angin tinggal Bam seorang.

Cipta teladan
Anak indie ini, ditikam virus pun tak mati-mati. Semangat untuk menganjurkan acara terus bergolak dalam jiwa. Ia mendorong Bam menganjurkan Atas Angin Recovery Show pada Oktober 2020, menjadi teladan untuk penganjuran acara dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. Ia berjaya.

“Kalau tanya kugiran, bayaran yang mereka dapat memang tak setimpal. Kami terpaksa gunakan kaedah pembayaran baharu melalui perkongsian harga tiket. Mereka semua setuju sebab waktu itu, mereka hanya mahu buat persembahan,” kongsi Bam.

Recovery Show menjadi pencontoh untuk gig-gig patuh SOP seterusnya, membawa kepada kejayaan Hari Gig Kebangsaan pada April 2021 dan kemeriahan penganjuran gig pada hujung tahun lalu.

atasangin.com
Dengan keadaan yang semakin baik, Atas Angin berhasrat menyambung semula impian mereka yang tertangguh. Kini, walaupun hanya dianggotai Bam secara rasmi, Atas Angin kembali mengumpul kekuatan dengan bantuan Adan, Baling, Ainol dan Nana.

Mereka telah melancarkan laman web rasmi, atasangin.com pada 16 Januari lalu. Hasil rekaan Ku Ziqree, laman web itu akan menjadi pusat untuk semua urusan Atas Angin. Tiada lagi pembelian tiket dan cenderamata melalui Whatsapp, semuanya bergerak secara sistematik melalui laman web tersebut.

Peminat lapangan independen juga ditawarkan diskaun untuk semua acara dan cenderamata Atas Angin melalui langganan tahunan yang hanya berharga RM15. Ciri paling menarik dalam laman web tersebut pastilah kalendar yang akan mengumpulkan semua acara Atas Angin dan penganjur lain.

“Kami buat kalendar ini untuk mengelakkan pertindihan acara yang sering berlaku sebelum ini. Dengan kalendar ini, lebih mudah untuk penganjur, artis dan peminat buat perancangan,” jelas Adan.

“Kami nak beri kesedaran juga kepada penggiat muzik independen supaya tak buat semua benda di akhir masa. Ada kugiran yang buat keputusan untuk menyertai gig hanya beberapa minggu sebelum acara, sedangkan penganjur dah tanya lama.

“Dengan cara ini, kita nak ajak semua orang untuk buat perancangan dengan lebih sistematik. Bulan ini kita dah selesaikan perancangan untuk gig pada lima bulan hadapan, contohnya,” kata Bam.


Gig separa festival

Pelancaran laman web itu disusuli dengan pengumuman acara Hari Atas Angin yang akan berlangsung selama dua hari pada 12 dan 13 Februari ini di Warisan Hal, Sijangkang. Menampilkan 14 persembahan, ia bakal menjadi gig terbesar setakat tahun ini dengan skala menghampiri festival.

Atas Angin juga mengumumkan Atas Angin Rock Show, gig bulanan sepanjang 2022 dengan kerjasama ruang acara rasmi, Angkasa Event Space. Gig ini bakal menampilkan nama-nama besar dalam lapangan yang dibuka dengan Restraint pada 15 Januari lalu.

Mimpi besar, risikonya juga besar, hasilnya juga besar. Tahun ini bakal menjadi penentu buat Atas Angin. Buat yang mahu umur Atas Angin panjang, sokong mereka. Langgan keahlian mereka dan penuhi semua acara anjuran mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya